Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Terima Kasih Cikgu

Sep 11, 2022 | 08:06 AM



"ADIK tidak mahu pergi sekolah. Tak mahu!!!" pekik adik dengan kuatnya.



"Dahlah, jangan menangis lagi," pujuk ibuku.



"Adik tidak pandai. Adik bodoh!" sambil menangis terisak-isak.



Ibu sering pening kepala memikirkan keadaan adik yang setiap pagi adik akan menangis apabila hendak pergi ke sekolah. Ibu terpaksa memujuknya.



Namun, pujukan ibu sebentar sahaja selepas itu, adik akan menangis lagi. Masalahnya, adik selalu dikatakan menulis huruf dan nombor yang terbalik! Kalau cikgu suruh tulis 'b' adik tulis 'd'. Disuruh tulis 'm' jadi 'w'. Disuruh menulis nombor '3' jadi huruf 'e'! Rupa-rupanya, adik didiagnosis ada disleksia!



Setiap hari, adik akan ditertawakan oleh rakan sekelasnya. Hati adik bagaikan sehelai tisu. Ditegur sahaja akan menangis tanpa henti. Begitu rapuh dan sensitif sekali.



Malah, di sekolah guru-guru juga telah membuat pemantauan khas untuk adik. Ibu juga telah berikhtiar membawa adik menjalani rawatan bagi adik yang ada masalah disleksia ini.



Alhamdulillah, perkembangan adik semakin hari semakin bertambah baik. Malah, dari awal sewaktu adik baru sahaja menjejakkan kaki ke darjah satu pada Januari, kini adik lebih pandai mengenal huruf 'b' dan 'd' begitu juga dengan huruf 'm' dan 'w'. Semuanya atas usaha ibu dan guru-guru di sekolah.



Adik sudah mula menunjukkan kesan yang positif terhadap pembelajarannya setiap hari. Kami sekeluarga tidak pernah menganggap adik berbeza cuma adik istimewa orangnya!



Hari ini, Cikgu Nabilah mengajar adik lagi. Adik belajar mengikut masa yang diberikan. Agak lama untuk adik mengenali setiap huruf yang dikenalkan oleh Cikgu Nabilah.



Kini, adik suka pergi ke sekolah kerana katanya, Cikgu Nabilah penyabar orangnya. Dia juga baik dan setiap kali adik dapat menulis dengan betul dan baca dengan betul, Cikgu Nabilah akan memberikan ganjaran seperti pelekat.



Adik memang suka mengumpul pelekat yang berwarna-warni. Adik akan menampal pelekat-pelekat itu di buku album pelekat adik. Muka adik sekarang selalu nampak ceria dan riang apabila dia pulang dari sekolah setiap hari.



Kini, adik telah pun dapat menulis dengan betul di sekolah. Cara mengatasi anak istimewa seperti adik ialah dengan memberikan dorongan dan motivasi kepada adik.



Malah, Cikgu Nabilah juga telah berkongsipanduan kepada ibuku agar adik menjadi pelajar yang lebih berdikari dan yakin kepada dirinya sendiri. Sebenarnya, bukan salah murid ini sendiri tetapi sudah ditakdirkan Ilahi.



"Disleksia ini bukan sejenis penyakit malah masalah kesukaran dalam pembelajaran," terang Cikgu Nabilah kepada ibuku.



"Jadi Cikgu, apakah cara yang boleh saya lakukan untuk menangani masalah anak yang ada disleksia ini?" tanya ibuku berminat ingin tahu.



"Ibu bapa haruslah menangani anak seperti ini dengan sabar kerana mereka ada disleksia," sambung Cikgu Nabilah.



"Sewaktu saya di Maktab Perguruan NIE/NTU (Institut Pendidikan Nasional/Universiti Teknologi Nanyang), saya ada mempelajari tentang mengatasi masalah anak-anak disleksia ini.



"Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku. Anak disleksia biasanya mempunyai masalah dalam menguasai tugasan sekolah, walaupun mereka bersungguh-sungguh berusaha.



"Biasanya, anak-anak ini mempunyai keupayaan intelek yang normal, namun otak mereka berfungsi secara berbeza dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi.



"Oleh sebab itu, mereka mengalami kesukaran membaca, menulis, memahami, mengeja atau mengira," begitu tuntasnya penerangan yang diberikan oleh Cikgu Nabilah.



"Cikgu, anak disleksia boleh membaca buku ke Cikgu? Bolehkah anak disleksia ini menikmati buku yang dibaca itu, Cikgu?" tanya ibuku lagi sewaktu bertemu dengan Cikgu Nabilah.



"Tentulah boleh! Memang benar anak-anak disleksia mempunyai kesukaran dalam membaca, menulis atau mengeja, tetapi ia tidak bermakna mereka langsung tidak boleh berseronok dalam membaca."



"Jadi, apakah yang perlu saya lakukan Cikgu?"



"Mereka sebenarnya, memerlukan sokongan ibu bapa dalam memilih bahan bacaan yang boleh membantu mereka. Puan bolehlah memberikan sokongan dan motivasi kepadanya.



