Subuh
5:39
Syuruk
7:03
Zuhur
1:10
Asar
4:35
Maghrib
7:14
Isyak
8:30

Selera muda ghairah segarkan kuih-muih tradisional Melayu

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

Selera muda ghairah segarkan kuih-muih tradisional Melayu

Apr 04, 2021 | 05:30 AM

Generasi muda perlu meneruskan tradisi membuat kuih-muih tradisional Melayu agar ia tidak ditelan zaman. Jika generasi muda tidak meneruskan warisan ini, siapa lagi? Justeru, iltizam untuk mengenali dan mempelajari kuih-muih Melayu harus datang dalam diri mereka agar mereka dapat menjadi penyambung tradisi ini. BERITA MINGGU (BM) menemu ramah beberapa cef dan meminta pandangan mereka serta beberapa peniaga muda yang menjual kuih-muih Melayu.

KUIH-MUIH Melayu memang dikenali dengan kerumitan dan ketelitian dalam pembikinannya, dan ini telah menyebabkan tidak ramai yang mahu mengajar, atau belajar cara membuatnya.

Jika dibiarkan, lama-kelamaan, kuih-muih tradisional seperti nagasari dan kaswi mungkin pudar dan hilang daripada ingatan.

Mujur ada segelintir anak muda Melayu setempat yang gigih menyingsing lengan di dapur, memerah santan atau memarut ubi, untuk meneruskan hayat kuih-muih Melayu lama agar dapat terus dinikmati dalam dekad-dekad mendatang.

Tidak sekadar menghasilkan kuih-muih itu untuk dinikmati sendiri, anak-anak Melayu itu telah menubuhkan perniagaan yang telah menerima sambutan baik sejauh ini.

Cef selebriti, Cef Mel Dean, bagaimanapun berkata, bilangan usahawan Melayu muda yang berniaga kuih-muih tradisional hari ini agak kecil berbanding generasinya dahulu.

Beliau mendapati anak Melayu hari ini lebih cenderung kepada manisan Barat seperti kek cawan, kek, macaron dan 'churro'.

Malah ada sesetengah anak muda tidak kenal atau tidak tahu nama kuih-muih Melayu, tambahnya.

"Mungkin mereka tidak mendapat pendedahan kerana ibu atau nenek mereka sendiri tidak memupuk minat itu dalam diri mereka. Saya khuatir anak muda Melayu akan datang tidak mengenalinya hingga ia pupus," kata Cef Mel.

Beliau tidak menafikan kuih-muih Melayu tradisional rumit dan mengambil masa agak lama untuk dihasilkan dan ini membuat orang muda kurang berminat membuatnya.

Memberi contoh, Cef Mel berkata pencuci mulut seperti kuih kacau, dodol dan wajik harus diaduk lebih daripada tiga jam dan memerlukan kepakaran, kesabaran serta ketelitian.

Satu lagi sebab yang mungkin membuat anak muda keberatan untuk meniaga kuih-muih Melayu tradisional ialah harga.

"Walaupun harga bahan sudah naik, tetapi masyarakat masih agak keberatan untuk membeli kuih-muih Melayu pada harga lebih tinggi. Tetapi mereka sanggup berbelanja besar bagi manisan Barat atau 'fusion' yang dianggap lebih terkini, cantik untuk diambil gambar untuk Instagram, dan lebih 'cool'.

"Justeru kuih Melayu dilihat tidak memberi pulangan yang tinggi jika dibandingkan dengan kuih 'fusion' atau Barat," katanya.

Seorang lagi cef selebriti, Cef Siti Mastura Alwi, pula berpendapat bukannya anak muda tidak mahu menjual kuih-muih Melayu, tetapi kerana tidak ramai guru yang mengajar membuatnya.

"Disebabkan itu, mereka lebih sering menjual jenis pencuci mulut Barat kerana kelas membuat juadah sedemikian lebih mudah didapati. Ada juga anak Melayu yang berpendapat kuih Melayu mengambil masa yang lama untuk dibuat dan cepat basi," kata Cef Siti Mastura yang mengajar membuat pelbagai jenis pencuci mulut Melayu tradisional.

Beliau berkata, turut merisaukan ialah ada anak muda tidak kenal bahan yang biasa digunakan dalam kuih-muih Melayu seperti daun pisang dan daun pandan, dan ada juga yang tidak tahu dari kaum mana asalnya sejenis kuih itu.

"Kita perlu membuat kuih Melayu lebih menarik dan menyelerakan. Kita juga perlu melakukan pembaharuan untuk memudahkan cara membuat kuih Melayu. Kita boleh ada versi moden, tetapi kita juga perlu tunjuk cara membuat versi asli.

"Contohnya, apabila saya membuat nagasari pisang dalam versi kek, ini membuatnya lebih menarik kepada anak muda kerana pertama, mereka tidak ada masa untuk membeli daun pisang, dan kedua, mereka mungkin mendapati agak leceh untuk membersihkan dan melembutkan daun itu, sebelum memotong, melipat dan kemudian mengukusnya.

"Tetapi, walaupun saya mempunyai versi moden kuih ini, saya masih membuka kelas bagi versi nagasari pisang asli," kata Cef Siti Mastura, yang turut mengajar dua cucunya yang berusia empat dan dua tahun memakan dan membuat onde-onde dan kuih lapis beras.


APA KATA CEF SELEBRITI

"Walaupun harga bahan sudah naik, tetapi masyarakat masih agak keberatan untuk membeli kuih-muih Melayu pada harga lebih tinggi. Tetapi mereka sanggup berbelanja besar bagi manisan Barat atau 'fusion' yang dianggap lebih terkini, cantik untuk diambil gambar untuk Instagram, dan lebih 'cool'.
Justeru kuih Melayu dilihat tidak memberi pulangan yang tinggi jika dibandingkan dengan kuih 'fusion' atau Barat.''

- Cef Mel Dean


"Kita perlu membuat kuih Melayu lebih menarik dan menyelerakan. Kita juga perlu melakukan pembaharuan untuk memudahkan cara membuat kuih Melayu. Kita boleh ada versi moden, tetapi kita juga perlu tunjuk cara membuat versi asli.
Contohnya, apabila saya membuat nagasari pisang dalam versi kek, ini membuatnya lebih menarik kepada anak muda.''

- Cef Siti Mastura Alwi

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3