Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dokumentari papar bisnes 'gila-gila' Generasi Z

Kerja seni siswa Lasalle tentang semangat waja usahawan muda disiar platform video Viddsee
Oct 25, 2021 | 05:30 AM



Wadah hiburan video Viddsee memberi ruang buat sutradara muda menghasilkan dokumentari sosial tentang Generasi Z. Menerusi siri Gen Z Starter Pack, anda dibawa meninjau kehidupan Generasi Z yang memiliki identiti tersendiri dari segi slanga Internet yang digunakan serta definisi jaya mereka yang berbeza. BERITA HARIAN melaporkan kisah dua dokumentari arahan anak Melayu.




KETIKA melungsuri aplikasi TikTok sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan Covid-19 tahun lalu, Cik Nuryn Adryana Abdul Halim teruja melihat usaha golongan sebayanya memasarkan pelbagai jenis perniagaan.



Antara yang menarik perhatian adalah kegigihan pengasas jenama aksesori Whoaa!, Cik Apphia Ling, 24 tahun, menghasilkan barang kemas 'gila-gila' seperti anting-anting daripada barang terpakai atau objek yang dekat di hati warga Singapura.



Ia langsung memberi idea buat Cik Nuryn, 23 tahun, mahasiswa tahun ketiga ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Perfileman, menghasilkan dokumentari sosial tentang Cik Ling yang memburu impian bisnes tanpa mengabaikan kerja sepenuh masanya.



Dokumentari tujuh minit berjudul Hooked On Apphia-Ling itu disiarkan di pelantar video hiburan Viddsee sebagai sebahagian siri Gen Z Starter Pack yang bermula pada 13 Oktober lalu.



Siri ini mengetengahkan dokumentari sosial hasil ilham lima kumpulan pembikin filem muda yang menjelajah topik yang dekat di hati mereka bagi memberi definisi nyala rasa, budaya dan matlamat hidup dari lensa Generasi Z.



Generasi Z yang juga dipanggil 'zoomers' adalah generasi selepas milenial yang dilahirkan pada pertengahan atau akhir 1990-an hingga awal 2010-an.



Ketika dihubungi Berita Harian, Ketua Studio dan Penerbit Eksekutif Gen Z Starter Pack, Viddsee, Encik Kenny Tan, menjelaskan pihaknya sering berminat memperkasa 'sang pencerita' (pembikin filem) untuk berkongsi cerita dan perspektif mereka yang unik.



"Kohort Generasi Z adalah kelompok yang besar di Singapura, membentuk sekitar 30 peratus penduduk di sini. Ini adalah generasi yang menghargai keperibadian dan matlamat hidup.



"Bersandarkan minat kami mengetahui dan berkongsi perspektif sahih Generasi Z, maka siri Gen Z Starter Pack yang merupakan sebahagian slot dokumentari Viddsee, VOICES, tercipta.



"Kami mahu bekerjasama dengan pembikin filem muda di Singapura yang buat masa ini mengikuti kursus sepenuh masa dalam pengajian filem atau media bagi menghasilkan dokumentari sosial ringkas tentang isu melibatkan Generasi Z yang dekat di hati mereka. Justeru, ia karya Generasi Z buat Generasi Z," tambah Encik Tan.



Mengulas pemilihan dokumentari Hooked On Apphia-Ling bagi siri ini, beliau menambah konsep Cik Nuryn adalah antara yang pertama dipilih untuk dikomisyen berdasarkan kajian terperincinya dan nyala rasanya menceritakan tentang usahawan wanita dalam kalangan Generasi Z yang berdikari sambil mengimbangi tugas sepenuh masa.



"Menjalankan pelbagai tugas serentak dan keinginan mencuba bermacam perkara adalah ciri ketara golongan Generasi Z yang mendakap perubahan dan pengalaman baru.



"Kami juga tertarik pada lapisan kisah pemerkasaan wanita dalam dokumentari arahan Nuryn ini yang sangat memberi inspirasi dan relevan," tambah Encik Tan.



Cik Nuryn memilih bidang perfileman kerana didorong keinginan menjana cerita sendiri untuk dikongsi bersama ramai. Inspirasinya buku yang banyak dibaca dan filem yang sering ditonton.



"Saya seronok melihat bagaimana sesetengah perkara tercipta. Pembikinan filem tiada pengecualian. Saya masih kagum dengan bagaimana sesuatu yang visual dapat dibangunkan secara menarik berbekal cerita yang mudah," kongsinya.



Baginya filem adalah satu-satunya wadah yang dapat menterjemah kata-kata menjadi visual.



Lebih menarik lagi apabila sebuah karya penulisan dapat diubah menjadi kerja seni yang segar dan baru hasil takrifan sang sutradara.



Cik Nuryn terkejut apabila dokumentarinya dipilih Viddsee.



"Pada masa itu, saya tidak begitu pasti ingin menjadi pengarah. Bagaimanapun, saya setakat mencuba dan melihat sejauh mana idea saya ini dapat direalisasikan.



"Jalan cerita dokumentari ini santai sahaja kerana saya ingin mengubah tanggapan ramai bahawa dokumentari biasanya berat dan serius.



"Saya juga mahu paparkan subjek saya iaitu Cik Ling dengan cara yang berbeza," tambahnya.



Antara cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan dokumentari ini adalah langkah keselamatan Covid-19 yang berubah-ubah mengikut keperluan.



Hampir tempoh penggambaran, Singapura menguatkuasakan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat). Salah satu syarat yang ditetapkan adalah hanya dua orang dibenarkan berkunjung ke sesebuah isi rumah setiap hari.



Kru penggambaran dokumentari Cik Nuryn terdiri daripada enam orang. Sulit membuat penggambaran di rumah Cik Ling, di mana kebanyakan keperluan perniagaannya tersimpan.



Justeru, beliau perlu memikirkan cara lain untuk memaparkan visual bagi kerja seninya, lantas teringatkan inspirasi daripada dokumentari ringkas, The Claudia Kishi Club, mengenai salah satu watak yang digemari daripada siri buku kegemaran The Babysitters Club.



"Dokumentari itu menggunakan teknik henti gerak dan keratan kertas yang digabungkan dengan wawancara paras kepala dan bahu subjek.



"Penerbit dan pengarah seni saya, Winnie Tay, banyak membantu, misalnya, menghasilkan potongan kertas berbentuk mesin ATM, yang lengkap dengan kad dan resit yang keluar darinya," cerita Cik Nuryn lagi.



Baginya, meskipun masalah yang dihadapi setiap individu Generasi Z berbeza, setiap daripada mereka mampu menghayati pengalaman dan perasaan yang dilalui satu sama lain.



"Setiap generasi ada sesuatu untuk dipelajari dan sesuatu untuk diajar dalam sesebuah pelantar, bukan sahaja filem. Penting untuk bikin filem dengan isu yang ingin anda perjuangkan. Tak mengapa kalau ada yang payah menghadam atau menerimanya dengan baik kerana filem itu subjektif," jelasnya.



Menerusi dokumentari ini, beliau juga pelajari Generasi Z bukan generasi yang lemah seperti disangka sesetengah pihak. Sebaliknya, golongan ini sudah mengamati dan belajar daripada generasi sebelumnya, lantas pentingkan hak untuk hidup, bukan sahaja demi penakatan.



"Cik Ling adalah contoh bagaimana kita harus bangga dengan setiap usaha kita, buat yang terbaik dan menikmati perkara kecil dalam hidup.



"Anting-anting pelik membuatnya gembira dan menjadi satu unsur luahan rasa. Saya yakin ramai dalam kalangan Generasi Z boleh mengaitkan diri mereka dengan perihal identiti. Malah, Cik Ling sendiri membangun kelompok masyarakat atau pengikutnya sendiri berteraskan identiti yang dibina," tambah Cik Nuryn, yang berharap dapat menghasilkan kisah tentang perkongsian ibu dan anak tentang gangguan seksual yang mereka hadapi di tempat kerja dan sekolah.



"Isu gangguan seksual ini lebih mendalam dan wajar dibincangkan melalui filem agar kita dapat pupuk kesedaran mengenai perkara ini.



"Saya seorang belia yang peka dengan perihal hak wanita. Kadangkala isu sebegini sering terlepas pandang atau berat nak dibincangkan secara terbuka. Filem salah satu wadah yang saya anggap berkesan," kongsinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >