Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Buku Catatan Cikgu

Oct 09, 2022 | 06:11 AM



PAGI ini aku seperti sebuah gunung berapi. Yang akan meletus pada bila-bila masa saja. Satu fenomena yang akan terjadi akibat endapan perasaan tidak senang hati dengan kemarahan terkumpul di dada. Yang didorong agar keluar oleh ledakan perasaan panas hati yang bertekanan tinggi. Masa yang sama aku berasa gusar. Bercampur geram. Menyirap darah. Menggeledak. Mendidih-didih perasaan. Tapi sekuman pun aku tidak menunjukkannya. Muka aku tetap tersenyum. Tetap mampu mengukirkan senyuman. Selebar-lebarnya. Kononnya memancarkan keikhlasan. Kejujuran. Lagak aku mengaburi perasaan sebenar aku yang menggelodak-menggeledak berjaya mengaburi mata di sekeliling. Terpancar raut muka yang ceria. Menayangkan wajah yang gembira penuh ketenangan. Semua ini tetap aku dapat kekalkan. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Tatkala hati sebenarnya sedang membakar rentong aku. Itulah yang dapat aku gambarkan setiap hari. Walaupun hakikatnya, mahu saja aku lontarkan kata-kata pedas berbaur sinis. Lagi tajam. Sehingga menikam kalbu. Merobak-rabikkan perasaan mereka. Namun, tetap aku terus memakai topeng perasaan. Mengenakan topi karakter. Berlagak cool tanpa bertepian. Mengekalkan lakonan tanpa pengarahan.



Syifa, Reyan, Alesha, Nadhirah, Ariqah, Fatin, Izz, Izzah, Danish, Atiqah, Umairah, Aiman, Solihin, Israf, Darwish, Jaquelina, Dhia, Anaqi, Aqil, Shahrizal, Aleya, Fatin, Hakim, Ghaaziyah, Aida, Fazirah, Diyanah, Puteri Naiema, Rizny. Kelibat mereka terkinja-kinja. Melompat-lompat berdansa dengan bersungguh-sungguh dan bertenaga. Dalam fikiran aku. Berputar-putar mengelilingi aku yang terbakar. Seperti sebatang tunggul kayu unggun api yang menyala dengan bersemangat. Membakar gila. Kelibat-kelibat mereka seperti mengajuk-ajuk aku. Mencabar aku. Kemudian menjelma kelibat Abhizar Albiru. Memegang sebatang tongkat sakti kepengaruhan dengan mahkota kekuasaan dan keengkaran di atas kepala. Sambil tersenyum. Yang jelas kesinisannya.



Aku mengeluh panjang. Seperti hari-hari sebelumnya. Satu kebiasaan yang sudah menjadi rutin. Sudah empat tahun berlarutan. Terutamanya menjelang musim peperiksaan. Keluhan terus menjadi-jadi. Dan tanpa aku sedari terpancul kata yang menyindir. Dan pedas. "Nama unik. Nama baik. Nama penuh bermakna. Malangnya tidak serupa sikap." Walaupun ayat-ayat yang terpantul keluar nampaknya pendek. Namun, berbunyi sinis. Lagi tajam. Menikam dalam. Aku berasa sedikit puas. Arah anak panah aku mengena sasaran. Walaupun dibuat dalam khayalan. Hanya dalam angan. Dengan orang yang aku ajukan tiada, sebenarnya.



Pertentangan antara aku dengannya tidak pernah padam. Di depan aku, surat-surat yang terkumpul dalam fail folder jelas sudah menebal. Semuanya tersusun indah dan teratur mengikut nama indeks. Namun, kebanyakannya bukan dalam bentuk rasmi seperti yang diarahkan pada permulaan tahun semasa sesi taklimat pelajar dan ibu bapa. Malah bukan surat MC yang rasmi. Hanya sehelai kertas yang ditulis dengan ayat-ayat berunsurkan alasan dan pengecualian. Bukan ditaip. Seakan-akan cakar ayam hingga payah dibaca akan isi kandungannya. Walaupun isi kandungannya ringkas saja. Kertas-kertas itu juga dalam berbagai-bagai bentuk dan ukuran. Bukan yang standard. Hanya sehelai kertas yang dicarik daripada buku latihan ataupun buku nota. Ada juga kertas kajang yang tajuk kepalanya sudah dikoyakkan. Namun, nama seorang pelajar yang menyerlah. Bertempet-tempet surat alasan dan surat minta pengecualiannya. Walaupun sudah berkali-kali aku menasihatinya. Cuba menyedarkannya.



Cikgu Adillah terus berceloteh. Inti dan topik ceritanya sama. Tentang Abhizar Albiru. "Dari dulu sampai sekarang tidak pernah berubah! Memang budak ini tidak mahu berubah!" Aku tetap mendengar dengan khusyuk. Walaupun hanya dalam kepura-puraan saja. Tatkala Cikgu Siti sudah lama memasang fon kepala. Sambil meneroka bahan-bahan yang ada dalam app YouTube. Aku kira mencari-cari bahan untuk mengajar. Cikgu Farah pula masih belum masuk ke dalam bilik pentadbiran dan rehat guru lagi. Aku pasti dia masih lagi ada di dalam kelas. Mengajar. Mendidik anak-anak didiknya. Jika tidak, dia yang paling rajin melayan Cikgu Adillah. Tapi selalunya tentang tudung. Hijab. Jubah. Kuih-kuih. Masuk Johor. Pasar Borong Pandan. Pasar Larkin. Beli-belah di Kuala Lumpur.



Aku bukan tidak suka. Mahupun membenci. Tapi walaupun payau untuk ditelan, tapi itulah hakikatnya. Ada masanya aku mesti bersikap tegas. Mengaum tetap mengaum. Dan mencakar. Menunjukkan aksi garang. Galak dan bengis. Melebihi lagak sang harimau beranak muda. Terpantul pula kata-kata nasihat yang tajam menikam pedas membakar. Kenyataannya, kebenaran perlu ditegakkan. Demi menyedarkan mereka. Menyentak mereka daripada lamunan panjang. Merengkuh ego yang masih mahu bertahan. Agar hidup mereka terurus. Dan dapat disanggupi. Serta tidak tergenjot. Dan prinsip dan pegangan ini melagakan kami. Perlagaan yang berpanjangan.



Demi membina masa depan yang cerah, mereka perlu disedarkan. Kesedaran bahawa hidup itu bukan setakat cukup-cukup makan saja perlu disemai. Keadaan hidup yang dibina bukan seumpama seekor ayam. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah sikap secupak tidak akan menjadi segantang tidak boleh diguna pakai lagi. Pendirian hidup yang perlu diubah. Perlu dibasmi. Wajib ditanam dalam diri mereka prinsip belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang pula. Mereka mesti menjadi orang yang arif dan rajin. Agar generasi seterusnya sudah dapat mengubah nasib hidup mereka. Aku pasti bukan hanya Cikgu Adillah, Cikgu Farah, Cikgu Siti dan Cikgu Aishah begitu, guru-guru yang lain juga begitu. Membimbing anak didik dengan aksi kemarahan. Menyayangi mereka dengan melontarkan nasihat-nasihat tajam. Walaupun menguris. Dan melukakan.



"Jika orang lain boleh berlari, mengapa kamu masih hendak merangkak lagi. Kalau tidak boleh berlari, sekurang-kurangnya berusahalah untuk berjalan. Belajarlah bersaing! Jangan hanya berpeluk tubuh saja! Ada peluang, rebut! " Kata-kata keras yang aku lontarkan. Berbunyi seakan-akan madah. Bagi mereka yang mengerti dan memahami. Tatkala direnung dalam-dalam.



"Lari-lari kalau jatuh pun tak berguna," satu suara membalas. Kata-kata yang jelas mencabar ego aku. Kata-kata yang jelas membangkitkan resa hilaian ketawa yang lain. Namun, aku tetap tenang. Mengawal amarah yang sedang membuak. Dan aku kenal betul suara itu. Dinding keegoannya masih tebal.



"Macam cikgu cakap dulu, kais pagi makan pagi kais petang makan petang," balasnya jujur. Ringkas. Berfalsafah. Yang terisi makna yang mendalam.



Kata-kata itu membangkitkan ingatan aku pada masa lalu. Ketika itu kata-kata balasnya mencabar ego aku sebagai seorang guru. "Kais-kais pun dapat makan. Yum, yum!" Balasnya selamba. Tidak berasa bersalah. Namun, kerana status guru juga, aku hanya mampu menelan segala ejekannya itu.



"Cacing dalam batu pun boleh makan cikgu, inikan manusia," katanya lagi. Kali ini lebih berani. Tanpa segan silu ataupun rasa bersalah. Memperlekehkan kata-kata hikmah aku. Semuanya demi mempertahan dan menegakkan egonya. Yang aku kira sudah tercalar sebelumnya.



"Nasi sudah jadi bubur, cikgu," keluh suara itu. Jelas getaran nada suaranya yang kesal. Seperti sudah menerima suratan hidup. Perjalanan hidup yang ditulisnya sendiri. Rasa empati aku membuak. Tidak sampai hati aku untuk mengenakannya dengan kata-kata balas yang boleh menyakitkan hati. Seperti apa yang pernah dia lakukan pada aku.



"Sebenarnya, kamu masih ada peluang ubah kompas hidup kamu. Ada banyak ruang dan peluang yang masih dibuka," balas aku. Yang aku tahu, latar belakangnya bukan daripada keluarga yang susah ataupun berantakan. Dia berkemampuan dan mampu belajar. Aku kira ketika itu dia hanya tidak mempunyai daya keinginan dan ketahanan untuk belajar yang kuat. Hanya guru-guru sahaja yang beriya-iya mendesaknya supaya belajar.



"Insya-Allah, kali ini saya dengar kata hikmah cikgu. Bukan macam dulu, masuk kanan keluar kiri," balasnya. Kata terakhir, sebelum dia menghulurkan tangan untuk berjabat dengan aku. Kemudian mengorak langkah mengharungi nasib perjalanan hidup yang dicartanya sendiri. Yang aku fikir dia mampu mengubahnya.




BIODATA PENULIS



Yazid Hussein seorang guru yang aktif dalam bidang penulisan kreatif dan kritikan.



Beliau penerima Anugerah Persuratan Melayu (2017) dan pemenang hadiah utama peraduan 'Mencari Kristal' (2016).



Merupakan juga Tokoh Muda Mas (2007).



Buku-buku terbarunya ialah 'Murad Mati: Kumpulan Sajak', 'Benua Sepi: Kumpulan Cerpen', 'Anna Hidayah: Kumpulan Drama', Esei Dunia Penulisan Singapura' dan novel 'Felipus Planiceps'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >