Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dari tari Melayu ke teater muzikal, bisnes fesyen jalanan

Lulusan baru Lasalle bina semangat 'kerja jalan terus' dalam pandemik
May 25, 2021 | 05:30 AM



Nyala rasa dalam bidang teater muzikal membawa dua anak seni ini gigih memburu segulung ijazah dengan kepujian dalam bidang ini di Maktab Seni Lasalle. Di ambang majlis tamat pengajian mereka dalam jurusan ini tahun ini, mereka menceritakan tentang harapan yang terbentang bagi seni di Singapura dalam tempoh sukar berdepan dengan rintangan pandemik Covid-19. BERITA HARIAN melaporkan.




ANAK seni yang tidak kenal erti penat lelah dan duduk diam, Md Al-Hafiz Hosni, tidak mudah berpuas hati hanya dengan mahirkan diri dalam tarian Melayu di bawah kumpulan Azpirasi.



Setelah tamat Perkhidmatan Negara (NS) dan bekerja selama dua tahun, beliau merebut peluang memburu segulung ijazah dengan kepujian dalam bidang teater muzikal di Maktab Seni Lasalle.



Harapannya ingin mempelajari seni kontemporari moden di luar zon tradisional kesenian Melayu yang diharap dapat memperkasa setiap kerja seni yang diusahakan buat Azpirasi, projek filem atau muzikal Melayu yang ingin dijana.



Dalam kesibukan menggarap kemahiran menyanyi, berlakon dan menari sekali gus, Hafiz, 27 tahun, turut meluangkan masa mempelajari cara memalu rebana dan maruas di bawah Nadi Singapura.



Bersama seorang rakannya yang meminati fesyen jalanan, mereka turut menggerakkan bisnes pakaian lelaki dalam talian A.VOID yang mempunyai pelanggan sejauh Amerika dan United Kingdom.



Apakah yang memberi semangat buat Hafiz melakukan beberapa perkara serentak dengan jaya?



Ikuti wawancara bersama anak bongsu tiga beradik ini yang sebelum ini mempundyai kelulusan Diploma Sebaran Am daripada Politeknik Ngee Ann.



Soalan (S): Ceritakan perjalanan seni anda. Mengapa ia begitu menebal mencorak jati diri anda?



Hafiz: Sejak kecil lagi, saya suka membuat persembahan di khalayak ramai tetapi tidak begitu yakin.



Sebagai pelajar sebaran am dengan tumpuan pada perfileman, saya lebih selesa berada di belakang kamera seperti mengusahakan projek filem biografi buat Yahoo.



Namun, saya terfikir, alangkah baiknya kalau saya berada di depan kamera. Dari situ, saya juga dapat mempelajari cara menjadi pengarah filem yang baik sebab dapat bayangkan apa yang dirasakan mereka di hadapan kamera.



Saya mengambil bidang teater muzikal di Lasalle kerana inilah peluang keemasan mahirkan diri dalam tiga seni sekali gus - menyanyi, berlakon dan menari.



Saya harus berterima kasih kepada Mendaki kerana bantuan pembiayaan yang diberi bagi kursus ini.



Ibu bapa saya pada awalnya tidak begitu yakin seni akan beri saya masa depan yang cerah.



Alhamdulillah, melihat selangkah demi selangkah pencapaian saya, mereka kini lebih memahami mengapa seni itu jiwa saya.



S: Bagaimana anda mula terlibat dalam tarian Melayu?



Hafiz: Saya mula agak lewat juga dalam bidang tarian Melayu, ketika berada di tahun pertama politeknik.



Saya merupakan kru balik pentas pesta tarian Melayu Muara. Saya ditugaskan menjaga keperluan kumpulan Azpirasi.



Memandangkan ramai rakan sekeliling saya terdiri daripada belia Cina, saya ingin teroka jiwa dan identiti Melayu saya menerusi satu bentuk kesenian.



Saya tertarik dengan konsep Azpirasi yang menggabungkan tarian Melayu tradisional dengan unsur kontemporari.



Tahu-tahu, minggu selanjutnya selepas pesta Muara, saya datang ke ruang latihan Azpirasi, melahirkan hasrat saya berlatih bersama mereka.



Pejam celik, dah hampir 10 tahun saya bersama Azpirasi.



S: Apakah yang anda pelajari daripada menjadi penari Azpirasi?



Hafiz: Saya belajar erti kerendahan hati dan bersabar. Apabila saya memasuki kursus teater muzikal di Lasalle, saya lebih dikenali sebagai penari sedangkan kemahiran menyanyi itu lebih menonjol dalam kursus ini.



Kadangkala, saya rasa resah dan kekurangan berbanding pelajar lain sepanjang tiga tahun di Lasalle kerana masih perlu buktikan saya juga mampu menyanyi dengan baik.



Bagaimanapun, latihan dalam tarian Melayu mengajar saya agar lebih bersabar dan bertenang. Ia mengajar saya nilai bekerja keras.



Saya dapati diri saya masih gigih berlatih selepas tamat sekolah sekitar 5 petang. Latihan muzikal makan masa sampai 11 malam. Balik rumah, saya perlu siapkan esei dan bikin projek video.



Dua tahun lalu, saya sertai Nadi Singapura kerana tertarik bermain alat genderang seperti kompang, rebana dan maruas. Seni jalan terus.



S: Apakah keseronokan terlibat dalam dua dunia seni, Melayu dan kontemporari Barat?



Hafiz: Ia lebih memperkukuh jenama saya sebagai anak seni yang arah tujunya lebih 'fusion' (gabungan Timur dan Barat, gabungan tradisional Melayu dan bukan Melayu).



Saya pernah memikirkan kemungkinan melanjutkan pengajian seni ke Amerika atau United Kingdom tetapi terfikir mungkin kesenian Melayu tidak begitu dikenali di sana.



Saya melihat jurutari Singapura, Norhaizad Adam, sebagai sumer inspirasi utama saya. Sebab beliau mampu menggabungkan unsur seni tradisional Melayu dengan moden. Beliau ke luar negara dan majukan seni kita.



S: Bagaimana pengarah artistik Azpirasi, Azmi Juhari, memberi anda semangat meneruskan bidang seni?



Hafiz: Saya banyak terhutang budi kepada Cikgu Azmi. Beliau adalah bukti nyata, seni boleh diceburi secara sepenuh masa. Beliau sudah berumah tangga dan menyara keluarga dengan seni.



Hasil perbualan ibu bapa saya dengan Cikgu Azmi, mereka lebih lega saya berada di landasan yang selamat untuk ceburi seni.



S: Ceritakan pengalaman terlibat dalam persembahan tamat pengajian anda di Lasalle.



Hafiz: Saya sangka berpuasa sewaktu NS lebih mencabar, rupanya ia lebih terasa ketika berhempas-pulas berlatih bagi persembahan tamat pengajian saya ini.



Di NS, kalau penat berlari, boleh berjalan tetapi bagi teater muzikal ini, stamina diperlukan dari awal hingga akhir.



Berbeza dengan persembahan bagi tahun-tahun sudah di mana beberapa pelajar dipilih menjayakan muzikal, setiap pelajar kini diberi peluang membuat persembahan individu kerana perintah jarak selamat sewaktu Covid-19 yang harus dipatuhi.



Saya menyanyi dan menari lagu dari muzikal Footloose, I Can't Stand Still.



Apabila penat, saya memikirkan tentang warga Palestin di Gaza yang melalui tempoh lebih mencabar. Sekurang-kurangnya, saya dapat berbuka puasa. Mereka entah makan atau tidak. Ingatan sebegini menjadikan masalah besar menjadi kecil.



S: Anda tamat pengajian dalam tempoh mencabar Covid-19. Namun, apa yang memberi anda keyakinan banyak ganjaran diperolehi dalam pemburuan ilmu anda?



Hafiz: Saya terdedah pada banyak isu kemanusiaan dan pergolakan emosi ketika menelaah ilmu teater muzikal dan menghadam skrip muzikal.



Sebagai jurutari Azpirasi bagi persembahan Akar Subuh, saya kembali meninjau semula kerja seni tentang arwah nenek saya.



Saya selalu lihat beliau termenung di katil dan memandang di luar jendela. Ia mungkin rakaman rasa rindu terhadap arwah datuk dengan mereka ingin bersatu di syurga suatu hari nanti.



Saya juga pengarah fotografi filem tentang kesihatan mental yang fokus pada kisah pengasuh warga emas dengan demensia.



Filem ini antara 10 filem terbaik dalam pesta filem mengenai kesihatan mental, baru-baru ini.



Dari segi perniagaan A.VOID pula, ia hasil kerjasama saya dan teman yang begitu sukakan fesyen jalanan.



Kerana saya juga memiliki Diploma Tambahan dalam Perniagaan, saya ingin manfaatkan ilmu yang diraih bagi mengusahakan sesuatu yang baru.



Saya belajar mengurus masa dan mengutamakan perkara yang harus didahulukan.



Sebelum pandemik, kami banyak kendalikan stor 'pop-up' di Resorts World Sentosa dan lokasi lain tetapi semuanya harus digantikan dengan kempen dalam talian selepas Covid-19 melanda.



Apa-apa pun, semangat positif harus diteruskan.




''Kerana saya juga memiliki Diploma Tambahan dalam Perniagaan, saya ingin manfaatkan ilmu yang diraih bagi mengusahakan sesuatu yang baru. Saya belajar mengurus masa dan mengutamakan perkara yang harus didahulukan. Sebelum pandemik, kami banyak kendalikan stor 'pop-up' di Resorts World Sentosa dan lokasi lain tetapi semuanya harus digantikan dengan kempen dalam talian selepas Covid-19 melanda. Apa-apa pun, semangat positif harus diteruskan.''
- Md Al-Hafiz Hosni




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >