Kemenangan bersejarah pingat emas badminton beregu campuran Terry Hee dan Jessica Tan kemungkinan menjadi kenangan berharga apabila atlet dan badan sukan negara meluahkan rasa kecewa pada 23 Oktober berikutan pengguguran beberapa acara dalam Sukan Komanwel 2026.
Badminton adalah antara sukan yang terjejas. Acara lain yang turut digugurkan dalam temasya di Glasgow yang hanya akan menampilkan 10 cabang sukan – berbanding 19 pada edisi 2022 di Birmingham – termasuk tenis meja, menembak, skuasy, hoki, kriket dan ragbi tujuh sepasukan.
Keputusan yang diumumkan pada 22 Oktober itu adalah sebahagian daripada tawaran saat akhir bandar Scotland itu untuk menganjurkan temasya tersebut dari 23 Julai hingga 2 Ogos 2026, lapor The Straits Times (ST).
Scotland membuat tawaran itu selepas penarikan diri Victoria, Australia, sebagai tuan rumah pada 2023.
Tan, 31 tahun, berkata: “Pingat emas kami dalam acara beregu campuran kini lebih berharga kerana ia mungkin pingat emas badminton terakhir yang dianugerahkan di Sukan Komanwel.
“Kami telah mendermakan jersi kami daripada pertarungan akhir itu kepada Muzium Negara Singapura. Jadi ia adalah satu-satunya kenangan yang kami dapat daripada kemenangan yang menggembirakan itu.”
Hee, 29 tahun, mencelah: “Kami sememangnya kecewa kerana badminton digugurkan daripada Sukan Komanwel 2026. Sayang sekali pemain badminton tidak dapat bersaing bersama atlet Singapura yang lain.”
Pasangan suami isteri itu menewaskan pasangan pilihan tuan rumah Marcus Ellis dan Lauren Smith di final, sekali gus menggondol pingat emas bagi acara badminton di Sukan Komanwel pada 2022.
Ia adalah pingat emas pertama bagi Singapura sejak gelaran perseorangan wanita disandang oleh Li Li di Manchester pada 2002. Ia juga merupakan pingat pertama mereka di temasya utama ketika mereka layak ke Olimpik sulung mereka di Paris pada 2024.
Emas itu juga adalah satu daripada tiga pingat yang dimenangi badminton di Birmingham, dengan pemain campuran dan perseorangan wanita Yeo Jia Min menyumbang gangsa.
Ketua eksekutif Persatuan Badminton Singapura (SBA), Alan Ow, berkata keputusan itu menyebabkan pemain kehilangan platform penting untuk bersaing dengan beberapa pemain terbaik dunia.
“Pengalaman yang diperoleh daripada pertandingan peringkat tinggi sebegini amat berharga untuk pembangunan mereka, yang membolehkan mereka mencatat tanda aras kebolehan mereka di persada antarabangsa.
“SBA akan terus menyokong penyertaan badminton dalam Sukan Komanwel akan datang dan meneroka alternatif lain untuk atlet kita memperoleh pengalaman kompetitif yang berharga,” kata Ow.
Badminton telah disertakan dalam Sukan Komanwel sejak ia pertama kali dipertandingkan pada 1966 dan telah disertakan dalam setiap edisi sehingga 2022.
Turut meluahkan rasa “amat kecewa” ialah presiden Persatuan Tenis Meja Singapura Poh Li San, yang berharap pengecualian sukan itu, yang menyumbang tiga emas, dua perak dan dua gangsa pada 2022, hanya “sekali sahaja”.
“Sayang sekali ramai pemain bertaraf dunia tidak dapat bersaing di Glasgow.
“Kami berharap penganjur akan mempertimbangkan semula keputusan itu supaya Sukan Komanwel 2026 boleh menjadi inklusif dan diingati oleh ramai atlet yang menantikannya,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg