Ilhan Fandi mungkin terasa sekelumit kehampaan apabila tidak melihat namanya tersenarai dalam kesebelasan utama untuk perlawanan penting Singapura dalam Kelayakan Piala Asia menentang Hong Kong pada 18 November.
Jauh di sudut hatinya, Ilhan, yang baru meraikan ulang tahun ke-23 pada 8 November, tahu dirinya sentiasa bersedia bila-bila masa diperlukan untuk turun padang dan beraksi seluruh jiwa raganya.
“Saya selalu kata, sama ada diberi 15 minit, 20 minit, atau jika saya mulakan permainan, saya tetap akan berikan segala-galanya,” kata penyerang itu, yang juga anak bintang bola sepak legenda Singapura, Fandi Ahmad.
“Sebelum saya masuk padang, saya sudah rasa saya boleh ubah permainan. Alhamdulillah, saya berjaya melakukannya,” jelasnya dengan nada penuh kesyukuran.
Benar, dalam tempoh sekitar empat minit yang cukup bersejarah, bermula pada minit ke-60 selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, Ilhan mencipta detik kegemilangannya sendiri.
Dengan satu gerakan pantas yang kemas melepasi barisan pertahanan Hong Kong, beliau merintis jaringan penyamaan Shawal Anuar, sebelum menghasilkan satu lagi detik lebih mengagumkan, rembatan dari luar kotak penalti, yang membuat seisi Stadium Kai Tak senyap membisu.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas perlawanan, Ilhan yang kelihatan ceria walaupun bertongkat akibat kecederaan kaki, berkata beliau yakin mampu mengubah rentak permainan, pada saat jurulatih memintanya masuk.
Beliau juga menujukan kemenangan itu sebagai hadiah buat seluruh rakyat Singapura.
“Saya cuma rasa sangat bersyukur. Saat ini bukan untuk kami saja, tapi untuk semua rakyat Singapura. Ia tunjuk siapa kita – negara kecil, tapi semangat tidak pernah mengalah. Kita Singa,” katanya sambil tersenyum lebar.
Apabila ditanya tentang kecederaannya, beliau hanya berharap ia tidak serius dan hanya ingin fokus pada kegembiraan dan kesyukuran kerana dapat membantu pasukan Singa layak ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.
Ilhan turut berkongsi, detik bersejarah itu lebih bermakna kerana ia berlaku sehari sebelum hari lahir kapten pasukan, Hariss Harun, yang jatuh pada 19 November.
“Hariss bukan saja kapten saya, beliau ‘abang’ saya, kawan saya, dan rakan sebilik saya. Saya sangat hormat padanya.
“Beliau selalu berpesan supaya saya terus kekal fokus. Beliau mentor saya. Anda semua tahu betapa bagusnya beliau, dan kita masih perlukan dia,” jelas Irfan lagi.
“Kami pun sama-sama lahir pada November, jadi saya bangga dapat hadiahkan sesuatu untuknya.”
Ilhan turut mengakui tahun ini (2025) penuh cabaran, khususnya apabila dirinya menyertai pasukan Buriram United di Thailand, lantas tidak dapat peluang bersama pasukan Singa untuk membangun sinergi bermain dan berlatih bersama.
Namun begitu, tempoh tersebut dianggap fasa penting dalam perkembangannya, dengan sesi latihan di Buriram United itu dilihat banyak membantu meningkatkan ketajamannya di padang bola, bahkan lebih baik berbanding ketika bersama BG Pathum, yang juga kelab bola sepak profesional di Thailand.
Ilhan juga meluahkan penghargaan terhadap jurulatih Singa, Gavin Lee, dek ketenangan serta pendekatan taktikalnya, Menurutnya, Lee kekal tenang meskipun pasukan Singa ketinggalan 1-0 pada awalnya, sambil terus menegaskan kepentingan mengikuti perancangan permainan.
Keyakinan yang ditunjukkan jurulatih itu dianggap sebagai faktor penting yang meningkatkan kepercayaan seluruh pasukan terhadap hala tuju taktikalnya.
Singa mempamerkan semangat tidak putus asa untuk bangkit dan meraih kemenangan daripada ketinggalan menentang Hong Kong.
Namun, ini bukan kali pertama mereka mempamerkan kebangkitan sebegitu.
Selepas keputusan mengecewakan seri 1-1 di Stadium Negara ketika menentang India pada 9 Oktober, kebangkitan 1-0 kepada 2-1 ke atas India di Goa pada 14 Oktober telah mencetus semangat baru, ditambah dengan kejayaan menewaskan Hong Kong pada 18 November.
Sudah jelas, skuad Singa semakin menunjukkan mentaliti lebih matang dan berdaya tahan.
Menurut penjaring gol pertama perlawanan pada 18 November itu, Shawal Anwar, 34 tahun, semangat dan mentaliti ini adalah berkat pasukan yang bertindak sebagai sebuah ‘keluarga’.
“Saya rasa kita boleh gabungkan kelebihan pemain muda dan lama, tetapi dengan peluang yang kami ada ini, setiap seorang daripada kami rasa seperti sebuah keluarga. Jadi kami berikan segalanya bersama-sama,” katanya lagi.
Mentaliti kuat itu turut dicerminkan oleh pemain terbaik perlawanan, Kyoga Nakamura, 29 tahun, yang mewakili pasukan Singa dan telah menunggu lima tahun sebelum mendapat kerakyatan Singapura bagi mewakili negara ini.
Beliau bangga menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini, namun pantas mengingatkan, ini bukan penamat perjuangannya.
“Kami menanti masa yang lama, penuh dengan derita dan pengorbanan, tetapi akhirnya kami cipta sejarah. Tetapi ini bukan yang terakhir,” kata pemain tengah itu.
“Perlawanan ini bukan penamat kelayakan; ini hanyalah perlawanan pertama menuju ke Piala Asia. Jadi kami perlu ubah pemikiran.”
“Hari ini, ya, kami gembira. Tetapi selepas hari ini, kami perlu bersedia untuk Piala Asia,” katanya lagi penuh bervisi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg