Subuh
5:41
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:30

Bengkel masih tarik minat pemilik kereta vintaj

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Ekonomi & Kerja
29
0

BENGKEL KERETA VINTAJ

Bengkel masih tarik minat pemilik kereta vintaj

Jun 17, 2021 | 05:30 AM

DERETAN kereta antik atau vintaj mewah jelas terpamer di bengkel kereta milik Encik Zainal Nik yang terletak di Sin Ming Drive ini.

Siapa sangka, bengkel kereta Car One Garage milik anak Melayu/Islam ini merupakan salah satu bengkel pilihan penggemar kereta antik, yang rata-rata berusia 50 tahun ke atas dan bernilai ratusan ribu dolar.

Menurut Encik Zainal, kereta vintaj ini mempunyai peminat dan penggemar tegar yang tersendiri, dan setiap dari kereta ini mempunyai nilai harga yang cukup tinggi.

Ada yang berharga ratusan ribu dolar dan tidak mustahil juga ada yang sanggup membeli kereta jenis ini walaupun berharga hampir setengah juta dolar.

Antara kereta yang terdapat di bengkelnya untuk diperbaiki termasuk 1959 Austin Healey Sprite, 1965 Datsun Fairlady dan 1966 Ford Mustang.

Encik Zainal, 64 tahun, memberitahu Berita Harian (BH), servis untuk kenderaan vintaj ini juga agak mahal dan boleh mencecah sehingga $10 ribu dolar. Kos ini termasuk menukar alat gantian kenderaan dan perkhidmatan lain.

Lebih mencabar lagi, kebanyakan alat gantian ini hanya terdapat di luar negara seperti di Britain dan Amerika Syarikat. Selain kesukaran untuk mendapatkannya, alat gantian ini juga mengambil masa yang lama untuk sampai ke Singapura.

"Menjalankan perniagaan servis dan bengkel kereta ini memang mempunyai rintangan yang tersendiri. Seperti saya, kerana kami mempunyai tukikan dalam servis kenderaan vintaj dan antik ini, jadi cabarannya juga cukup tinggi dan rencam.

"Antaranya, mendapatkan alat gantian yang baru. Alat gantian sebegini (bagi kereta vintaj) seperti enjin dan penukaran tayar memang sukar dicari, malah ada yang sudah tidak dihasilkan lagi oleh syarikat kereta tersebut.

"Jadi kami perlu terus meluaskan pencarian dan pilih yang terbaik untuk kenderaan tersebut. Walaupun harganya mahal, namun sebahagian komponen kenderaan sebegini juga masih mendapat permintaan yang tinggi dari penggemarnya.

"Servis untuk kereta vintaj ini juga tidak murah dan boleh mencecah ribuan dolar. Yang hampir 10 ribu pun ada. Jadi sebagai pemilik bengkel kereta ini, saya akan memastikan perkhidmatan yang kami berikan kepada pelanggan berbaloi dan menepati permintaan dan kemahuan mereka," jelas Encik Zainal, datuk kepada empat orang cucu ini dengan ramah.

Walaupun negara ini sedang menjalani Fasa Tiga (Kewaspadaan Dipertingkat) dan banyak perniagaan terjejas teruk, namun perniagaan servis keretanya kekal stabil. Malah menurutnya, tiada yang berbeza dari sebelumnya.

Encik Zainal, yang mempunyai pengalaman lebih 4 dekad dalam pembaikan kenderaan dan sudah lebih dari 20 tahun menjalankan perniagaan sendiri, turut bersyukur kerana sokongan dari pelanggan tetap ada, meskipun di ambang Covid-19 ini.

Selain kereta vintaj, syarikatnya juga boleh memperbaiki jenis kereta lain, seperti kereta buatan Jepun, kereta kontinental dan sebagainya.

"Dalam fasa ini, memang kami tidak berapa merasakan keperitan yang teruk berbanding pemutus litar pada tahun lalu. Keadaan agak sama seperti sebelumnya, jadi tiada perubahan yang mendadak bagi servis kereta.

"Mungkin kerana, syarikat kami dianggap perkhidmatan penting, jadi servis tetap berjalan lancar seperti pra-Covid-19 dahulu.

"Saya juga mengharapkan, pemerintah boleh terus memberikan bantuan yang diperlukan kepada peniaga tempatan agar pandemik ini tidak menjejas kelangsungan perniagaan mereka," tambahnya lagi yang menggajikan dua pekerja sepenuh masa di syarikatnya.


"Mungkin kerana, syarikat kami dianggap perkhidmatan penting, jadi servis tetap berjalan lancar seperti pra-Covid-19 dahulu. Saya juga mengharapkan, pemerintah boleh terus memberikan bantuan yang diperlukan kepada peniaga tempatan agar pandemik ini tidak menjejas kelangsungan perniagaan mereka."
- Encik Zainal Nik, pemilik bengkel kereta Car One Garage.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3