"Sebenarnya, saya pernah ikuti bengkel tentang disleksia. Ingin sekali saya berkongsi beberapa panduan untuk ibu bapa yang mempunyai anak disleksia ini.



"Semoga panduan ini serba sedikit akan dapat membantu anak disleksia menikmati masanya berseronok membaca dengan memilih buku yang sesuai buat mereka. Insya-Allah," jelas Cikgu Nabilah lagi.



"Apa panduannya Cikgu?" tanya ibuku yang semakin berminat ingin tahu.



"Pertama, sebagai ibu bapa, kita perlulah memahami tahap bacaan anak disleksia. Setiap anak mempunyai tahap bacaan yang berbeza. Begitu juga anak disleksia.



"Jika kita memberikan mereka buku yang tidak mengikut tahap mereka, ini akan membuatkan mereka tidak seronok membaca.



"Apa yang perlu diingat kita jangan samakan anak kita dengan anak orang lain. Ini kerana mereka akan berasa susah untuk memahami isi kandungan buku tersebut. Jadi, pastikan ibu bapa tahu tahap anak sebelum membuat keputusan membeli sebarang buku untuk mereka," kata Cikgu Nabilah.



"Oh, barulah saya faham, Cikgu," jawab ibuku sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.



"Satu lagi panduan ialah ibu bapa bolehlah pilih buku bacaan yang ringkas dan mudah. Kebanyakan anak disleksia lebih gemarkan buku yang tidak terlalu padat dengan perkataan. Pilihlah buku yang ringkas namun maksudnya tetap tersampai," sambung Cikgu Nabilah lagi.



"Baiklah Cikgu," kata ibuku.



"Satu lagi panduan ialah pilihlah buku bacaan yang penuh dengan gambar yang ceria! Ini akan merangsang minda dan membuat anak kita seronok hendak membaca. Ini juga akan membantu mengekalkan minat anak kita dengan buku.



" Malah, ia juga dapat membantu mereka berasa seronok dengan kegiatan membaca. Ini juga boleh menolong mereka menjadi lebih berkeyakinan diri untuk melakukan kegiatan membaca buku dengan sendirinya," tukas Cikgu Nabilah lagi.



"Bagaimanakah dengan tulisan dalam buku itu, Cikgu?"



"Ibu bapa juga perlu prihatin dan memberikan perhatian pada jenis dan format tulisan anak disleksia.



"Sebenarnya, format dan jenis tulisan memainkan peranan yang penting. Tulisan terlalu kecil, rapat dan bersambung boleh menyebabkan anak disleksia rasa bertambah sukar memahami satu-satu tulisan.



"Jadi, pilihlah buku yang tulisannya dalam bentuk sederhana besar, berjarak sesuai dan tidak bersambung-sambung. Buku yang kemas membuatkan mereka lebih mudah memahami perkataan yang tertulis. Ini juga membantu mereka tidak keliru dengan perkataan."



"Ada apa-apa lagi tak, Cikgu?" tanya ibuku.



"Selain daripada panduan yang saya kongsi tadi, ibu bapa juga harus lebih kerap berada di samping mereka semasa sesi membaca buku.



"Ikatan kekeluargaan, atau bonding, antara ibu bapa dengan anak juga akan dapat membantu mereka lebih gemarkan membaca buku. Diharapkan semoga ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka memupuk minat membaca kepada anak mereka dan mereka tidak berasa ketinggalan apabila adik-beradik yang lain membaca buku.



"Jadi, peringatan bagi ibu bapa, apabila pergi ke kedai buku dan ke pusat beli-belah untuk membeli buku, bolehlah mengikuti panduan yang tertera di atas tadi untuk anak yang ada disleksia," kata Cikgu Nabilah mengakhiri perkongsiannya kepada ibuku.



***



Pada hari guru tahun ini, Cikgu Nabilah telah menerima sekuntum mawar merah yang terletak di meja tulisnya di dalam kelas Bahasa Melayu. Ada juga sekeping nota kecil yang disertakan. Tulisannya kelihatan kemas sekali. Dia pun mula membacanya:



"Terima kasih Cikgu Nabilah mengajar saya membaca dan menulis.

Saya sayang Cikgu Nabilah!

Daripada muridmu yang ada disleksia!"


Hati Cikgu Nabilah tersentuh dengan tulisan anak muridnya itu lalu matanya mula berkaca. Segunung simpati semakin menebal terbit daripada hati Cikgu Nabilah.




BIODATA PENULIS



Nazariah Nasir minat menulis sejak di bangku sekolah.



Beliau pernah memenangi hadiah merit bagi puisi 'Siapa Diri Ini?' dalam peraduan 'Noktah Putih'.



Nazariah juga telah menghasilkan dua novel bertajuk 'Cinta Facebook Cinta Tanpa Suara' dan 'Tin'.



Lima puisinya pula dimuatkan dalam kumpulan buku 'Puisi Bebas Melata Menekat Sayang'.



Puisi dan cerpen Nazariah juga telah dimuatkan dalam buku 'Hempedu Di Tasik Madu' terbitan Asas '50.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >