Subuh
5:40
Syuruk
7:03
Zuhur
1:10
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30

Bakat remaja Athirah kota impian duet dengan idola Jumali

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Bakat remaja Athirah kota impian duet dengan idola Jumali

'Harapan Cinta' rakaman rasa kekasih terpisah kerana wabak Covid-19
Apr 12, 2021 | 05:30 AM

Paduan suara dua penyanyi daripada generasi berbeza ataupun dengan cita rasa muzik berlainan akan melahirkan lagu-lagu cinta 'menyengat'. Kerjasama sebegini memperkasa semangat bakat setempat ataupun di seberang Tambak yang sentiasa mencari ruang bereksperimen. BERITA HARIAN melaporkan.


IBARAT pucuk dicita ulam mendatang.

Anak muda yang mula mendapat tempat di hati pengikutnya, Nur Athirah Kamalrudin, 19 tahun, teruja apabila diberi peluang merakam lagu duet bersama idolanya, Jumali Sanotri.

Maka terakamlah lagu Harapan Cinta yang dicipta Jumali, 31 tahun, sebagai sebuah lagu tentang sepasang kekasih yang merindu kerana tidak dapat bertemu dek wabak Covid-19.

Apakah kisah di sebalik lagu duet yang sudah ke udara di gedung digital Spotify dan iTunes ini?

Ikuti wawancara bersama mereka.

Soalan (S): Bagaimana terakamnya lagu 'Harapan Cinta'?

Nur Athirah (NA): Ia tercetus apabila Abang Jumali memberi saya peluang menyanyikan lagu ciptaannya.

Ia adalah rakaman rasa rindu sepasang kekasih yang memberi keyakinan cinta mereka tidak akan terputus walau terpisah.

S: Apakah perasaan Athirah dapat berduet dengan Jumali?

NA: Pastinya teruja. Sudah lama nak duet dengan Abang Jumali yang memang antara bakat setempat yang saya hormati.

Saya suka melodinya sebab ada aliran irama yang menyenangkan hati. Lagu kegemaran saya pula ialah Kau Yang Bertanda, lagu duet Abang Jumali dan Kak Chomel.

S: Apa pula pandangan Jumali tentang potensi bakat baru seperti Nur Athirah?

Jumali (J): Sejujurnya, Athirah sangat berbakat. Beliau serba boleh dari segi genre dan mempunyai kelebihan suara tersendiri walau masih muda.

Vokalnya merupakan anugerah Tuhan yang harus Athirah sendiri hargai.

Bagi saya, senang bekerjasama dengan bakat yang buat 'homework' terlebih dahulu sebelum rakaman lagu ini.

Athirah memberikan cara nyanyian melodi tersendiri. Saya bukanlah seorang yang arif dalam memberi tunjuk ajar dari segi vokal. Semua orang ada kelemahan dan kebolehan.

Saya hanya doakan yang terbaik buat Athirah dalam perjalanan seninya.

S: Namakan tiga lagu duet kegemaran anda.

NA: Memori Berkasih dan Gurauan Berkasih oleh Achik dan Nana serta Cinta oleh Melly Goeslaw dan Krisdayanti.

J: Dua Insan (M.Nasir/Yunizar); Samarenda (Renggo/Liza Abdullah) dan Jangan Ada Dusta Di Antara Kita (Broery Marantika/Dewi Yull).

S: Apakah kenangan manis 2021 sejauh ini?

NA: Alhamdulillah, saya juarai adu bakat Inggeris, Safra Ultimate Talent, baru-baru ini.

J: Kalau tahun lalu tu, adalah. Alhamdulillah isteri saya melahirkan cahaya mata kami, anak lelaki, Luth Amshah Jumali, yang kini berusia enam bulan.

Saya juga mempunyai anak lelaki berusia 13 tahun, Ammaar Naufhal Jumali.

S: Ada perancangan bagi kerjaya muzik anda selanjutnya?

J: Buat masa ini, wabak Covid-19 belum reda. Justeru, saya tidak pasti bagaimana mencorak kerjaya muzik saya. Saya tidak menyimpan sebarang jangkaan dalam keadaan serba tidak tentu.

Alhamdulillah, lagu duet ini dapat dihasilkan. Kalau keadaan mengizinkan, saya akan keluarkan lagu solo saya sendiri tahun ini.

S: Ramadan akan disambut esok. Apakah harapan anda? Mungkinkah ada sajian wajib buat keluarga anda?

NA: Saya ingin luangkan masa bersama keluarga, berbuka puasa dan beramal bersama. Waktu berbuka adalah masa paling sesuai menikmati juadah, bersyukur dan bersembang tentang jadual harian. Kuih kegemaran saya sewaktu berbuka ialah seri muka.

J: Tak sabar rasanya nak berbuka dengan isteri dan anak di rumah baru kami! Mudah-mudahan, kehidupan kami dirahmati dan diberkati pada bulan mulia ini.

Dari segi juadah kegemaran berbuka, saya tak cerewet. Apa yang ada, makan sahaja. Alhamdulillah.

S: Apakah harapan anda buat persada seni Singapura?

NA: Saya berharap bakat Singapura akan bergabung tenaga bagi membangkitkan lagi persada seni Singapura.

J: Singapura ramai anak seni berbakat. Sayangnya, sebilangan besar terbiar tanpa sokongan atau diberi perhatian.

Ada yang mencuba nasib di seberang Tambak kerana merasakan pasaran di sana lebih luas dan penerimaan jauh lebih baik.

Mudah-mudahan, tanggapan sesetengah pihak tentang muzik Singapura boleh diubah kerana kita saling memerlukan. Bahkan bisnes juga menyokong seni. Sebagai contoh, kedai gunting Sri Dewa memberi anak seni seperti saya penampilan rambut berbeza.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3