Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEDUTAN UCAPAN PRESIDEN HALIMAH YACOB DI PERSIDANGAN IPS MENGENAI PEMBANGUNAN WANITA

Perlu kenal pasti, idea baru tangani isu wanita

Jun 04, 2021 | 05:30 AM



KEMENTERIAN Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah mengkhaskan 2021 sebagai Tahun Meraikan Wanita Singapura.



Ini satu pengiktirafan yang tepat pada masanya.



Wanita Singapura telah meraih kemajuan besar dari segi pendidikan, pencapaian kerjaya serta penyertaan dalam masyarakat.



Masyarakat juga memberi lebih penekanan dan pengiktirafan kepada sumbangan serta pencapaian wanita ini.



BINCANG PEMBANGUNAN WANITA SINGAPURA



Bagaimanapun, masih ada ruang bagi peningkatan kerana kemajuan merupakan satu usaha yang berterusan.



Sejak September tahun lalu, pemerintah Singapura bersama rakan kerja daripada masyarakat sivil, perniagaan, masyarakat dan lain-lain lagi telah mengadakan siri perbincangan tentang pembangunan wanita Singapura untuk berhubung dengan warga Singapura - baik wanita mahupun lelaki - demi memahami aspirasi mereka bagi wanita Singapura.



Sejauh ini, lebih 100 perbincangan melibatkan lebih 3,300 peserta telah dijalankan.



Persidangan hari ini merupakan satu contoh perbincangan sedemikian.



Ia bertujuan mengenal pasti isu yang dihadapi wanita dalam abad ke-21 ini dan membincangkan idea baru serta amalan baik.



Tujuannya bukan untuk mengkaji cara yang sudah digunakan tetapi mengundang pandangan baru tentang isu itu, termasuk yang sudah lama wujud.



Perbincangan ini memberi pemerintah wadah untuk mendengar keprihatinan daripada semua sektor masyarakat tentang bagaimana untuk mencapai kesamaan jantina yang lebih baik.



Semua pandangan akan dipertimbang dan pemerintah akan mengemukakan Kertas Putih dengan saranan serta hala tuju bagi pelaksanaannya.



USAHA LINDUNG DAN SOKONG WANITA



Secara kebetulan, tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 Piagam Wanita.



Piagam Wanita diluluskan di Dewan Perundangan pada 1961 dan merupakan satu perkembangan yang besar ketika itu.



Ia melindungi kedudukan wanita di Singapura dengan mengkanunkan undang-undang perkahwinan dan perceraian, serta menghapuskan amalan tidak adil dan lapuk zaman dahulu.



Piagam Wanita itu juga memberi wanita status sah yang tidak dapat dipadankan di banyak negara ketika itu.



Wanita yang sudah berkahwin berhak menggunakan nama keluarga dan nama mereka sendiri untuk menandatangani kontrak serta memiliki hartanah.



Ahli politik perintis wanita seperti Chan Choy Siong memainkan peranan utama dalam pelaksanaan Piagam Wanita itu.



Tidak semua orang dalam Dewan Perundangan menyokong Piagam Wanita itu pada mulanya kerana ini merupakan satu perubahan besar ketika itu.



Kita amat terhutang budi kepada Chan Choy Siong dan wanita lain yang telah merintis jalan untuk mencapai keseimbangan antara wanita dengan lelaki.



Adalah penting untuk kita ingat bahawa Piagam Wanita bukan dokumen yang statik.



Pelbagai pindaan telah dibuat beberapa kali sepanjang sejarah negara ini untuk melindungi dan menyokong wanita dengan lebih baik.



Beberapa langkah turut diambil pada 2011 untuk meningkatkan penguatkuasaan perintah nafkah, demi memastikan wanita dan kanak-kanak terus disokong selepas perceraian.



Pada Februari 2016, satu rang undang-undang pindaan telah diluluskan untuk meningkatkan perlindungan bagi wanita yang mudah terjejas, menyokong mereka dengan lebih baik dalam situasi keganasan dan krisis keluarga serta mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang terhadap kegiatan maksiat di dalam talian.



Bagi mengiktiraf kesetaraan dengan kaum Adam, rang undang-undang itu juga membenarkan suami dan bekas suami yang tidak berupaya untuk memohon bagi nafkah daripada pasangan wanita mereka sekiranya jelas ada keperluan.



Sedang kita membuat penilaian tentang kemajuan wanita pada Tahun Meraikan Wanita Singapura ini, adalah penting juga kita menyemak dasar sedia ada dan norma sosial sekarang untuk memberi respons yang mencukupi kepada sikap serta cabaran yang berubah-ubah berhubung kesetaraan antara wanita dengan lelaki.



Kanun Jenayah dipinda pada 2019 untuk meningkatkan perlindungan bagi wanita dan gadis termasuk dengan memansuhkan imuniti perkahwinan bagi rogol dan meningkatkan hukuman bagi mereka yang melakukan keganasan dengan pasangan intim mereka.



Akta Perlindungan Daripada Gangguan (Poha) juga dipinda pada 2019 untuk mengukuhkan perlindungan bagi mangsa gangguan dan perbuatan mengekori mereka dengan tujuan tidak baik.



Mac lalu, Kenyataan Menteri berhubung semakan pemerintah mengenai rangka kerja hukuman bagi kesalahan seksual dan mencedera menetapkan falsafah pemerintah terhadap kesalahan sedemikian, dengan hukuman setimpal yang bertujuan mencegah, rata-ratanya diutamakan berbanding pemulihan bagi pesalah dewasa.



PERKUKUH KESAKSAMAAN JANTINA



Singapura telah mengikrarkan komitmen terhadap kesaksamaan antara kaum wanita dan lelaki dalam peringkat global.



Pada 1995, kami menandatangani Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



Untuk memastikan kemajuan yang berterusan sebagai sebuah negara, sangat penting kita melabur, mengembangkan dan memaksimumkan potensi penuh setiap individu dan menyokong mereka dalam mencapai cita-cita mereka, tidak kira sama ada mereka wanita mahupun lelaki.



Kita perlu menjadikannya satu keutamaan bagi kaum wanita yang memegang "setengah langit" agar mereka dapat mengambil bahagian dan menyumbang sepenuhnya dan dengan saksama, dalam pembangunan Singapura.



Walaupun begitu, kami berharap agar kaum wanita kita dalam pelbagai bidang mencapai lebih banyak kemajuan.



Kaum wanita, terutama mereka yang mempunyai tanggungjawab pengasuhan, terus menghadapi halangan dalam mencapai kemajuan di tempat kerja.



Satu kajian yang dilakukan pada 2020 oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Universiti Nasional Singapura (NUS) mendedahkan bahawa jurang gaji antara jantina Singapura yang telah disesuaikan adalah sebanyak 6 peratus pada 2018.



Kecenderungan kaum wanita untuk memikul tanggungjawab pengasuhan di rumah adalah salah satu faktor penyumbang utama terhadap jurang gaji antara jantina.



Keperluan untuk mengambil cuti bekerja menyebabkan mereka ketinggalan dari segi pengalaman kerja dan kemajuan kerjaya, dan seterusnya pendapatan.



Oleh itu, majikan dan ahli keluarga perlu lebih memahami dan memberi semangat dengan memberi mereka sokongan yang lebih besar.



Dengan meningkatnya aturan kerja dari rumah, lebih banyak peluang tersedia untuk kaum wanita yang saya harap akan berterusan walaupun selepas pandemik ini.



Meskipun begitu, kaum wanita mungkin akan mendapati diri mereka, secara tidak seimbang, melakukan lebih banyak kerja mengasuh yang tidak dibayar seperti terlibat dalam pembelajaran di rumah anak-anak mereka dan tugas-tugas rumah tangga serta penjagaan anak-anak walaupun kedua-dua pasangan bekerja dari rumah.



Saya ingin menggalakkan para bapa agar memberi kerjasama dan memainkan peranan aktif dalam tugas penjagaan, dan majikan menyediakan lebih banyak tempat kerja yang mesra keluarga.



Sedang masyarakat berkembang, kita sentiasa menghadapi cabaran baru untuk mencapai kesaksamaan antara kaum wanita dan lelaki. Salah satu contohnya adalah dunia digital.



CABARAN DUNIA DIGITAL



Media sosial kini menjadi ruang yang berpotensi bagi kaum wanita diganggu dan dibuli, kadangkala oleh troll (penghasut maya) tanpa nama.



Dalam beberapa bulan terakhir, media juga telah melaporkan tentang sejumlah kes penganiayaan seksual yang didorong oleh teknologi.



Singapura akan terus memastikan sistem undang-undang dan hukumnya kukuh supaya pelaku ini dibawa ke muka pengadilan.



Poha membolehkan mangsa mendapatkan perintah perlindungan terhadap gangguan, termasuk gangguan dalam talian, kegiatan buli dalam siber dan perbuatan mengekori.



Namun, yang lebih penting lagi, sebagai masyarakat, rakyat Singapura harus menunjukkan dengan terang bahawa mereka mengutuk keras tingkah laku seperti itu, kerana tidak ada wanita yang selamat daripada penganiayaan tersebut termasuk anggota keluarga kaum wanita kita sendiri.



Walaupun teknologi telah membuka ruang baru bagi perbuatan gangguan dan keganasan terhadap kaum wanita, sikap yang menimbulkan perilaku antisosial ini telah bersama kita lebih lama.



HAPUSKAN SIKAP SEKSIS



Kita semua mempunyai tugas untuk menolak ucapan dan tingkah laku berbaur seksis di sekitar kita.



Sekolah dan tempat kerja juga perlu memandang serius gangguan seksual agar kaum wanita merasa selamat dan dilindungi.



Kanun keseksaan kami telah dikemas kini untuk mencerminkan hukuman yang lebih tegas bagi kesalahan tersebut.



Perubahan juga perlu berlaku di peringkat permulaan. Campur tangan setelah wanita dicederakan sudah terlambat.



Anak lelaki perlu dibimbing sejak usia muda bahawa kaum wanita juga setaraf dan harus dihormati.



Di sinilah keluarga, rakan sebaya dan institusi seperti sekolah dapat memainkan peranan dalam mendidik anak lelaki dan perempuan mengenai stereotaip jantina dalam kerjaya dan peranan keibubapaan.



Kita perlu menegaskan bahawa tidak ada toleransi terhadap menjatuhkan martabat kaum wanita dalam masyarakat kita, dan bahawa mereka dihargai atas sumbangan mereka dalam keluarga, di tempat kerja dan dalam masyarakat kita.



Usaha seluruh masyarakat diperlukan untuk mempengaruhi perubahan positif pada norma dan amalan masyarakat untuk menyokong kaum wanita kita.



Kita semua berada dalam kedudukan berpengaruh untuk melakukannya.



Dengan rasa hormat sebagai asas hubungan antara kaum wanita dan lelaki, kita dapat mewujudkan masyarakat di mana setiap wanita dan lelaki dapat mencapai aspirasi dan potensi penuh mereka.



Ini bukan sekadar masalah hak bagi kaum wanita kita, tetapi kerana mereka layak mendapatkan penghormatan dan penghargaan kita atas sumbangan dan pengorbanan mereka.



Sejak beberapa tahun yang lalu, pemerintah telah bekerjasama dengan masyarakat awam dan rakyat untuk membangunkan Singapura yang lebih saksama dan pelbagai.



Selain daripada Persidangan pemerintah yang sedang berlangsung, persidangan seperti ini memberi kita peluang untuk mendengar daripada penceramah dalam pelbagai bidang kepakaran dan terlibat dalam perbincangan yang lebih tegas mengenai isu-isu penting kaum wanita.



Persidangan ini diadakan tepat pada masanya dalam mengumpulkan kaum wanita dan lelaki dari setiap peringkat untuk menyumbang kepada perbincangan penting ini mengenai masa depan kesaksamaan jantina di Singapura.




Anak lelaki perlu dibimbing sejak usia muda bahawa kaum wanita juga setaraf dan harus dihormati. Di sinilah keluarga, rakan sebaya dan institusi seperti sekolah dapat memainkan peranan dalam mendidik anak lelaki dan perempuan mengenai stereotaip jantina dalam kerjaya dan peranan keibubapaan. Kita perlu menegaskan bahawa tidak ada toleransi terhadap menjatuhkan martabat kaum wanita dalam masyarakat kita, dan bahawa mereka dihargai atas sumbangan mereka dalam keluarga, di tempat kerja dan dalam masyarakat kita.



Usaha seluruh masyarakat diperlukan untuk mempengaruhi perubahan positif pada norma dan amalan masyarakat untuk menyokong kaum wanita kita.
- Presiden Halimah Yacob.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >