Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PANDANGAN

Dunia perlu 'dengar' kata-kata Greta Thunberg...

Dec 22, 2019 | 05:30 AM



GADIS 15 tahun dengan rambut bertocang duduk sendirian di depan bangunan Parlimen Sweden, memegang papan tanda yang tertulis: 'Mogok sekolah demi perubahan iklim'.



Ini berlaku sekitar Ogos tahun lalu.



Pada masa itu mungkin tidak ramai yang sedar akan gerakan besar-besaran yang akan dicetuskan Greta Thunberg, kini 16 tahun, demi menggesa orang ramai, terutama sekali pemimpin negara untuk bertindak menangani isu perubahan iklim.



Keberanian dan kesungguhan yang dipaparkan Thunberg, dari pelbagai tunjuk perasaan yang diadakan hingga perbincangan hangat dengan pemimpin dunia tentang isu iklim, menjadikan beliau ikon yang memberi harapan dalam menangani masalah tersebut.



Beliau seorang autistik dan mengalami sindrom Asperger's, tetapi ini tidak menghalang bahkan memberikannya keazaman untuk memberi tumpuan 100 peratus dalam menggesa tindakan diambil bagi menangani perubahan iklim.



Pencapaiannya sejak itu memang hebat, apa lagi pada usia yang amat muda.



Presiden Suruhanhaya Eropah pernah berdiri di sebelahnya sambil mengumumkan bahawa beratus bilion euro akan dibelanjakan untuk usaha menangani perubahan iklim.



Masyarakat saintifik memberikannya sokongan, beliau diundang untuk berucap di sidang puncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan pencalonan Hadiah Nobel Keamanan pun sudah dalam genggaman.



Thunberg memastikan perbincangan tentang perubahan iklim ini tidak sekadar satu perbincangan di meja bundar semata-mata, sebaliknya menjadikannya 'agenda' yang memerlukan tindakan segera.



Dengan kesedaran bahawa ramai yang masih bersikap sambil lewa dan 'mewariskan' planet yang sudah 'tenat' ini untuk generasi beliau, Thunberg memutuskan untuk bertindak dan menggesa orang ramai untuk sama-sama memperjuangkan gerakan tersebut.



Status Thunberg mungkin sudah berubah menjadi ikon antarabangsa berbanding sejak beliau memulakan usaha ini, malangnya dunia masih tidak banyak berganjak dalam melangsungkan tindakan kolektif berkaitan isu perubahan iklim ini.



Perubahan yang ingin dilihat Thunberg masih samar-samar - rancangan yang digariskan negara-negara belum menjadi janji konkrit atau tindakan jelas.



"Saya masih percaya bahaya paling besar bukan kurangnya tindakan. Bahaya yang sebenar adalah apabila ahli politik dan CEO (ketua pegawai eksekutif) memperlihatkan seolah-olah ada tindakan yang dilakukan tetapi sebaliknya hampir tiada tindakan langsung, selain daripada PR (perhubungan awam) yang kreatif," katanya dalam satu temu ramah.



Jelas beliau agak marah dan kecewa dengan perkembangan serta usaha dalam menangani isu tersebut, yang semakin hari menjadi masalah besar untuk dunia kita hari ini.



Contohnya, persidangan berbilang negara tentang perubahan iklim gagal mencapai kata muafakat yang diinginkan baru-baru ini.



Persidangan Perubahan Iklim-25 (COP-25) - sidang perubahan iklim terunggul PBB yang baru berakhir di Sepanyol - gagal mendapat kata putus tentang pembentukan pasaran karbon.



Inisiatif ini bertujuan membolehkan negara yang melepaskan jumlah karbon lebih rendah ke udara menjual kredit karbon mereka kepada negara yang memerlukan kredit itu.



Kredit karbon ialah permit atau sijil yang membenarkan pemiliknya melepaskan karbon atau gas rumah hijau (GHG) lain ke udara. Tujuan utama sistem itu ialah bagi mengurangkan GHG yang dilepaskan ke udara.



Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang telah menghadiri persidangan tersebut berkata perkembangan itu dikesali, namun perbincangan yang diadakan boleh membuka laluan bagi langkah seterusnya.



Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, mengutarakan kekecewaannya apabila berkata dalam satu kenyataan:



"Masyarakat antarabangsa hilang peluang yang penting untuk memaparkan azam yang dipertingkat dari segi mitigasi, penyesuaian dan kewangan dalam menangani krisis ini."



Menurut laporan media, negara-negara yang mengelak daripada menyahut panggilan bagi menangani isu pemanasan global adalah negara yang paling banyak menyumbang kepada masalah tersebut.



Brazil, China, Australia, Arab Saudi dan Amerika Syarikat merupakan antara negara yang menentang tindakan yang lebih 'berani' dalam menangani isu tersebut.



Negara yang paling terjejas oleh perubahan iklim tidak berpuas hati melihat negara lebih besar terus melengah-lengahkan tindakan yang perlu diambil.



Negara yang sedang membangun dan juga mereka yang memperjuangkan tindakan segera diambil pula mengharapkan ikrar yang lebih tegas dari negara berkuasa dalam menangani isu tersebut, terutama sekali dengan proses Perjanjian Iklim Paris yang akan melalui fasa penguatkuasaan yang penting tahun depan.



Namun, kesimpulan yang dicapai hanya menekankan "keperluan mendesak" untuk mengurangkan pelepasan GHG, jauh daripada apa yang diharapkan.



Memang dikatakan perubahan besar memerlukan masa yang lama.



Tetapi apabila melihat negara-negara besar yang sebenarnya mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu gagal bertindak sepertimana yang diperlukan, ia seolah mengurangkan keyakinan dalam diri individu untuk bertindak sendiri.



Kehadiran ikon seperti Thunberg, yang tidak berputus asa dan sebaliknya makin bersemangat dan lantang menyuarakan pandangannya, dapat mengembalikan keyakinan yang hilang itu.



Lebih ramai individu yang berhenti dari menafikan realiti dan masalah sebenar dan mula melakukan sesuatu - walau bagaimana kecil sekalipun - akan membawa perubahan positif.



Dalam tinjauan yang diterbitkan Sekretariat Perubahan Iklim Nasional (NCCS) baru-baru ini, lebih ramai warga Singapura yang sedar akan kesan perubahan iklim, dan majoriti meluahkan mereka sanggup menanggung kos tambahan dan kesulitan demi melindungi planet ini untuk generasi akan datang.



Sekitar 90 peratus yang ditinjau sedar akan masalah tersebut dan 78.2 peratus bersedia untuk memainkan peranan mereka untuk mengurangkan pelepasan karbon di Singapura, walaupun terpaksa membayar kos tambahan atau melalui kesulitan sebagai pelanggan.



Contoh kos tersebut termasuk membayar lebih untuk mendapatkan bekalan elektrik dari penjual yang mesra alam, atau masa menunggu yang lebih lama untuk menaiki pengangkutan awam.



Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.



Ini boleh dipraktikkan dalam hal ini kerana walau sekecil mana sekalipun sumbangan kita, apabila dilakukan secara kolektif ia akan mempunyai kesan yang mendalam terhadap sesuatu matlamat.



Agama kita juga mengajar, perbuatan baik sekecil zarah pun tetap akan dikira. Jadi, mengapa tidak?




Siti Aisyah Nordin wartawan BH/BM. Isu-isu sosial dan sosio-agama sering menjadi topik penulisannya. Topik-topik tersebut juga memberikannya idea akan isu yang boleh dibincangkan dalam 'podcast' BH #NoTapis dalam peranannya sebagai produser 'podcast'. Ikuti Aisyah di Instagram @aisyahnordin.bh




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >