Ratu renang, Yip Pin Xiu, 33 tahun, biasanya tidak menangis apabila kalah dalam perlumbaan.
Namun, air matanya menitis pada 23 September apabila menduduki tempat kedua dalam pusingan akhir acara renang kuak lentang S2 100 meter di Kejohanan Renang Para Dunia Toyota 2025.
“Kekecewaan saya bukan kerana saya gagal memenangi pingat emas, tetapi kerana masa perlumbaan.
“Saya betul-betul mahu mengulangi (prestasi) sesi pagi. Saya tahu saya boleh melakukan yang lebih baik dan masa ini bukan masa terbaik saya. Jadi, ada perasaan seperti ‘Ah sian, wasted’ (terlepas peluang),” kata Yip semasa berbual dengan wartawan di Pusat Akuatik OCBC setelah menerima pingat.
Dengan suara terketar-ketar, Yip tidak dapat menahan air matanya daripada menitis, lapor The Straits Times.
“Biasanya, saya tidak menangis… Tetapi saya keluar (dari kolam renang) dan ramai orang bersorak menyokong saya.
“Pada awalnya saya rasa keberatan memikul (harapan) negara. Tetapi saya terharu, kerana walaupun saya hanya memenangi pingat perak, semua orang menunjukkan sokongan dan kasih sayang,” katanya.
Ketika namanya diumumkan pada acara pusingan akhir, Pusat Akuatik OCBC bergema dengan sorakan menggalakkan, “Go, Pin Xiu, go!”.
Dengan sokongan peminat setempat, Yip kelihatan akan memenangi perlumbaan itu apabila mendahului pada jarak 50 meter.
Namun, beliau dipintas Diana Koltsova dari Russia yang menjuarai acara itu dengan mencatatkan masa 2 minit 19.60 saat.
Yip mencatat masa 2 minit 23.73 saat untuk menduduki tempat kedua, manakala Angela Procida dari Italy berada di tempat ketiga dengan catatan masa 2 minit 32.32 saat.
Pada pusingan kelayakan sebelah pagi, Yip, yang memenangi tujuh pingat emas dalam kejohanan dunia, mendahului dengan catatan masa 2 minit 20.37 saat, lebih pantas daripada catatan perenang Italy, Arjola Trimi (2 minit 27.72 saat) dan Procida (2 minit 31.11 saat).
Perenang veteran itu akan menentang Koltsova, 17 tahun, sekali lagi dalam acara kuak lentang S2 50 meter pada 26 September, untuk mengekalkan kejuaraannya sejak 2023.
Yip, yang turut memenangi tujuh pingat emas dalam Sukan Paralimpik, bagaimanapun, tidak risau tentang keputusannya itu.
“Setiap perlumbaan adalah peluang untuk meraih pengajaran dan menambah baik prestasi. Sukan Paralimpik di Paris baru lepas tahun lalu (2024) dan masih ada tiga tahun lagi sebelum Los Angeles (LA).
“Jadi saya ada cukup masa untuk memperbaiki diri saya dan mencari strategi terbaik untuk LA,” tambahnya.
Mengulas persembahan Koltsova, yang separuh usianya, Yip berkata: “Beliau bukan atlet yang baru, malah pernah bertanding di Paris, tetapi seronok melihat orang bergembira.
“Saya sangat gembira melihat sukan ini berkembang dengan kemunculan lebih ramai atlet dan peningkatan daya saing… Kami selalu mahukan lebih ramai orang menyertai dan menikmati (sukan ini).”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg