Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Gen Z lebih suka berjimat berbanding Milenial

Dua golongan ini lebih pentingkan pelaburan, dari kebendaan seperti kereta, rumah besar
Sep 30, 2020 | 05:30 AM



GENERASI Z (Gen Z) di Singapura lebih pandai berjimat cermat berbanding golongan Milenial.



Menurut tinjauan yang dikendalikan laman web kewangan peribadi SingSaver, 85 peratus responden Gen Z - yang berusia antara 18 tahun dengan 23 tahun - mula menyimpan wang sebelum usia mereka 22 tahun.



Sementara itu, hanya 41 peratus responden Milenial - yang berusia antara 24 tahun dengan 39 tahun - melakukan yang sama.



Antara Gen Z yang giat menyimpan wang ialah Encik Muhammad Ashraff Abdul Rahim, 19 tahun.



Pelajar politeknik itu menyimpan wang sejak usia 16 tahun dan mengetepikan sekitar $100 setiap bulan dalam akaunnya.



"Saya simpan wang untuk masa-masa krisis atau beli atau buat benda yang saya mahu," ujarnya ketika dihubungi Berita Harian.



"Ia memberi saya jaminan dan ia tidak buat saya risau apabila saya ingin berbelanja sebab saya tahu saya masih ada duit dalam simpanan saya."



Meskipun begitu, beliau akur bahawa menabung pada usia muda mencabar kerana "perlu membuat pengorbanan pada pilihan makanan dan hiburan supaya dapat menjimatkan wang sebanyak mungkin".



Tinjauan SingSaver, yang dijalankan sepanjang Ogos dan September, meneliti maklum balas 1,000 responden yang mewakili dua demografi itu di seluruh Singapura bagi memahami dengan lebih baik mengenai tabiat simpanan, pelaburan dan pengetahuan kewangan mereka.



Ia juga mendapati bahawa warga Singapura yang lebih muda lebih tekad mengikut bajet mereka.



Sebanyak 65 peratus responden Gen Z mengatakan bahawa mereka "kerap" dan "sangat kerap" mengikut bajet mereka, berbanding 56 peratus responden Milenial yang berbuat sedemikian.



Namun, Milenial (47 peratus) lebih cermat berbanding Gen Z (35 peratus) dalam menganggar pembelanjaan, menyimpan wang dan membuat pelaburan.



Ini mungkin kerana tanggungjawab tambahan yang mereka pikul dan pandemik yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi, kata SingSaver dalam kenyataannya.



Ketidaktentuan ini juga mendorong 48 peratus responden Gen Z dan Milenial membuat lebih kajian mengenai kewangan peribadi.



SingSaver berkata pengetahuan kewangan yang dipertingkat ini mungkin menyebabkan 71 peratus responden Gen Z dan Milenial "setuju" atau "sangat setuju" bahawa mereka yakin dana kecemasan mereka dapat menampung pembelanjaan selama tiga hingga enam bulan.



Apabila ditanya mengenai pelaburan, sebanyak 80 peratus responden Gen Z dan Milenial berkata mereka melabur.



Namun, enam daripada 10 kumpulan responden ini berkata mereka "sangat baru kepada" atau "mempunyai pemahaman asas mengenai" pelaburan.



SingSaver melihat peningkatan minat sebanyak 324 peratus bagi kandungan berkait pelaburan sejak Januari tahun ini, berdasarkan pertumbuhan tontonan halaman dalam kalangan kumpulan usia yang berbeza.



Bagi Cik Sharifah Shazza Samsuri, 20 tahun, yang melabur, kewangan adalah topik yang pernah menjadi punca konflik bagi keluarganya.



"Saya telah mengalami bagaimana menjalani hidup tanpa perancangan kewangan yang betul dan saya tidak mahu melalui perkara itu lagi. Saya mengambilnya sebagai iktibar dan membuat perubahan dalam kehidupan saya dengan merancang kewangan saya dengan betul.



"Saya tidak mahu meletakkan beban besar ke atas anak-anak saya pada masa depan apabila saya tua dan lemah. Saya mahu berdikari dan tidak bergantung pada anak-anak saya dari segi kewangan," ujar eksekutif penjualan e-dagang itu.



Lebih ramai Gen Z juga mengatakan simpanan untuk persaraan (39 peratus) menjadi dorongan utama mereka melabur, berbanding membeli barangan seperti kereta atau rumah yang besar.



Ini meskipun persaraan bukan yang diutamakan mereka.



Sementara itu, Milenial prihatin untuk memperolehi kebebasan kewangan (45 peratus).



Tinjauan SingSaver mendapati tiga produk utama yang dipilih Gen Z dan Milenial untuk melabur adalah bon/saham (59 peratus), hartanah (41 peratus) dan dana bersama (35 peratus).



Walaupun sebilangan besar Gen Z dan Milenial melabur, hampir dua pertiga (57 peratus) responden masih menggunakan akaun asas yang mempunyai hasil penjimat rendah.



Ini menunjukkan peluang memperluas pendidikan mengenai kewangan peribadi.



Penasihat kewangan MFAGroup, Cik Muliani Ideris, 35 tahun, berkata ramai anak muda mempunyai lebih kesedaran dan pengetahuan tentang pelaburan.



"Mereka mempunyai sikap yang berani mengambil risiko, dan mempunyai pemikiran yang bersemangat mahu mengejar cita-cita. Ramai tahu apa yang mereka mahukan dalam kehidupan. Walau semuda awal 20-an tahun, mereka sudah mula memikirkan contohnya bagaimana membeli kondominium pada usia awal," ujarnya.



Beliau menambah, agar sampai ke matlamat itu, mereka mencari cara melabur supaya dapat mencapai impian itu.



Seorang lagi penasihat kewangan MFAGroup, Cik Diyanah Hadfina Mohamed Azaman, 22 tahun, menggalakkan lebih ramai anak muda melabur kerana usia 20-an tahun adalah waktu mereka sudah melangkah ke alam pekerjaan dan belum dibebani terlalu banyak tanggungjawab.



Jika individu itu melabur pada usia muda, mereka boleh 'merasa' buah hasil itu lebih cepat daripada seseorang yang melabur pada usia lebih lewat.



Mereka mula bersiap sedia bagi masa depan contohnya, untuk pendidikan anak-anak mereka, daripada terburu-buru mencari duit apabila keadaan itu berlaku.



"Ini mengajar mereka komitmen dan tanggungjawab daripada usia yang amat muda. Tanggungjawab memutuskan masa depan kewangan mereka," tambahnya.




"Saya telah mengalami bagaimana menjalani hidup tanpa perancangan kewangan yang betul dan saya tidak mahu melalui perkara itu lagi. Saya mengambilnya sebagai iktibar dan membuat perubahan dalam kehidupan saya dengan merancang kewangan saya dengan betul.

Saya tidak mahu meletakkan beban besar ke atas anak-anak saya pada masa depan apabila saya tua dan lemah. Saya mahu berdikari dan tidak bergantung pada anak-anak saya dari segi kewangan."

- Cik Sharifah Shazza Samsuri, eksekutif penjualan e-dagang.



"Mereka mempunyai sikap yang berani mengambil risiko, dan mempunyai pemikiran yang bersemangat mahu mengejar cita-cita. Ramai tahu apa yang mereka mahukan dalam kehidupan. Walau semuda awal 20-an tahun, mereka sudah mula memikirkan contohnya bagaimana membeli kondominium pada usia awal."
- Cik Muliani Ideris, Penasihat kewangan MFAGroup.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >