Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yeo Jia Min akhiri kemarau panjang di Terbuka Jerman

Pemain S’pura kalahkan Thuy Linh dari Vietnam, raih gelaran Jelajah Dunia pertamanya sejak 2019 
Mar 3, 2025 | 12:56 PM
Pemain Singapura, Yeo Jia Min (kanan), meraikan mata yang diraihnya semasa menentang, Nguyen Thuy Linh, dari Vietnam dalam perlawanan akhir perseorangan wanita Terbuka Jerman pada 2 Mac.
Pemain Singapura, Yeo Jia Min (kanan), meraikan mata yang diraihnya semasa menentang, Nguyen Thuy Linh, dari Vietnam dalam perlawanan akhir perseorangan wanita Terbuka Jerman pada 2 Mac. - Foto FACEBOOK SINGAPORE BADMINTON ASSOCIATION

Lebih lima tahun, pemain badminton Singapura Yeo Jia Min menghadapi kekalahan menyedihkan disebabkan beliau gagal memanfaatkan mata kemenangan.

Ini termasuk pada perlawanan akhir Terbuka Hylo 2021 dan pusingan 16 terakhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada 2 Mac, pemain berusia 26 tahun itu akhirnya menamatkan penantian selama 66 bulan untuk merangkul gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Yeo mengambil masa 41 minit untuk menewaskan pemain Vietnam Nguyen Thuy Linh 21-16, 21-17 dalam perlawanan akhir perseorangan wanita Terbuka Jerman Super 300, sekali gus meraih gelaran Jelajah Dunia pertamanya sejak Terbuka Hyderabad 2019. 

Pencapaian itu adalah kemenangan terbesar dalam kerjaya Yeo setakat ini.

Selepas menerima cek bernilai AS$18,000 ($24,300), Yeo dalam laporan The Straits Times (ST), berkata:

“Gelaran ini sangat bermakna bagi saya. Saya telah melalui begitu banyak kekalahan dan cabaran, jadi kemenangan ini terasa lebih manis.

“Perjuangan ini sudah lama berpanjangan, tetapi saya terus percaya saya mampu melakukannya, dan saya bersyukur kepada jurulatih (perseorangan kebangsaan) Kim Ji-hyun, yang membimbing saya sepanjang perjalanan ini.”

Pemain ke-13 dunia itu meneruskan prestasi cemerlangnya pada 2025 dengan kejayaan mara ke suku akhir Terbuka Malaysia Super 1000 dan Terbuka India Super 750, sebelum memenangi gelaran Jelajah Dunia ketiganya dan kejuaraan antarabangsa kelimanya di stadium tertutup Westenergie Sporthalle, Mulheim, Germany.

Yeo membuka tirai perlawanan dengan cemerlang, menguasai permainan menerusi pukulan baik untuk mendahului 9-2. 

Thuy Linh, pemain ke-29 dunia, cuba bangkit dengan pukulan hebat, namun beberapa kali kehilangan posisi dek pukulan bijak pemain Singapura itu, yang kekal sekurang-kurangnya dua mata di hadapan sebelum menguasai set pertama.

Yeo akhirnya menamatkan perlawanan pada set ketiga selepas Thuy Linh melakukan kesilapan dengan menghantar pukulan kilas ke jaring.

Kemenangan itu memberi Yeo keyakinan untuk memenangi lebih banyak kejuaraan dan berusaha memasuki ranking 10 pemain terbaik dunia buat kali pertama.

“Keupayaan menyesuaikan diri dengan sembarang lawan dan keadaan adalah kunci (kemenangan), dan saya tahu saya perlu konsisten setiap hari untuk memenangi gelaran,” kata Yeo.

Sementara itu, pemain senegaranya, Loh Kean Yew, memberikan saingan sengit dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki menentang, Viktor Axelsen, dari Denmark.

Loh menduduki tempat kedua dan pulang dengan hadiah wang tunai AS$9,120.

Namun, Loh kekal positif dan memberi tumpuan pada persediaan bagi Terbuka Orleans dari 4 hingga 9 Mac di Perancis.

Presiden Persatuan Badminton Singapura, Lawrence Leow, memuji usaha Yeo dan Loh, serta mengaitkan kejayaan mereka kepada ulang tahun Singapura ke-60 (SG60) pada 2025. 

Beliau turut menekankan peranan ibu bapa, jurulatih, rakan sepasukan dan pihak pentadbiran dalam kejayaan mereka.

Mengulas mengenai kejayaan anak didiknya, Jurulatih Kim, berkata: 

“Jia Min bergerak pantas dan menyerang pada masa yang tepat. Namun, kita perlu perbaiki variasi pukulannya di jaring.

“Bagi Kean Yew, walaupun tewas, beliau menunjukkan banyak peningkatan, terutama dalam kawalan pukulan. Bersama-sama, kami sedang bekerja keras hingga beliau menjadi juara semula. 

“Perjalanan mencapai tempat teratas masih jauh bagi pemain kita, tetapi saya percaya kami boleh mencapainya.”

“Gelaran ini sangat bermakna bagi saya. Saya telah melalui begitu banyak kekalahan dan cabaran, jadi kemenangan ini terasa lebih manis.”
Yeo Jia Min, pemain badminton Singapura.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg