Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Apa Yang Dicari

Oct 16, 2022 | 05:30 AM



SUDAH semacam rutin kepada pasangan warga emas ini.



Setiap pagi, jam enam pada hari bekerja, Haji Hamid akan menghantar isterinya yang tersayang, Hajah Maimunah yang suka dengan panggilan timangan Munah, ke tempat kerjanya sebelum dia sendiri meneruskan perjalanan dengan kereta warga emasnya menuju ke tempat kerjanya yang kira-kira lima kilometer jarak antara dua tempat itu.



Tiba di persimpangan Sengkang Way Road, Haji Hamid menghentikan keretanya sebab lampu trafik berwarna hijau bertukar ke warna jingga yang akan bertukar kepada warna merah dalam tempoh beberapa saat saja.



Ada juga kereta yang terus memercut sebelum munculnya warna merah. Tetapi Haji Hamid tidak berani kerana kondisi keretanya tidak membenarkan.



"Biar lambat, asalkan selamat".



Inilah pegangan Haji Hamid dan juga kebanyakan warga emas seperti dirinya.



Dia begitu sayang dengan sisa usianya itu yang dianggap sangat berharga dan perlu dijaga dan dipenuhkan dengan pelbagai aktiviti yang berguna untuk bekalan apabila hayatnya sudah tidak diperlukan lagi di dunia ini nanti.



"Semalam Munah dan kawan-kawan duduk berbual di kantin," Hajah Maimunah memecahkan kesunyian ketika kereta berkuasa kuda yang kurang daripada 1000cc dan sudah berusia lebih 10 tahun itu berhenti menunggu warna lampu merah bertukar kepada hijau.



"Hmm…," Haji Hamid hanya mengiyakan saja. Membiarkan Hajah Maimunah meneruskan bualannya. Membiarkan isterinya yang tersayang itu memenuhi waktu menunggu. Menunggu lampu terafik bertukar warna daripada merah kepada hijau untuk dia meneruskan perjalanannya.



"Dia orang sibuk cakap pasal ramai lelaki tua yang gilakan perempuan muda dan mahu kahwin lagi."



Tertanya dalam hati Haji Hamid. Cakap isterinya itu, adakah ditujukan kepada dirinya atau sengaja mahu tahu apa reaksi dirinya atau mahu meminta pendapatnya.



Selama mereka telah hidup bersama sebagai suami isteri, tidak pernah dia berselingkuh.



Mereka telah dikurniakan empat orang anak. Dua lelaki dan dua perempuan. Kini sudah bergelar datuk dengan lapan orang cucu. Apa lagi yang dicari…



"Mungkin dia mahu menguji aku agaknya?" kata hati Haji Hamid.



"Munah sendiri tidak faham. Kenapa ada lelaki macam itu. Orang kata badan dah bau tanah kubur tapi perangai macam itu," rungut Hajah Maimunah.



Haji Hamid serba salah. Mahu membela semangat kejantanan lelaki itu takut ditempelak oleh isterinya.



Mahu memihak kepada isterinya, mungkin apa yang dilakukan lelaki itu ada mempunyai sebab-sebab berkepentingan untuk lelaki itu.



Jadi Haji Hamid terpaksa berjaga-jaga. Bukan saja berjaga-jaga untuk dirinya bahkan juga demi menjaga rasa kekecewaan isterinya yang tersayang. Jalan yang selamat, diam.



"Apa pandangan abang?"



Seperti satu ledakan dinamit untuk memecahkan tembok batu yang dibina oleh Haji Hamid.



Dia berharap perbualan itu akan terhenti di situ atau isterinya saja yang terus berbual dan dia hanya mendengar dan mengiyakan pandangan isterinya itu.



Tetapi kini dia terpaksa diminta bercakap sesuatu kalau tidak akan timbul banyak soalan yang tidak menyenangkan daripada isterinya yang tersayang itu.



Lampu trafik bertukar daripada merah kepada hijau. Haji Hamid pun melepaskan brek kaki untuk membolehkan kereta kecilnya yang otomatik itu bergerak ke hadapan.



Kereta-kereta di kiri kanannya menderu-deru ke hadapan seperti satu perlumbaan dimulakan.



Beberapa saat saja kemudian, tertinggal kereta warga emas itu di belakang. Kereta yang membuntutinya di belakang, mencari cara untuk keluar dari barisan perlahan itu.



Setelah beberapa kali membesarkan lampu dan membunyikan hon, kereta itu memecut ke hadapan lalu memintas kereta kecil yang dianggap sebagai penghalang jalan raya. Melepaskan geram, agaknya.



Haji Hamid tetap bersabar. Apa yang dicarinya…



Kereta tua itu terus melunsur melalui Sengkang East Road dengan perlahan.



Suasana dalam kenderaan yang comel tetapi selesa untuk sepasang suami isteri itu terus melalui di hadapan Hospital Besar Sengkang melepasi simpang Anchorvale Street dengan Compassvale Drive terus menuju ke Punggol West Flyover dengan tenang dan mudah tanpa halangan sebab ketibaannya di simpang itu, lampu trafik masih bernyala hijau.



Tumpuan pandangan dan fikiran Haji Hamid hanya ke hadapan takut tertabrak kereta yang tiba-tiba berhenti di hadapannya.



Begini gambaran kejujuran hati Haji Hamid terhadap pasangan yang disayanginya sejak dulu lagi.



Dalam suasana yang tenang itu Haji Hamid memanggil Hajah Maimunah.



"Munah," panggilannya sayang.



Munah tidak menjawab. Tengok muka Haji Hamid pun tidak. Tetapi Haji Hamid faham yang isterinya yang tersayang itu sedang menunggu suara selanjutnya yang terkeluar dari mulut suaminya yang sudah hampir 50 tahun dia hidup bersama.



"Kita perlu juga fikirkan tentang sebab mereka buat macam itu. Apa yang dilakukan itu mesti ada alasannya," Haji Hamid dengan tenang cuba menenangkan.



"Tidakkah itu keterlaluan?"



"Apa keterlaluannya?"



"Tidak peduli perasaan isteri. Tidakkah itu keterlaluan?" suara Hajah Maimunah sudah meninggi sedikit.



Mungkin kerana desakan perasaan membelanya terhadap nasib para isteri yang seumur dengannya atau perasaan cemburu, takut hal itu berlaku pada dirinya. Mungkin juga sebagai peringatan kepada Haji Hamid.



Haji Hamid sudah dapat merasakan bahang ledakan itu.



Dia perlu lebih berhati-hati dengan segala perkataan yang mungkin tercetus keluar dari mulutnya.



Silap bicara, kata-katanya itu akan menjadi minyak benzin terhadap api kecil yang baru mula menyala.



Haji Hamid cuba mendiamkan diri dengan harapan perbualan itu akan mati begitu sahaja.



"Tadi abang kata, mereka punya alasan. Cuba abang terangkan sedikit alasan itu."



Harapan Haji Hamid untuk menenangkan suasana tidak kesampaian dengan pancingan isterinya yang tersayang itu.



Dia tidak dapat mengelak lagi. Kali ini diam akan membuat nyalaan bara itu akan terus bertambah panas. Dia mesti katakan sesuatu.



"Mungkin dia perlukan teman hidup baru untuk menjaga dirinya yang hidup bersendirian.



"Atau mungkin juga dia memerlukan tempat bergantung untuk menyara hidupnya," hujah Haji Hamid dengan harapan ini dapat membantu melembutkan ketegangan fikiran Hajah Maimunah yang benar-benar tidak puas hati dengan sikap mereka yang tua bangka yang tidak sedarkan diri itu.



Tetapi tidak.



"Apa yang abang cakapkan itu pasal mereka yang sebatang kara. Ini pasal yang masih ada isteri. Adakah kerana isterinya sudah tidak larat melayan nafsunya lagi?" geram Hajah Maimunah.



"Mana kasih sayang antara mereka?" sambungnya yang selama ini memang mendapat kasih sayang yang sukar dicari daripada suaminya Haji Hamid..



"Susah abang nak cakap. Kita tidak tahu bagaimana hubungan mereka sebagai suami isteri.



"Mungkin si suami terasa tertekan berada di rumah menyebabkan dia cari ketenangan di luar," jelas Haji Hamid.



"Abang bagaimana?" Haji Hamid seperti disambar halilintar dengan pertanyaan Hajah Maimunah itu.



"Apa maksud Munah?" tanya Haji Hamid seakan-akan dikejut daripada lamunan. Lamunan yang terhasil dari perjalanan yang tenang dengan harapan lekas sampai ke destinasi tempat isterinya akan dilabuhkan.



"Munah yakin. Abang tidak punya niat untuk cari yang lain. Munah yakin itu.



"Kalau sudah yakin kenapa tanya."



Jawapan Haji Hamid itu membuat Hajah Maimunah tersenyum. Mungkin dia berpuas hati dengan jawapan itu. Mungkin juga dia tidak mahu memanjangkan perbualan itu.



Kalau dia memang mahu menghentikan perbualan itu, memang itulah yang diharapkan Haji Hamid.



Kereta tua itu terus melepasi Punggol West Flyover menuju ke simpang Punggol Central.



Haji Hamid membelok ke kanan menuju ke pusat beli-belah Waterway Point. Hajah Maimunah turun di situ setelah bersalaman dengan suami kesayangannya.



Haji Hamid meneruskan perjalanan dan terus berfikir tentang apa yang disuarakan oleh isterinya yang tersayang itu.



"Mungkin ada benarnya apa yang dimarahkan isterinya itu. Sikap suami yang berasa selesa bersama wanita lain sedangkan isterinya sudah lama berkorban untuk diri mereka. Apa yang dicarinya?"



Haji Hamid mengeluh.




"Semalam Munah dan kawan-kawan duduk berbual di kantin...

Dia orang sibuk cakap pasal ramai lelaki tua yang gilakan perempuan muda dan mahu kahwin lagi...

Munah sendiri tidak faham. Kenapa ada lelaki macam itu. Orang kata badan dah bau tanah kubur tapi perangai macam itu..."




BIODATA PENULIS 



AMAN Samat adalah guru Bahasa Melayu dan telah bersara sejak 2002.



Pernah menjadi Pengerusi Guru-guru Zon Utara yang bergiat dalam menyediakan dan merancang kegiatan-kegiatan berhubung pembelajaran Bahasa Melayu.



Pernah bergiat dalam kegiatan-kegiatan akar umbi dan pernah menjadi Naib Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid di Masjid Al-Istiqamah.



Beliau juga merupakan antara penyumbang dalam ruang Forum Berita Harian/Minggu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >