Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

FINALIS ANUGERAH GURU ARIF BUDIMAN (AGAB) 2021

Cinta pada bahasa mengalir deras

Nov 02, 2021 | 05:30 AM



Setiap tahun, Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) diberi kepada guru-guru bahasa Melayu yang dinilai berdasarkan beberapa kriteria seperti keupayaan memupuk pengetahuan, kemahiran dan minat dalam pembelajaran bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu di dalam dan luar bilik darjah. BERITA HARIAN ketengahkan dua lagi finalis dalam kategori Teladan - Encik Mohd Fuad Salim (Sekolah Menengah Springfield) dan Cik Manisah Osman (Sekolah Rendah Yio Chu Kang). Ikuti laporan berikut.



Pertalian rapat dengan murid pencetus semangat



PARA guru harus bersikap terbuka untuk memudahkan cara pembelajaran murid dan ini dapat dilakukan dengan menitikberatkan hubungan komunikasi dengan mereka secara lisan.



Sikap terbuka sebegini perlu untuk mengekang murid daripada terus-terusan mengeluh dan akhirnya hilang minat terhadap Bahasa Melayu kerana menganggapnya subjek yang sukar difahami.



Demikian pandangan Cik Manisah Osman, seorang guru kanan Bahasa Melayu dari Sekolah Rendah Yio Chu Kang.



"Murid sekarang amat memerlukan peluang dan ruang untuk bertutur dalam bahasa ibunda mereka dan hal ini boleh digalakkan sekiranya guru dapat mengekalkan minat dan keterujaan murid semasa belajar.



"Guru juga sesekali menjelaskan makna perkataan yang murid tidak faham dalam Bahasa Inggeris," katanya.



Berpengalaman sebagai guru Bahasa Melayu selama 33 tahun, Cik Manisah telah menyaksikan perubahan ketara dalam penggunaan Bahasa Melayu di kalangan pelajarnya, terutama di rumah.



Menurut beliau, profil murid yang semakin kurang terdedah kepada penggunaan Bahasa Melayu di rumah kian menjadi satu cabaran utama baginya sepanjang beliau menceburi bidang kerjaya ini.



"Hal ini menghambat pemahaman dan keberkesanan mereka untuk bertutur menggunakan Bahasa Melayu kerana penguasaan kosa kata mereka yang terhad," tegas beliau.



Namun, Cik Manisah menekankan bahawa minat murid tidak akan terjejas sekiranya guru mengajar dengan kaedah-kaedah yang menarik dan melibatkan penglibatan aktif murid.



Lantas, beliau lebih cenderung mengajak murid-muridnya untuk sama-sama aktif di kelas melalui kegiatan gerak kerja, kerja berkumpulan dan penggunaan teknologi baru seperti alat peranti iPad.



Menurut Cik Manisah lagi, menitikberatkan penggunaan kaedah berteraskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dengan menggunakan pendekatan pembelajaran teradun dalam pembelajaran kini amat diperlukan, lebih-lebih lagi dalam suasana norma baru.



"Apa yang penting ialah, guru harus bijak menyediakan konteks yang sesuai dan menyediakan suasana pembelajaran yang mesra pelajar.



"Murid yang gembira dan seronok akan terdorong untuk belajar dengan lebih gigih kerana minat yang timbul secara semula jadi dan tidak dipaksa-paksa," katanya lagi.



Memberi contoh, Cik Manisah telah memperkenalkan kuiz dan peraduan dalam talian sebagai antara aktiviti yang sering digunakan bagi menarik dan mengekalkan minat muridnya.



Cik Manisah merupakan antara empat finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) tahun ini bagi kategori Teladan.



Penerima Agab 2021 akan diumumkan pada 6 November kelak.



Meskipun sudah lebih tiga dekad menceburi kerjaya ini, Cik Manisah masih berasakan kepuasan setiap kali melangkah ke bilik darjah.



Hubungan erat yang dijalin bersama muridnya dan ibu bapa mereka juga merupakan suatu yang amat beliau hargai.



"Sejujurnya saya memang meminati kerjaya sebagai guru Bahasa Melayu ini kerana saya melihat kerjaya ini sebagai suatu tugas yang mulia yang membolehkan saya menanam minat dan rasa cinta kepada bahasa dan budaya Melayu dalam diri murid saya.



"Namun, saya juga menganggap kerjaya ini bukanlah sekadar untuk menyampaikan ilmu tentang bahasa dan budaya Melayu sahaja, malah yang lebih penting lagi ialah tanggungjawab untuk membentuk perwatakan murid dengan menanamkan nilai-nilai murni di dalam diri mereka.



"Kerjaya ini memberi kepuasan yang luar biasa apabila murid-murid menghargai segala penat lelah saya dan lebih-lebih lagi apabila saya bertemu semula dengan bekas pelajar dan ibu bapa mereka yang sentiasa melahirkan rasa terima kasih dan ingatan mereka terhadap saya.



"Ramai daripada bekas murid saya yang kini menjadi sahabat saya dan kehadiran mereka ini menguatkan semangat dan iltizam saya untuk terus berbakti sebagai seorang guru Bahasa Melayu," ujarnya.



" Kerjaya ini memberi kepuasan yang luar biasa apabila murid-murid menghargai segala penat lelah saya dan lebih-lebih lagi apabila saya bertemu semula dengan bekas pelajar dan ibu bapa mereka yang sentiasa melahirkan rasa terima kasih dan ingatan mereka terhadap saya. Ramai daripada bekas murid saya yang kini menjadi sahabat saya dan kehadiran mereka ini menguatkan semangat dan iltizam saya untuk terus berbakti sebagai seorang guru Bahasa Melayu."
- Cik Manisah Osman, guru kanan Bahasa Melayu Sekolah Rendah Yio Chu Kang.




Kaitkan pembelajaran Bahasa Melayu dengan kehidupan



PUISI dan pantun bagaikan menjadi 'santapan harian' Encik Mohd Fuad Salim sepanjang beliau membesar.



Pendedahan terhadap bahasa dan kesusasteraan Melayu yang bermula dari rumah dengan bimbingan bapanya, telah menimbulkan keinginan untuk mendalami lagi bahasa ibunda yang tercinta.



Mengongsi perjalanannya menjadi seorang guru Bahasa Melayu, beliau berkata:



"Saya beruntung kerana sepanjang saya membesar, saya telah dibimbing dan diajar oleh guru-guru yang hebat-hebat.



"Mulanya di rumah, ayah saya yang dahulunya mempunyai niat menjadi guru, namun tidak kesampaian telah mendedahkan saya kepada pengetahuan sastera Melayu.



"Maka, setelah saya melangkah ke universiti, keinginan tersebut semakin menebal lebih-lebih lagi setelah mula terdedah kepada isu-isu masyarakat dan mempelajari perihal bahasa dan kesusasteraan Melayu."



Ketika melanjutkan pelajarannya di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang pengkhususan Sosiologi dan Pengajian Melayu, Encik Fuad berkata pensyarah-pensyarah, makalah kebahasaan dan kesusasteraan, serta perbincangan ilmiah dalam kalangan rakan-rakan siswazah mula memikat dan memupuk semangat beliau untuk menjadi guru Bahasa Melayu, sekali gus menyumbang kembali kepada masyarakat.



Beliau memilih kerjaya guru kerana berpandangan bahawa pendidikan dapat membantu seseorang bukan sahaja untuk maju dalam kehidupan tetapi juga sebagai seorang individu.



Pandangan tersebut dipegangnya hingga ke hari ini - selepas 22 tahun menceburi kerjaya ini.



Encik Fuad, yang merupakan Ketua Subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Springfield, adalah antara empat finalis kategori Teladan Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) tahun ini.



Bagi memastikan para pelajar tertarik dengan bahasa dan budaya Melayu, Encik Fuad berkata pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolahnya bersandarkan prinsip autentik, relevan dan kontekstual.



Maka, program-program yang dirancang dan dijalankan selari dengan prinsip tersebut.



"Pelajar-pelajar perlu dibantu dalam menghubungkaitkan pembelajaran dengan perkara-perkara harian.



"Bahasa Melayu perlu dilihat bukan hanya sebagai satu mata pelajaran yang wajib mereka ambil.



"Mereka bukan sahaja perlu didedahkan kepada keupayaan bahasa Melayu tetapi mereka perlu juga melihat dan mengalaminya sendiri. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta," kata beliau.



Justeru, beliau berpendapat bahawa para guru memainkan peranan penting lebih-lebih lagi dalam memastikan pelajar tidak berasa mual apabila berbincang tentang bahasa.



"Saya sentiasa memastikan perkongsian ilmu bahasa Melayu tidak berhenti di peringkat pemerolehan pengetahuan tetapi dilanjutkan kepada pengaplikasiannya di dalam dan di luar bilik darjah," tambahnya.



Pendidikan merupakan suatu yang dinamik, namun ia kekal menjadi asas kehidupan dan bagi Encik Fuad dengan peranan guru kekal relevan kerana setiap generasi perlu dibimbing agar berupaya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.



"Di samping berkeupayaan untuk membentuk generasi mendatang, kerjaya sebagai seorang guru mempunyai pelbagai lowongan peningkatan yang dapat membantu guru itu sendiri merealisasikan keinginannya seperti kerjaya berprestij yang lain," ujarnya.



"Bahasa Melayu perlu dilihat bukan hanya sebagai satu mata pelajaran yang wajib mereka ambil. Mereka bukan sahaja perlu didedahkan kepada keupayaan bahasa Melayu tetapi mereka perlu juga melihat dan mengalaminya sendiri. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta... Saya sentiasa memastikan perkongsian ilmu bahasa Melayu tidak berhenti di peringkat pemerolehan pengetahuan tetapi dilanjutkan kepada pengaplikasiannya di dalam dan di luar bilik darjah."
- Encik Mohd Fuad Salim, Ketua Subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Springfield.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >