Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yip Pin Xiu, Toh Wei Soong raih pengiktirafan tertinggi Anugerah Sukan Kurang Upaya S’pura

Nov 21, 2025 | 3:11 PM
Yip Pin Xiu, Atlet Wanita Terbaik 2025, Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSA)
Ratu renang, Yip Pin Xiu, menerima anugerah Atlet Wanita Terbaik 2025 di Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSA) yang berlangsung di Hotel Paradox Singapore di Merchant Road pada 20 November. - Foto ST

Ratu renang, Yip Pin Xiu, kini menantikan masa untuk berehat seketika selepas melalui dua tahun yang padat dengan latihan dan penyertaan dalam kejohanan.

Atlet Singapura itu mengekalkan dua pingat emas Paralimpik dalam acara kuak lentang S2 50 meter dan 100 meter di Paris pada 2024, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan emas Paralimpik miliknya kepada tujuh.

Beliau kemudian meneruskan prestasi cemerlang itu dengan meraih satu emas dan satu perak pada Kejohanan Renang Para Dunia yang berlangsung di Singapura pada September.

Hasil pencapaian hebatnya itu, Yip menerima anugerah Atlet Wanita Terbaik 2025 buat kali kelima berturut-turut, dan keenam secara keseluruhan pada majlis Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSA).

Majlis anugerah tersebut, yang berlangsung di hotel Paradox Singapore di Merchant Road pada 20 November, meraikan pencapaian atlet kurang upaya dari April 2024 hingga Mac 2025.

Yip, 33 tahun, yang baru sahaja pulang dari berbulan madu di Greece, berkata:

“Mengetahui bahawa anugerah ini telah kembali pada 2019, serta melihat prestasi saya berada pada tahap yang memuaskan, saya berasa sangat bersyukur dan menghargai sokongan yang saya terima.

“Saya berharap dapat meneruskan pencapaian ini selama mampu. Saya memang merancang untuk mengekalkan prestasi ini, sama ada dalam latihan, pertandingan, dan sebagainya.”

Kekerapan latihan Yip akan dikurangkan dengan ketara pada 2026 apabila beliau menumpukan perhatian kepada Siri Renang Para Dunia sebelum menyasarkan Sukan Paralimpik Los Angeles pada 2028.

“Saya rasa ini masa sesuai untuk berehat seketika selepas dua tahun yang padat, jadi saya ambil sedikit masa untuk berehat dan kembali dengan lebih bersemangat,” tambah Yip.

Ketika berusia dua tahun, atlet renang itu didiagnosis dengan penyakit Charcot-Marie-Tooth, yang menyebabkan otot semakin lemah secara progresif.

Yip tidak akan mengambil bahagian dalam Sukan Para Asean (APG) yang berlangsung dari 20 hingga 26 Januari di Thailand kerana acara yang disertainya tidak dipertandingkan.

Kontinjen Singapura seramai 41 atlet akan diketuai oleh atlet renang para, Toh Wei Soong, yang meraih anugerah Atlet Lelaki Terbaik 2025 buat kali keempat berturut-turut pada 20 November.

Singapura membawa pulang sebanyak 12 pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa daripada edisi APG 2023 di Kemboja.

Lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) itu meraih satu pingat emas dan gangsa pada Siri Renang Para Dunia Citi Singapura pada 2024, sebelum layak ke pertandingan akhir acara gaya bebas S7 50 meter dan gaya kupu-kupu S7 50 meter di Paralimpik Paris.

Ibu beliau, Cik Stella Hu, menerima anugerah itu bagi pihak Toh, 27 tahun, yang kini berada di Nagano, Jepun, untuk kem latihan sebagai persediaan menghadapi APG.

Apabila dihubungi The Straits Times (ST), Toh berkata:

“Saya berasa amat terharu dapat menerima anugerah Atlet Lelaki Terbaik 2025 ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya atas kasih sayang dan sokongan mereka, serta tunjuk ajar daripada jurulatih Ang Peng Siong dan jurulatih Osamu Gushi.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang menerima pencalonan, mereka merupakan atlet hebat dan saya bangga menjadi sebahagian daripada Team Singapore bersama mereka.

“Saya berasa amat berbesar hati dapat berkongsi pentas anugerah ini bersama mereka,” tambah Toh.

Penerima anugerah menerima durian runtuh tahun ini (2025) kerana mereka menerima tambahan wang tunai khas bernilai $5,000 untuk anugerah laluan sukan dan prestasi, serta sehingga $3,000 untuk anugerah masyarakat, sumbangan CKY Foundation.

Selain itu, Haw Par Corporation turut menyumbang $120,000 kepada Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) bagi memperingati ulang tahun ke-10 kerjasama mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg