Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa disambut sebagai wira, dapat durian runtuh $2j

Nov 19, 2025 | 8:12 PM
Singapura, Singa, bola sepak, Piala Asia
Penyerang Singa, Ilhan Fandi (depan), dan ketua jurulatih Singa, Gavin Lee (belakang, kanan), meraikan kepulangan pasukan bola sepak negara bersama peminat di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi pada 19 November. - Foto BH oleh KHALID BABA

Pasukan bola sepak Singapura akan menerima durian runtuh sekitar $2 juta selepas melayakkan diri ke Piala Asia 2027.

Hal tersebut diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Forrest Li, selepas Singa beraksi dengan cemerlang dengan mengatasi pasukan tuan rumah Hong Kong 2-1 di stadium Kai Tak pada 18 November.

“Seluruh pasukan kami benar-benar layak menerimanya.

“Jika anda seorang pemain bola sepak yang baik, memberikan sumbangan kepada negara, membawa kebanggaan dan kegembiraan kepada seluruh rakyat Singapura, anda layak dan anda wajar diberi ganjaran,” kata Li kepada wartawan semasa kepulangan pasukan Singa di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi pada 19 November.

Keputusan itu bermakna pasukan negara ini mendahului Kelayakan Piala Asia Kumpulan C dengan 11 mata, dengan berbaki satu lagi perlawanan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Forrest Li (jersi biru) mengumumkan bahawa pasukan bola sepak Singapura akan menerima durian runtuh sekitar $2 juta selepas melayakkan diri ke Piala Asia 2027.
Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Forrest Li (jersi biru) mengumumkan bahawa pasukan bola sepak Singapura akan menerima durian runtuh sekitar $2 juta selepas melayakkan diri ke Piala Asia 2027. - Foto BH oleh KHALID BABA

Daripada yang tua kepada kanak-kanak kecil, penyokong memadankan jersi serba merah dan kegembiraan memenuhi udara ketika menanti kepulangan wira negara di dewan ketibaan.

Sorakan ‘Tahniah Singa!’ daripada sekitar 200 penyokong mula bergemuruh, sejurus Hariss Harun dan Li melangkah keluar dari dewan itu.

Ketua Jurulatih Singa, Gavin Lee, berkata sambutan sokongan itu hanya sedikit gambaran tentang peluang yang boleh dicapai pemain sekarang pada masa hadapan.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Lee berkata:

“Saya harap mereka dapat menyerap semua pengalaman ini sepenuhnya dan menjadikannya pengalaman yang lebih besar lagi pada waktu yang lain.

“Ia memang pengalaman yang sangat indah, dan kami amat berterima kasih atas semua sokongan yang diterima.”

Menjawab soalan tentang langkah seterusnya, Lee berkata beliau akan mengambil cuti pendek bersama isteri, berehat seketika, menenangkan diri dan memproses semua emosi yang ada.

Mengulas mengenai jika beliau akan menjadi ketua jurulatih untuk pasukan negara, Lee menjawab:

“Jika ada perbincangan yang perlu dibuat, ia pasti akan berlaku.”

Ketua Jurulatih Singa, Gavin Lee (kanan), berharap anak didik beliau dapat menyerap semua pengalaman meraikan bersama penyokong dan menjadikannya pengalaman yang lebih besar lagi pada waktu yang lain.
Ketua Jurulatih Singa, Gavin Lee (kanan), berharap anak didik beliau dapat menyerap semua pengalaman meraikan bersama penyokong dan menjadikannya pengalaman yang lebih besar lagi pada waktu yang lain. - Foto BH oleh KHALID BABA

Hariss, yang menyambut hari lahirnya yang ke-35 pada 19 November, menerima nyanyian selamat hari jadi oleh penyokong apabila beramah tamah dengan mereka.

“Ia sesuatu yang hebat dan bermakna.

“Ini menunjukkan bahawa bola sepak boleh memberi semangat yang tinggi kepada rakyat Singapura,” kata Hariss.

Hariss turut dilihat meraikan hari jadi bersama keluarganya dengan kek.

Kapten bola sepak negara, Hariss Harun, menyambut hari lahir ke-35 beliau dengan kek bersama keluarganya di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi pada 19 November.
Kapten bola sepak negara, Hariss Harun, menyambut hari lahir ke-35 beliau dengan kek bersama keluarganya di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi pada 19 November. - Foto BH oleh KHALID BABA

Singa memenangi perlawanan tersebut hasil dua jaringan pantas Shawal Anuar dan Ilhan Fandi, yang membatalkan jaringan awal Hong Kong menerusi Matt Orr.

Dikerumuni ramai peminat yang meminta tandatangan beliau, Shawal berkata, beliau tidak menjangkakan sambutan sedemikian apabila pulang ke Singapura.

“Alhamdulillah, bila balik dan bertemu semua peminat ini, kami sangat gembira.

“Ini merupakan pencapaian paling bermakna dalam kerjaya bola sepak saya,” ujar beliau.

Shawal, yang bermula dari liga bukan profesional dan kini mencapai Piala Asia, menambah:

“Saya rasa saya telah mencapai banyak perkara sebelum ini, tetapi ini yang paling besar, bukan sahaja untuk saya, malah untuk Singapura juga.”

Penyerang Singa, Shawal Anuar (tengah), berkata beliau tidak menjangkakan sambutan yang memberangsangkan apabila pulang ke Singapura.
Penyerang Singa, Shawal Anuar (tengah), berkata beliau tidak menjangkakan sambutan yang memberangsangkan apabila pulang ke Singapura. - Foto BH oleh KHALID BABA
Penyerang Singa, Ilhan Fandi, beramah tamah dengan penyokong di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi pada 19 November.
Penyerang Singa, Ilhan Fandi, beramah tamah dengan penyokong di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi pada 19 November. - Foto BH oleh KHALID BABA

Salah seorang penyokong yang menghadiri perayaan itu, Cik Suzanna Gunawi, 59 tahun, yang juga merupakan sukarelawan Team Nila, melahirkan rasa bangga atas kejayaan pasukan negara.

“Saya menonton perlawanan tersebut di rumah dan saya sangat bangga dengan penjaring, Ilhan dan Shawal.

“Teruskan usaha baik di Piala Asia, Singa!” katanya dengan penuh semangat.

Sukarelawan Team Nila, turut menjemput kepulangan pemain bola sepak negara di Lapangan Terbang Changi pada 19 November. Berada dalam gambar ialah Cik Suzanna Gunawi, (tiga dari kanan).
Sukarelawan Team Nila, turut menjemput kepulangan pemain bola sepak negara di Lapangan Terbang Changi pada 19 November. Berada dalam gambar ialah Cik Suzanna Gunawi, (tiga dari kanan). - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg