Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yamal ukir nama pemain termuda jaring gol dalam sejarah Euro

Jul 10, 2024 | 3:17 PM
Euro 24
Pemain Sepanyol meraikan kemenangan selepas menumpaskan pasukan Perancis 2-1 dalam separuh akhir Euro pada 9 Julai. - Foto EPA-EFE

MUNICH: Sentuhan bijak, Lamine Yamal, dalam menghasilkan gol untuk Sepanyol semasa menentang Perancis pada separuh akhir Euro 2024 cukup memukau dan bersejarah.

Dengan Sepanyol ketinggalan 0-1, Yamal melencongkan satu rembatan cemerlang dari luar kotak penalti ke sudut atas gawang sekali gus mencatat sejarah bagi remaja itu.

Pada usia 16 tahun dan 362 hari, pemain itu menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol dalam sejarah kejohanan tersebut, selain membuat mereka yang menonton gol itu tergamam kagum.

“Seorang superstar dilahirkan,” kata bekas penyerang England Gary Lineker di BBC One. “Ia adalah satu detik penting perlawanan, mungkin detik penting kejohanan ini.”

“Sungguh luar biasa,” tambah bekas penyerang England, Alan Shearer.

“Kami telah bercakap tentang beliau (Yamal) sepanjang kejohanan dan betapa amat muda usianya. Apa yang beliau lakukan sungguh mengejutkan.”

Gol itu menyebabkan peminat di dalam Stadium Allianz Arena dan seluruh dunia tergamam apabila ia dimainkan semula dalam gerakan perlahan.

Sepanyol ketinggalan 0-1 pada separuh akhir.

Ia merupakan detik yang memberi tekanan kepada pasukan negara itu, tetapi Yamal mengendalikannya dengan mudah.

Pada peringkat persiapan untuk pertandingan itu, Yamal tidak menunjukkan tanda-tanda kegelisahan.

Beliau tersenyum dan bergurau bersama rakan sepasukannya di padang beberapa jam sebelum sepakan bermula.

Keyakinan itu dapat dilihat melalui prestasinya.

“Kami melihat sentuhan genius,” kata bos Sepanyol, Luis de la Fuente, mengenai jaringan Yamal.

Jurulatih Sepanyol itu menganggap Yamal sebagai seorang pemain genius selepas beliau mempamerkan aksi memukau ketika pasukan itu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Perancis pada separuh akhir Euro 2024 pada 9 Julai.

Yamal menjaringkan gol menerusi sepakan padu dari luar kotak penalti untuk menyamakan kedudukan selepas, Randal Kolo Muani, meletakkan Perancis di depan, sebelum Dani Olma menghasilkan gol kemenangan Sepanyol kemudian.

Dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan itu, Yamal menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol dalam sejarah Euro.

“Kita melihat seorang yang genius hasil daripada produk genius,” kata De la Fuente kepada wartawan.

“Kita semua perlu menjaganya. Saya ingin beliau bekerja dengan kerendahan hati yang sama dan untuk terus belajar.

“Sejujurnya beliau kelihatan seperti pemain yang lebih berpengalaman. Saya meraikan beliau dalam pasukan kami dan beliau adalah orang Sepanyol.

“Kami bergantung padanya dan berharap kami dapat menikmatinya bagi tahun-tahun akan datang.”

Yamal kini memberi kesan di pentas antarabangsa, tetapi pemain itu sudah pun menulis rekod pencapaian cemerlang dalam musim bersama kelab Barcelona.

Beliau menjadi pemain baru dan penjaring gol termuda juga dalam La Liga.

Yamal akan mencecah usia 17 tahun pada 13 Julai – sehari sebelum perlawanan akhir Euro 2024 antara Sepanyol – sama ada dengan England atau Belanda.

Remaja itu berkata apa yang beliau mahu lakukan untuk meraikan hari lahirnya ialah “menang, menang, menang dan menang”.

Sebelum perlawanan, pemain tengah, Adrien Rabiot, berkata Yamal perlu “mempamerkan lebih daripada yang beliau lakukan setakat ini”.

Dalam pada itu, De la Fuente turut memuji barisan pemainnya yang lain.

“Kami bercakap tentang Yamal tetapi saya mempunyai 26 pemain hebat,” kata jurulatih itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg