Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PANDANGAN

Beri sokongan pelajar ITE capai aspirasi

Lepasan ITE dilengkapkan kemahiran bekerja dan kecekapan teknikal yang diperlukan pelbagai industri
Aug 03, 2021 | 05:30 AM



SEWAKTU zaman persekolahan saya, keluarga saya sering kesempitan wang.



Oleh itu, ketika di peringkat prauniversiti, setiap hujung minggu saya bekerja sambilan menjual minuman di Kelab Lumba Kuda Singapura untuk membiayai perbelanjaan saya dan serba sedikit menyumbang kepada perbelanjaan keluarga.



Ketika keputusan peperiksaan GCE Peringkat 'A' diumumkan, saya teruja kerana menjadi anggota pertama dalam keluarga yang berjaya mendapat tempat di universiti.



Namun, pada masa yang sama, saya agak kecewa juga kerana tidak melayakkan diri untuk mengikuti kursus pilihan utama saya disebabkan keputusan yang tidak cukup baik.



Ketika itu saya tertanya-tanya mungkinkah ini disebabkan saya kurang memberi perhatian kepada pelajaran kerana kerja sambilan?



Saya tidak pasti, namun hakikatnya, saya berada di persimpangan: "Patutkah saya menerima tawaran kursus yang diusulkan atau ulang setahun lagi untuk menduduki GCE peringkat 'A' semula? Mahukah saya menjual minuman setahun lagi?"



Pada waktu itu, saya sudah memulakan Perkhidmatan Negara (NS).



Pengalaman itu menjadi salah satu titik kenangan dalam perjalanan akademik saya. Saya yakin bahawa saya boleh melakukan yang lebih baik.



Akhirnya, saya mengambil keputusan menduduki GCE peringkat 'A' sekali lagi, kali ini sebagai calon persendirian sedang saya menjalani NS.



Ketika itu, saya menghabiskan masa pada sebelah malam untuk belajar dan membuat persiapan menghadapi peperiksaan saya.



Tidak semudah yang dijangkakan untuk belajar pada waktu malam dan berlatih dan berkhidmat pada siangnya.



Saya masih ingat lagi saya mengalami jangkitan kuman paru-paru yang serius menjelang GCE peringkat 'A' kerana kerap berjaga malam dan kurang tidur.



Namun, semuanya berbaloi sekali kerana saya berjaya meraih keputusan yang jauh lebih baik!



Apabila saya mendaftar diri untuk memasuki universiti, saya teringat arwah ayah saya bertanya, "Kena bayar berapa?"



Beliau bimbang sekiranya tidak mampu untuk menyokong pengajian universiti saya.



Saya terus gigih belajar semasa di universiti, memberi kelas tuisyen untuk membiayai perbelanjaan sendiri agar tidak membebankan ibu bapa saya.



Semasa cuti semester, saya bekerja di 7-11 ketika itu.



Adakah kerja keras dan susah payah saya berbaloi? Sudah tentu, 100 peratus!



Saya amat menghargai latihan minda dan peluang pekerjaan yang saya perolehi sepanjang pendidikan saya. Kepuasan mencapai impian saya sememangnya tidak boleh dibeli dengan wang.



Justeru, apabila saya bertemu dengan anak-anak muda yang berkongsi tentang perjalanan pendidikan mereka yang terhalang kerana pelbagai sebab, sama ada untuk menyara kehidupan keluarga atau kurangnya motivasi, saya menggalakkan mereka agar mencari jalan untuk meneruskan pengajian dan beri tumpuan kepada matlamat jangka panjang kerana mencari ilmu pengetahuan merupakan usaha sepanjang hayat.



Saya telah bertemu dengan ramai pelajar dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE). Ada yang berkongsi bahawa mereka perlu bekerja demi menampung perbelanjaan sendiri dan ada juga yang perlu membantu keluarga.



Saya amat faham perasaan mereka kerana saya juga telah melalui pengalaman yang sama.



Mesej saya kepada mereka - kami di sini untuk anda. Kami sentiasa bersedia membantu anda. Kami akan memberikan sokongan yang mereka memerlukan sama ada bantuan kewangan, pendidikan dan pelbagai perkara lagi.



Pada dasarnya, kami akan menyediakan asas yang lebih kukuh bagi peningkatan diri mereka.



Kami akan memperkenal perubahan kepada struktur kurikulum dalam beberapa kursus terpilih seperti yang telah saya umumkan pada April tahun ini.



Pelaksanaan sepenuhnya bagi semua kursus dijangka bermula semasa pengambilan pelajar baharu pada 2026.



Ingin saya luahkan keprihatinan pelajar-pelajar dahulu dan sekarang, serta cara perubahan-perubahan yang dapat membantu mereka:



1. "JANGKA MASA KURSUS SAYA TERLALU PANJANG."



Kursus-kursus di ITE menawarkan program Sijil Nasional ITE (Nitec) selama dua tahun, diikuti dengan program Nitec Lanjutan (Higher Nitec) juga selama dua tahun. Jumlah masa keseluruhan kursus ialah empat tahun.



Dalam struktur kurikulum yang dipertingkat, ITE telah memperkemas kursus-kursus dan lebih banyak perancah atau scaffolding pembelajaran diselitkan agar pelajar dapat memperoleh sijil Nitec Lanjutan dalam masa tiga tahun.



Sukatan pelajaran baharu ini juga lebih fleksibel di mana pelajar yang berkebolehan boleh memperoleh sijil Nitec Lanjutan dengan lebih cepat, iaitu dua tahun.



2. "SAYA TIDAK DITAWARKAN KURSUS NITEC LANJUTAN YANG SAYA MAHU SELEPAS LULUS KURSUS NITEC, JADI LEBIH BAIK BERHENTI SEKOLAH."



Selepas menamatkan latihan Nitec, pelajar perlu memohon melanjutkan pelajaran ke Nitec Lanjutan dan ada pula pelajar yang mungkin disalurkan untuk mengikuti kursus berbeza.



ITE telah memperkemas kurikulum Nitec dan Nitec Lanjutan agar pelajar yang diterima masuk ke ITE boleh meneruskan latihan Nitec dan Nitec Lanjutan dalam sektor yang sama.



3. "SAYA PERLU MULA BEKERJA."



Kurikulum tiga tahun yang baharu ini akan memperdalam kemahiran dan kecekapan berserta dua latihan penempatan industri yang disepadukan.



Latihan penempatan kedua pula diasaskan melalui pengalaman pembelajaran penempatan industri yang pertama.



Dalam pada itu, pelajar ITE dalam latihan penempatan akan dibimbing dengan lebih rapat lagi oleh mentor mereka di tempat kerja.



Lepasan ITE juga akan lebih bersedia memasuki alam pekerjaan dalam jangka masa yang pendek.



Kesemua ini merupakan nilai tambahan agar tiada yang akan melepaskan peluang ini dengan berhenti bersekolah lebih awal.



ITE juga menawarkan program bekerja sambil belajar di peringkat diploma - Diploma Kerja-Belajar ITE (Work-Study Diploma -WSDip) yang membolehkan lepasan ITE berlatih dalam suasana pekerjaan yang autentik dan menambah nilai pengalaman bekerja serta pendedahan industri semasa mengikuti kursus diploma.



Lepasan WSDip yang saya temui berkongsi bahawa pengalaman ini telah membantu mereka memulakan kerjaya dengan lebih yakin dan berpeluang mendapat pekerjaan yang lebih baik.



4. "ITE MERUPAKAN TEMPAT BAGI MEREKA YANG GAGAL."



Stigma sebegini sememangnya tidak berasas dan tidak adil. Mereka memperlekeh usaha gigih para pendidik ITE yang telah bersungguh-sungguh menyokong pelajar dari pelbagai latar belakang, yang mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza dan yang mempunyai aspirasi tersendiri.



Pedagogi berorientasikan amali yang unik di ITE membantu pelajar GCE peringkat 'N' dan peringkat 'O' meneruskan pendidikan mereka dalam program yang relevan dan diperlukan dalam pelbagai industri.



Kami yakin, lepasan ITE kami dilengkapkan dengan kemahiran bekerja dan kecekapan teknikal yang diperlukan pelbagai industri.



Tambahan pula, lepasan ITE boleh terus meningkatkan kemahiran setelah tamat kursus Nitec dan Nitec Lanjutan. Mereka boleh meneruskan pengajian dalam Diploma Teknikal ITE dan Diploma Kerja-Belajar ITE.



Ada juga yang mengikuti program diploma di politeknik atau ijazah di univeristi. Ramai juga yang memilih mencari pengalaman bekerja dan melanjutkan pelajaran kemudiannya dengan kembali ke ITE untuk mendapatkan kelayakan baharu, peluang kerjaya atau menaik taraf kemahiran yang ada.



ITE merupakan pusat untuk pelajar memperoleh kemahiran, kecekapan dan selanjutnya menggalas tanggungjawab tugas dalam pelbagai industri.



ITE juga tempat bagi pelajar mendapatkan perhatian dan bimbingan yang diperlukan untuk memajukan diri.



Saya telah menemui ramai lepasan ITE yang berjaya dalam kerjaya mereka menjadi penyumbang penting dan bermakna kepada masyarakat.



Saya berharap kita dapat bekerjasama sebagai satu masyarakat untuk memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar mencapai aspirasi mereka di ITE dan seterusnya.



Dengan persaingan di peringkat sejagat, masa depan amat mementingkan bakat, kita perlu berusaha gigih untuk membangunkan bakat setiap anak muda Singapura untuk berjaya!



  • Penulis Menteri di Pejabat Perdana Menteri serta Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar.

Infografik: LALUAN 3 TAHUN MENUJU KE HIGHER NITEC




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >