Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Kisah Buah Kurma

Apr 10, 2022 | 07:34 AM



DALAM masa terdekat, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan. Lebih tepat lagi, esok. Setahun menanti, kini menjelma lagi. Itulah ucapan yang aku dengar. Dari mulut rakan-rakan aku yang lain. Disulami dengan susunan kata-kata yang teratur. Menjadi rentetan dan urutan berbunga. Ayat-ayat nan indah. Bak madah berlagu. Enak didengar. Sedap dihayati. Mengenai keindahan dan kemuliaan bulan Ramadan. Tentang kemolekan dan kesempurnaan berpuasa. Berkenaan kelebihan dan darjat bulan yang suci dan gemilang itu. Malah aku dapati, sebaran ucapan-ucapan ini tidak berhenti setakat rongga ucapan saja, bahkan sudah tersebar secara elektronik dan tulisan. Dalam pelbagai media massa, sepanduk dan media sosial. Surat khabar. Radio. Siaran TV. Kain rentang. Risalah. Poster. Internet. WhatsApp. Signal. Telegram. BiP. BigO. Kata aku beria-ia sangat. Instagram. Facebook. Twitter. Tiktok. Umat Islam sudah berutus-utus ucapan. Begitu bersemangat. Membuak-buak semangat yang menjelma kerana Ramadan Kareem bakal menjelang. Tambah aku. Bagi menguatkan lagi hujah-hujah. Kemudian berhenti seketika. Memberi peluang kepada pendengar menangkap maklumat yang disampaikan. Tapi yang mendengar, hanya mengiakan saja. Mengangguk-anggukkan kepala. Tidak lebih daripada itu. Respons yang menunjukkan tidak ada kebangkitan semangat yang membakar. Ataupun keterujaan. Tindak balas yang malas. Getus aku di dalam hati. Bermonolog dalaman. Terasa diri kecewa.



Bulan yang penuh dengan keberkatan. Sambung aku. Kini tumpuan aku beralih kepada pelajar-pelajar pula. Tidak patah semangat. Kejadian tadi telah aku lupakan. Dan mengharapkan nasib aku berubah. Penuh berkah. Gandakan amal ibadah. Banyakkan sedekah. Kuatkan kesabaran. Tegas aku. Sambil berjeda seketika. Dan berdiri kaku. Masih cuba menangkap perhatian mereka pula. Agar mereka dapat renungkan. Kemudian mereka dapat berintrospeksi diri. Dan bermuhasabah diri. Serta menilai diri bagi pembaikan yang kurang dan lemah. Namun, keberkatan tidak datang bergolek. Aku mencelah keheningan suasana tengah hari dengan nada yang tegas. Nada suara aku menjadi kuat. Tergenjot konsentrasi pelajar-pelajar. Ada yang terkejut sehingga tersentak gerak dari kerusi. Ataupun tersedia di depan mata. Kita harus berusaha gigih. Bekerja keras untuk mendapatkan keberkatan itu. Maka jangan lepaskan peluang menggapainya. Pintu-pintu jannah terbuka luas. Seluas-luasnya. Sambung aku kepada anak-anak didik aku lagi. Tanpa mempedulikan peristiwa kecil yang baru berlaku; ada dalam kalangan mereka yang tersentak. Tergerak sentak.



Betul cikgu! Mereka bersetuju. Bersahut lantang. Beria sekata. Penuh bersemangat. Penuh yakin. Sambil mengangguk. Serentak. Kelihatan seperti koloni meerkat yang sedang mengangguk bersinkronis. Segerak di sekeliling kawasan sarangnya. Aku berhenti seketika. Tatkala otak bergerak ligat menyusun kalimat baru yang berbunga yang bakal dilontarkan lagi. Pada masa yang sama, bebola mata aku memerhatikan riak muka setiap pelajar. Mereka bersungguh-sungguh menyerap kata-kata aku. Satu persatu cuba dimasukkan ke dalam kotak minda. Kepayahan yang mendalam menghasilkan dugaan. Namun, kesanggupan mampu mengatasi kepayahan dan dugaan itu. Kerana kesanggupan yang disulamkan dengan kesabaran akan membuahkan kejayaan. Kejayaan itu adalah mercu kepuasan. Kenikmatan yang berpanjangan. Tambah aku lagi. Isi penyampaian aku, kini menjadi meleret-leret. Walhal pada asalnya aku hanya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan selamat berpuasa. Tapi aku tidak peduli kerana aku adalah kuasa autoriti dalam bilik darjah ini. Aku adalah Raja Singa dalam ruang rimba batu empat segi ini. Dan juga kerana semangat aku yang membuak sedang menjulang naik dalam diri. Seperti api yang sedang bersemarak. Membakar-membakar.



Tahukah kamu semua? Tanya aku. Kemudian berhenti. Tanpa melengkap ayat soalan. Menantikan jawapan. Tanpa menjelaskan yang pangkal dan hujung. Aku pasti pelajar-pelajar terpinga-pinga. Apa yang guru mereka tanya. Tentu ada yang melabelkan gurunya sedang merepek. Apa yang hendak ditanyakan oleh guru mereka. Tidak ada inti dalam ayatnya. Lalu aku menyambung ayat tergantung aku dengan tegas. Kita sangat-sangat digalakkan makan buah kurma. Semasa bulan Ramadan. Walaupun sebiji. Hakikatnya, kata aku, rumah yang tidak ada buah kurma akan melaparkan penghuninya. Aku bersandarkan pada pengetahuan yang aku dapat semasa menghadiri kuliah agama. Kira-kira tiga hari lepas. Pelajar-pelajar aku termangu seketika. Terpegun dengan pengetahuan aku itu. Aku dapat rasakan mesti ada dalam kalangan mereka yang sedang memuji-muji aku. Tapi semuanya disembunyikan di dalam hati saja. Sesungguhnya pada kurma Aliyah terdapat penawar penyakit. Tambah aku. Memetik sumber maklumat daripada Ustaz Dani. Terasa megah dapat menggunakan semula kata-kata yang aku pelajari daripada kuliah agama. Dan pelajar-pelajar aku semuanya bersetuju 100 peratus dengan tazkirah penutup pelajaran subjek Bahasa Melayu tengah hari itu. Peringatan ringkas aku kepada mereka sebagai perenungan dan pedoman untuk menjiwai dan menghalusi akan signifikan dan kenikmatan bulan Ramadan.



Terasa kosong Ramadan jika tidak ada kurma. Terang aku dengan bersungguh-sungguh. Terasa puas. Kemudian aku menghadiahkan setiap seorang daripada mereka sebekas kecil buah kurma Ajwa Premium. Dengan ditampal nota kecil. Marhaban Ya Ramadan. Moga diisi dengan amal ibadah. Rashima. Zickry. Aimi. Umairah. Jannah. Rihanna. Ifqy. Sukri. Sukriah. Syazwan. Khuzairi. Naimi. Aku menyebut nama mereka. Satu persatu. Mereka membalas dengan ucapan terima kasih. Semuanya aku ada 25 pelajar ketika itu. Ditolak dengan dua pelajar yang mangkir. Makan, makan, makan. Tambah Dharnesh pula. Satu-satunya pelajar bukan Melayu. Dengan riang. Dan aku harus mengajar empat kelas lagi pada hari itu. Daripada aliran dan peringkat yang berbeza. Namun, aku tetap bersemangat. Walaupun cuaca semakin panas.



Aku terus keluar. Dan bergegas ke bilik guru. Dengan terikan sinaran matahari tengah hari yang terus menggigit-gigit kulit. Walaupun jarak di antara bilik darjah dengan bilik kerja guru tidak jauh. Aku tetap berpeluh. Hawa sepanjang koridor tetap kering menjadikannya hangat. Bahang. Keluh aku sambil menggalas beg Ipad. Hangat semacam. Aku mengomel pula. Seorang diri. Seperti seorang manusia yang tidak pernah mengalami pengalaman terik sinaran matahari. Daripada pandangan mata, terdapat guru-guru dan pelajar-pelajar yang bertukar kelas. Menuju ke destinasi masing-masing. Langkah aku semakin laju. Hanya mahu sampai ke bilik kerja guru. Bilik khas yang dinamakan Degupan Jantung. Bilik yang istimewa. Serta penuh rahsia. Sehingga tiada pelajar dibenarkan masuk. Bilik yang mempunyai pendingin hawa. Dan aku terkejut tatkala sampai di stesen kerja aku.



Petang itu, selepas tamat waktu sekolah, aku bersungguh-sungguh membawa pulang buah kurma. Berbagai-bagai jenis dan dari pelbagai negara. Dan diisikan pula di dalam pelbagai bentuk kotak, bungkusan dan desain. Ada kotak dan bentuk kecil, dan banyak juga dalam kotak dan bentuk besar. Ada dalam bentuk pek hadiah. Pemberian rakan-rakan sepejabat. Sama ada yang seagama ataupun yang bukan. Setelah aku hitung, terdapat 15 paket kesemuanya. Satu jumlah yang besar bagi aku yang mempunyai bilangan keluarga yang kecil. Macam mana hendak habiskan kesemua ini! Fikir aku semasa menjinjing beg kertas kitar semula pemberian Jawatankuasa Kebajikan dan Rekreasi Sekolah dan Kelab Hijau Sekolah. Di dalam ruangnya aku sumbatkan kesemuanya.



Tatkala aku sampai di pagar besi rumah, aku terkejut sekali lagi. Tergantung tiga bungkusan di tombolnya. Ada yang berbalut dengan rapi serta kalis air. Dialamatkan kepada isteri aku. Bungkusan dari luar negara. Daripada keluarganya yang ada di seberang. Manakala yang dua bungkusan lagi daripada kakak dan adik aku. Tidak lama kemudian, anak-anak aku pulang dari sekolah bersama ibu mereka. Kedua-duanya pulang dengan gembira. Begitu teruja. Dari jauh mereka sudah memanggil aku. Raut wajah kedua-duanya jelas terpancar keceriaan mengisi semangat mereka. Sambil memegang bekas-bekas plastik. Berisi kurma. Cikgu beri. Kata mereka ringkas. Riang yang teramat walaupun cuaca pada petang itu begitu terik. Aku juga melihat ibu mereka bersusah payah menjinjing beg plastik merah yang besar. Kurma. Jawabnya. Tanpa aku perlu bertanya.



Petang itu, mereka semahu-mahunya mahu menghadiahi cikgu masing-masing dengan sepaket kurma setiap seorang pada keesokan harinya. Membalas kebaikan dan jasa cikgu-cikgu sempena bulan Ramadan. Aku amat berbangga dengan sikap kedua-duanya. Sesuatu yang wajib digalakkan. Mengamalkan sikap balas-membalas. Amalan budaya orang Melayu yang menjadi tradisi. Malangnya, tidak diutamakan lagi. Malah semakin tidak dihiraukan oleh masyarakat moden. Masyarakat yang begitu bangga dengan kemajuan dan ketamadunan yang tinggi lagi canggih. Hingga amalan ini kian dipinggirkan. Tiba-tiba tercetus satu idea dalam fikiran aku. Idea yang dapat mengelakkan pembaziran. Menangani amalan pembuangan yang sia-sia. Malah aku dapat berjimat. Terutama dalam bulan yang mulia ini. Akan aku bungkuskan semula kurma-kurma yang disedekahkan kepada kami. Apabila aku hitung dan kumpulkan di atas meja makan, terdapat hampir 50 paket. Dan semuanya di dalam pelbagai bentuk dan pembungkusan. Ada yang disediakan di dalam kotak. Dibungkus di dalam beg plastik airtight ataupun di dalam plastik ziplock biasa. Malah ada beberapa yang dipersembahkan dalam bentuk eksklusif. Pek hadiah. Dibalut kemas. Idea aku mudah. Praktikal. Bernas. Aku akan campurkan pelbagai jenis kurma pemberian ini ala koktail. Kemudian meletakkan di dalam plastik ziplock Ikea. Tugas dan tanggungjawab anak-anak aku berdua itu hanya menulis kad ucapan terima kasih dan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada cikgu-cikgu mereka itu. Tentu anak-anak aku berdua itu akan teruja dengan rancangan yang aku dapat daripada cetusan idea itu. Aku berkira-kira dengan bangga. Megah dengan usaha aku sendiri. Namun, tanggapan aku itu ternyata meleset. Mereka hendak kurma yang dibeli. Hendak dalam bentuk paket eksklusif. Bukan kitar semula. Begitu juga dengan isteri aku. Dia menentang keras cadangan aku. Seperti tidak ikhlas. Balasnya kepada aku. Walaupun aku cuba menjelaskan rasional di sebalik cadangan aku itu kepadanya.



Malam itu aku bekerja keras. Bersungguh-sungguh. Mengemas dan membersihkan ruang dalaman peti sejuk. Mencari ruang-ruang yang boleh digunakan. Untuk menyimpan paket-paket kurma pemberian tahun ini. Antara barang yang masih ada di dalam peti sejuk, paket-paket kurma. Pemberian ikhlas tahun lepas. Yang masih belum disentuh. Begitulah pentingnya kurma. Tidak dapat dipisahkan. Sehingga disinonimkan dengan bulan Ramadan al-Mubarak. Sehingga pemberian menjadi satu kewajipan. Yang aku sendiri tidak dapat menolak. Ataupun elakkan.




BIODATA PENULIS



Yazid Hussein seorang guru yang aktif dalam bidang penulisan kreatif dan kritikan.



Beliau penerima Anugerah Persuratan Melayu (2017) dan pemenang hadiah utama peraduan Mencari Kristal (2016).



Merupakan juga Tokoh Muda Mas (2007).



Buku-buku terbarunya ialah Murad Mati: Kumpulan Sajak, Benua Sepi: Kumpulan Cerpen, Anna Hidayah: Kumpulan Drama, Esei Dunia Penulisan Singapura dan novel Felipus Planiceps.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >