Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'KakakAdik' ruang bagi 'rapper' legenda dan 'baru naik' saling dorong

Oct 31, 2021 | 05:30 AM



Mawar Berduri dan Qis Maraj rapatkan jurang generasi untuk saling timba ilmu seni Lagu memperkasa kaum Hawa yang didendangkan dua artis wanita ibarat 'sistem sokongan' untuk memberi satu sama lain kekuatan dalam mengharungi tempoh mencabar. BERITA MINGGU melaporkan kisah dua pasang 'kakak dan adik' di persada muzik Singapura mahupun dalam industri muzik Barat, yang bekerjasama dalam menjana lagu memperkasa semangat wanita.



MEREKA mungkin datang daripada generasi berbeza, tetapi berkongsi minat yang sama dalam muzik hip hop.



Sebelum ini mereka tidak mengenali satu sama lain, tetapi kali pertama dipertemukan bagi projek kolaborasi lagu KakakAdik, Mawar Berduri dan Qis Maraj akui masing-masing kagum dengan kemahiran yang dimiliki.



Sebagai nama mapan dalam industri muzik serantau, Mawar Berduri, yang mula dikenali sebagai sebahagian daripada kumpulan hip hop Singapura yang disegani, Ahli Fiqir, tidak sedikit pun terasa dirinya jauh lebih mahir daripada Qis.



Mawar, 40-an tahun, yang nama sebenarnya Nurhidayati Mohd Yusop, malahan bangga dan tabik hormat kepada 'adiknya' itu kerana mempunyai kebolehan mencipta lagu, menulis lirik dan mengadun muzik sekali gus.



Qis, 21 tahun, yang nama sebenarnya Nurbalqis Mohamed Muzamil, pelajar Diploma Teknologi Audio Muzik di Politeknik Singapura, pula bagaikan mimpi kerana dapat bekerjasama dengan legenda hip hop wanita yang ikonik.



"Ini bukan 'battle' atau nak lawan siapa lebih bagus atau lebih 'champion'. Tak semestinya saya ada pengalaman, saya lagi bagus. Kami bukan nak tumpaskan satu sama lain atau nak bersaing.



"Walaupun saya jauh berpengalaman dan lebih berusia daripada Qis, saya banyak belajar dan ingin belajar daripadanya tentang teknologi dan cara memasarkan lagu dalam era digital atau TikTok.



"Saya juga kagum dengan 'budak kecik' ni. Sebab umur baru 21 tahun, tetapi dah macam-macam yang dia buat. Tak payah tunggu orang ciptakan lagu. Semua bikin sendiri dan tak perlu buang masa.



"Irama lagu pun diadun sendiri. Di sekolah pun, dia belajar bidang audio muzik. Semasa saya sebaya dengannya, saya tak buat semua ni. Kami ada pasukan. Saya malah dahagakan ilmu seperti ini demi kemajuan kerjaya," jelas Mawar dalam satu wawancara Zoom.



Beliau malahan gembira dapat bertemu Qis, yang baginya memiliki pakej rupa, gaya dan bakat.



Lebih menyejukkan hati Mawar adalah sikap merendah hati, hormat orang dan ingin belajar yang ada pada belia berkenaan.



"Dia tak 'diva' atau nak tunjuk dia ada ilmu muzik. Jadi dalam lagu KakakAdik ni, tak pula timbul matlamat nak menjatuhkan. Ia lagu nasihat kakak yang sudah banyak makan garam buat adik... dua-dua ingin saling bergerak seiringan bak aur dengan tebing," kongsi Mawar lagi.



Qis pula menambah seronok dan selesa dengan keselambaan 'kakak' yang baru dikenalinya itu.



"Kerana Kak Mawar santai dan dia pun tak 'diva', maka saya selesa bekerjasama, malah tak perlu risau nak tunjukkan sikap gila-gila saya sebab memang kami berdua suka bergurau.



"Awalnya, memang saya segan. Maklumlah, beliau legenda. Semasa kecil, saya biasa dengar lagunya bersama Ahli Fiqir, 'Angguk-Angguk Geleng-Geleng', yang 'catchy' sampai 'melekat' di fikiran hingga hari ini.



"Takut dia garang atau pandang saya macam budak hingusan yang tak tahu apa-apa. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan ini bukan kali terakhir kami bekerjasama," jelas Qis.



Bagi Mawar, setelah beliau berhenti seketika daripada bidang nyanyian untuk memberi tumpuan kepada keluarga, suami dan anak-anak, kembalinya dirinya di persada seni serantau adalah dengan kelainan.



"'Yang Terhebat' adalah lagu solo saya sebagai petanda kembalinya saya dengan jenama baru.



"'KakakAdik' juga satu usaha saya menampakkan sisi saya yang matang sebagai seorang isteri, ibu, wanita 40-an tahun dan penghibur yang sudah di fasa lain berbanding zaman anak dara dan Ahli Fiqir dahulu.



"Saya juga terharu masih ada pengikut dari Malaysia yang menantikan lagu-lagu baru saya. Malah, apabila ada yang nampak lagu KakakAdik, mereka kata, 'Eh Mawar dah kembalilah... kali ini bawa 'adiknya'...' " ujarnya lagi.



Qis, yang sebelum ini bergerak sendiri kerana pengalaman pahit diperguna dan diperlekeh golongan yang mengambil kesempatan, kembali yakin bekerjasama dengan golongan berpengalaman seperti Mawar, 2Kangkata, atau Samsolnahar Sibengat, 51 tahun (juga bekas anggota Ahli Fiqir) dan penerbit serta pengadun muzik, Sazery Suhady.



"Saya anggap pertemuan dengan Kak Mawar, Uncle Sam (panggilan buat Samsolnahar) dan Sazery sebagai satu rezeki.



"Bapa saya pun selesa dan rasa terjamin kalau saya perlu bertemu mereka dan membuat rakaman pada waktu malam. Sebabnya ada yang menjaga saya dengan baik dan pastikan hala tuju muzik saya mengikut pasaran dan keperluan masa kini.



"Mereka juga tidak menyekat daya kreativiti saya mencipta lagu atau menulis lirik. Mereka ibarat sistem sokongan yang anak muda dan bakat baru seperti saya perlukan untuk terus kekal dalam persada muzik ini," tambah Qis.



Apa yang mereka berdua harapkan adalah jus kreatif dan sinergi akan terus mengalir sebab mereka saling memerlukan.



"Kita perlu teman-teman yang positif dan sihat buat minda dan emosi kita. Ada 'adik' macam Qis banyak beri kesegaran buat saya," tambah Mawar.



Qis pula berkata:



"Bergaul dengan bermacam orang termasuk yang sudah ke seberang Tambak macam Kak Mawar pun memberi saya keseronokan. Saya sentiasa teruja nak kongsi idea saya bersama mereka."



KakakAdik juga dicipta dengan irama dansa sesuai buat aplikasi TikTok.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >