Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Jaminan kerahsiaan data pengguna aplikasi 'sembang'

Rencana
33
0

Jaminan kerahsiaan data pengguna aplikasi 'sembang'

Isu keselamatan kepenggunaan WhatsApp, Telegram, Signal jadi tumpuan sedunia
Feb 16, 2021 | 05:30 AM

SEJAK WhatsApp menyatakan ia mahu meminda peraturan kerahsiaan pengguna dengan mengongsi data bersama Facebook, keadaan 'ribut' seketika dengan orang ramai mula mencari pilihan lain bagi memastikan komunikasi mereka menerusi aplikasi 'sembang' terjamin dan tidak dibocorkan.

Apa yang dimaksudkan ialah, transkrip perbualan, perkongsian rakaman gambar dan video serta segala data yang menonjolkan ciri kepenggunaan pengguna, seharusnya kekal terjamin sebagai milik peribadi seseorang pengguna dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain.

Kesemua ini memerlukan kekentalan enkripsi. Cakap mudahnya, pengguna WhatsApp mahu jaminan kukuh bahawa kerahsiaan komunikasi, data dan maklumat pengguna tidak dibocorkan.

Apa yang berlaku ialah, sedang Facebook menjamin kerahsiaan komunikasi seseorang pengguna ia bagaimanapun 'sedia' mengongsi data lain dari penggunaan aplikasi WhatsApp itu.

Bagaimanapun, disebabkan bantahan di seluruh dunia, Facebook, selaku pemilik WhatsApp, telah menangguhkan pelaksanaan perubahan perkongsian data pengguna ke satu tarikh lain - bukan lagi pada 8 Februari lalu - sebagaimana dirancangkan sebelum ini kerana pengguna prihatin telah meninggalkan WhatsApp dan menggunakan aplikasi pesaing - umumnya, Telegram dan Signal.

Menurut Facebook, semakan yang mahu dilakukan ke atas WhatsApp menyentuh maklumat yang boleh digunakan untuk iklan bersasar.

"Kami tidak dapat melihat mesej atau mendengar panggilan anda, begitu juga Facebook. Kami tidak menyimpan senarai mereka yang berutus mesej atau membuat panggilan. Kami juga tidak dapat melihat lokasi yang anda kongsikan, begitu juga Facebook," kata WhatApp dalam satu catatan di blognya pada 15 Januari lalu.

Namun disebabkan penolakan pengguna, Facebook berkata, "tiada siapa yang akan digantung atau dipadamkan akaun mereka pada 8 Februari lalu.

"Kami juga akan melakukan lebih banyak lagi untuk menjernihkan keadaan tentang jaminan kerahsiaan dan keselamatan WhatsApp.

"Kami kemudian akan pergi kepada orang ramai untuk menyemak dasar mengikut rentak mereka sendiri sebelum pilihan perniagaan baharu disediakan pada 15 Mei ini," kata WhatsApp lagi.

Jadinya, tujuan Facebook meminda peraturan kerahsiaan adalah untuk memanfaatkan WhatsApp secara komersial dengan membenarkan perniagaan menghubungi pelanggan menerusi wadah sembang itu, sekali gus membolehkan Facebook menyepadukan sebahagian data di pelayannya (server).

"Kami memberi syarikat perniagaan dan peniaga, pilihan untuk menggunakan khidmat pengendalian terjamin (secure hosting services) dari Facebook untuk mengurus perbualan di WhatsApp dengan pelanggan mereka, menjawab soalan, dan membantu memberi maklumat berguna seperti resit pembelian," kata WhatsApp dalam satu catatan di blognya.

"Sama ada anda berkomunikasi dengan sesebuah perniagaan menerusi telefon, e-mel, atau WhatsApp, ia boleh melihat apa yang anda katakan dan mungkin boleh menggunakan maklumat itu untuk tujuan pemasarannya, yang mungkin termasuk membuat pengiklanan di Facebook."

Yang nyata, WhatsApp semakin bertambah popular sebagai wadah pilihan untuk peniaga.

Disebabkan itu, WhatsApp menawarkan aplikasi WhatsApp Business sebagai 'pencetus' penjualan, dengan orang ramai menggunakan aplikasi itu untuk mengongsi gambar barangan atau makanan yang dijual ataupun perkhidmatan yang ditawarkan.

"Ia pantas menjadi kaunter jualan untuk membincangkan produk dan menyelaraskan jualan. Katalog telah membolehkan orang ramai melihat dengan pantas apa yang ditawarkan dan membantu perniagaan menyepadukan perbualan mengikut sesuatu barangan atau khidmat yang ada.

"Dengan lebih banyak perbelanjaan dibuat menerusi perbualan, kami mahu memudahkan lagi pembelian dan penjualan," kata WhatsApp di blognya.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3