Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Juara Suara 2.0 SYAZ SMOOTH beri hadiah 'Sederhana'

Ibarat pepatah Inggeris 'strike while the iron is hot', juara dan finalis Suara 2.0 anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) tidak berlengah-lengah melahirkan projek seni terbaru mereka. BERITA HARIAN melaporkan.
Feb 10, 2021 | 05:30 AM



DARIPADA hidup berbangga dengan sanjungan dan pujian, bintang remaja yang baru-baru ini dinobatkan sebagai juara Suara 2.0, Syah Riszuan Huslan, lebih senangi hidup dalam kesederhanaan.



Kerendahan hati dijadikan basahan hidup belia berusia 15 tahun ini yang mula dikenali ramai selepas memasuki peraduan adu bakat serantau, Asia's Got Talent, di saluran AXN beberapa tahun lalu.



Tidak lama selepas memenangi adu bakat anjuran Wisma Geylang Serai (WGS), Syah, yang menggunakan nama pentas Syaz Smooth, tampil dengan buah tangan buat pengikutnya berupa single sulung bertajuk Sederhana.



Lagu dan lirik ciptaan komposer tempatan Zulhilmi dan diterbitkan dan disusun semula oleh Sallys Music Productions kendalian Shawal Ziyad itu bakal menemui pendengar di Spotify dan iTunes pada Jumaat ini.



Buat masa ini, video lirik Sederhana yang dihasilkan Arsikin boleh ditonton di YouTube.



Ikuti wawancara bersama Syah yang akur 2021 ini merupakan tahun sibuk buatnya yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O' hujung tahun ini.



Zulhilmi dan Shawal turut membuka lembaran kisah bekerjasama dengan bakat muda ini.



SOALAN (S): Bagaimana 'single' ini dihasilkan?



SYAH (SY): Komposer lagu ini, Abang Zulhilmi, menemui Sallys Music Productions bagi menerbitkan lagu ciptaannya.



Abang Zulhilmi dan Abang Shawal memilih untuk bekerjasama dengan saya. Saya amat bersyukur kerana diberi peluang merakamkan Sederhana dalam tempoh saya juga menyertai Suara 2.0.



ZULHILMI (Z): Inspirasi bagi lagu ini datang daripada detik di mana saya meluangkan masa bersama anak kecil saya yang belum mencecah usia setahun pun.



Ketika itu, melihat senyumannya sahaja membuatkan saya bayangkan perasaan yang boleh diungkapkan sebagai teruja dan bahagia.



Itulah konsep di sebalik pembikinan lagu ini. Kasih sayang yang diberi mungkin nampak sederhana tetapi ia mampu membahagiakan dan membawa makna lebih besar dalam hidup seseorang.



S: Bagaimana pengalaman bekerjasama dengan Syah?



SHAWAL (SW): Mudah bekerjasama dengan Syah. Saya memilih untuk bekerjasama dengannya kerana sikap terbukanya menerima maklum balas. Dia juga memiliki nyala rasa untuk capai kecemerlangan dengan cara tersendiri.



Syah memberi suntikan tersendiri dari segi gaya ketika merakam lagu ini walaupun ada bahagian saya anggap keterlaluan dan lari daripada 'feel' lagu.



Apabila diberi maklum balas, Syah menggunakan kreativitinya lantas mengubah gaya nyanyiannya. Dia hargai ulasan komposer dan menghormati pandangan karyawan kreatif lain.



Potensinya besar walau masih muda lagi. Pengalamannya banyak. Dia belum ada single. Saya pernah bekerjasama dengannya dalam rancangan kanak-kanak Raya Oh Yeah.



Syah memang cemerlang dan luar biasa, miliki etika kerja dan kemahiran yang baik. Saya tidak akan terkejut jika dia menang peraduan serantau suatu hari nanti.



Alhamdulillah, dia menjuarai Suara 2.0. Kami percepat proses rakaman agar single ini diterbitkan dalam kehangatan bahang ramai mengingati Syah baru bergelar juara peraduan itu.



S: Apakah antara cabaran yang dihadapi Syah ketika merakam lagu ini?



SY: Kali pertama rakam lagu ini, terdapat kesilapan yang tidak disangka kerana sistem peralatan rakaman yang baru dinaiktarafkan.



Alhamdulillah, selepas kami merakamnya semula, segalanya berjalan lancar, malah mutu audionya lebih baik daripada rakaman pertama.



Abang Shawal banyak membantu saya dalam proses rakaman ini khususnya dalam bab mewujudkan harmoni bagi lagu ini.



S: Suara 2.0 merupakan peraduan yang besar buat Syah. Pada masa yang sama, ada juga komen golongan pembenci yang tidak senangi kemenangan Syah. Bagaimana anda menanganinya?



SY: Betul, Suara 2.0 adalah platform besar buat saya. Ia juga peraduan adu bakat Melayu pertama buat saya. Kemenangan saya merupakan hadiah hari lahir ayah.



Suara 2.0 merupakan perjalanan seni yang menyeronokkan di samping memberi saya pengalaman baru kerana saya kenal ramai kawan baru yang dianggap bak keluarga.



Saya hargai komen warganet yang menyokong saya. Bagi golongan pembenci, saya tidak menganggap mereka pembenci. Sebaliknya, mereka ibarat panel penilai dari rumah. Pastinya mereka bebas memberi pandangan mereka. Saya menganggap setiap komen mereka biarpun negatif seperti pembakar semangat saya.



Sebagai contoh, jika mereka kata suara saya kurang matang, ia akan membuatkan saya gigih berlatih bersama guru vokal saya. Saya akan pastikan suara saya kedengaran lebih baik dan apabila ia matang kelak, saya masih mampu melantunkannya dengan mutu. Insya-Allah.



S: Apakah yang Syah sibuk lakukan kini?



SY: Saya masih menjalani penggambaran bagi drama Channel 5 dan menjayakan program 'Bilik Kaca@Keat Hong'.



Saya akan menjalani rakaman bersama Orkestra Melayu Singapura (OMS) bagi projek WGS pada Sabtu ini.



Namun, keutamaan saya adalah pelajaran kerana GCE 'O' bakal datang. Saya ingin lulus dan meneruskan pengajian saya dalam bidang muzik di Maktab Seni Lasalle atau perfileman di Politeknik Ngee Ann.



S: Apakah erti 'Sederhana' buat Syah?



SY: Dalam kehidupan, kita harus capai keseimbangan. Hidup secara sederhana. Jangan letakkan jangkaan tinggi, tetapkan matlamat yang sedang-sedang sahaja tetapi lakukan yang terbaik bagi dapatkan yang terbaik daripada diri kita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >