Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Uncategorized
41
0

ANUGERAH MENDAKI

Bidang ekonomi jadi pilihan utama pelajar madrasah dalam program IB

Oct 08, 2022 | 05:30 AM



KIAN meningkat dewasa, Encik Suhayl Saifudin, 19 tahun, mula tertarik kepada hal ehwal semasa, antaranya berkenaan politik global dan keadaan persekitaran.



Beliau berpeluang menerokai dan berbicara tentang perihal tersebut tatkala beliau melanjutkan pengajiannya dalam Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.



Lebih membanggakan lagi, beliau telah meraih prestasi cemerlang dalam program IBDP sehingga mendapat pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Mendaki bagi kategori Diploma International Baccalaureate (Madrasah) pada 2 Oktober lalu.



Pelajar IB Madrasah perlu mengikuti dua kurikulum berbeza secara serentak - sekitar enam subjek utama di bawah IB dan lagi lapan subjek ukhrawi.



Jadi kesemuanya, terdapat lebih 14 subjek yang perlu diambil pelajar IB.



Encik Suhayl telah mencapai 42 daripada 45 mata bagi keputusan IB termasuk mendapat gred A untuk kertas tambahan, Esei Lanjutan (EE) mengenai politik global; dan gred B bagi Teori Pengetahuan (ToK).



Mengulas tentang penerimaannya bagi Anugerah Mendaki, Encik Suhayl berkata:



"Alhamdulillah, saya rasa gembira dan ghairah untuk mendapat anugerah ini. Anugerah ini bukan sahaja satu pencapaian buat saya tetapi ia juga satu pengiktirafan buat pelajar IB madrasah yang telah bertungkus-lumus berusaha untuk mendapat keputusan cemerlang.



"Anugerah ini menunjukkan bahawa kami juga berpeluang menerima pendidikan bermutu tinggi di madrasah," kata Encik Suhayl, anak sulung tiga beradik.



Ibunya merupakan seorang pegawai perkhidmatan pelanggan di Masjid An-Nur, manakala bapanya adalah pegawai sokongan Teknologi Maklumat (IT).



Menurut Encik Suhayl, beliau telah memilih untuk menyertai program IBDP di madrasah berbanding mempelajari di institusi pengajian tinggi sekular supaya beliau dapat meneruskan pengetahuannya dalam pengajian Islam.



Katanya lagi, beliau berasa bersyukur atas sokongan para guru, ibu bapa serta kawan-kawannya yang saling memberi dorongan dan sokongan semasa beliau menjalani program IBDP.



"Guru-guru kami selalu mengingatkan kami untuk merancang jadual pengajian kami supaya kami tidak menjadi terlalu tertekan atau tidak mempunyai tidur yang mencukupi.



"Mereka juga bersikap terbuka terhadap pilihan pengajian kami selepas kami lulus program IBDP," kata Encik Suhayl.



Hasil prestasi IB yang cemerlang, Encik Suhayl sudah mendapat tempat di NUS College dalam jurusan ekonomi pada 2024, selepas beliau selesai menjalani Perkhidmatan Negara (NS).



Menjelaskan mengapa beliau berminat melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi, Encik Suhayl berkata:



"Saya mempunyai minat dalam polisi kewangan dan pembuatan polisi, maka saya pilih untuk mempelajari ekonomi. Tambahan lagi, saya rasa ekonomi merupakan perkara yang kekal relevan dengan masyarakat."



Resipi kejayaan Encik Suhayl adalah untuk mempunyai hala tuju dalam apa jua yang dilakukan.



"Adalah penting untuk kita mencari hala tuju semasa kita belajar, dan bukan sekadar belajar untuk bersaing dengan pelajar lain.



"Kita juga mesti faham dengan apa yang kita pelajari dan memberi keutamaan pada perkara yang lebih penting," jelas Encik Suhayl.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >