Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:30

Kerjaya TV bantu penulis terbit program bercerita digital

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Kerjaya TV bantu penulis terbit program bercerita digital

Jun 16, 2021 | 05:30 AM

APABILA penerbit dan penulis Maria Mahat, menghasilkan buku kanak-kanak dwibahasa (Melayu-Inggeris), Ada Biji Saga Di Dalam Saku Kami!/There Are Saga Seeds In Our Pockets! lima tahun lalu, beliau tidak mempunyai visi jangka panjang ia akan diubah menjadi pementasan teater atau persembahan digital.

Pada waktu itu, Maria, 48 tahun, yang juga jurulatih penyediaan sumber pengajaran buat guru prasekolah, hanya ingin mengisi kekosongan pasaran buku Melayu kanak-kanak berkonteks tempatan di Singapura.

Namun, apabila mendapat e-mel daripada Esplanade pada 2019, beliau begitu teruja ditawarkan bekerjasama dengan penggiat teater, Dalifah Shahril, bagi program bercerita berbentuk teater sempena Pesta Raya.

Jangkanya, segalanya dipentaskan tahun lalu tetapi ditunda kerana pandemik Covid-19 yang melanda.

Namun, apabila ia ingin dilaksanakan dalam bentuk teater fizikal di ruang legar Esplanade tahun ini, Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) pula berkuatkuasa, menyebabkan pementasan ini dialihkan ke versi digital Sabtu lalu.

Anda boleh menyaksikan tayangan percuma progam ini di laman Offstage kendalian Esplanade hingga 11.59 malam, 27 Jun ini.

Ketika dihubungi menerusi talian Zoom, Maria melahirkan rasa teruja dan bersyukur kerana ada hikmah di sebalik penantian untuk melaksanakan program ini.

Antara yang tidak diduga adalah kemahiran dan pengalaman sebagai penerbit drama dan rancangan hiburan Mediacorp Suria suatu ketika dahulu dapat dimanfaatkan bagi penerbitan program digital.

"Saya tak sangka pula dengan program bercerita ini dialihkan ke wadah digital, saya kembali menerapkan ilmu penerbitan televisyen dalam mengusulkan sudut penggambaran atau perjalanan cerita.

"Memang saya akur, dunia penyiaran membantu saya memikirkan jalan cerita setiap buku saya dalam bentuk visual. Jadi saya tahu bagaimana peralihan dari satu babak ke babak lain," jelasnya.

Awalnya, jika ini dibuat dalam bentuk teater, kerja mengarah diberikan sahaja kepada Dalifah, 42 tahun, yang lebih arif dan juga terlatih sebagai pendidik kelas pertuturan dan drama buat kanak-kanak.

Kata Dalifah yang tampil sebagai penyelaras persembahan dan pencerita program bercerita ini:

"Walaupun sedikit hampa kerana tidak dapat mengadakan pementasan fizikal, saya tidak mahu rezeki pelakon dalam pementasan ini terputus. Lagi pun, kerana keadaan kewaspadaan dipertingkat, sudah banyak acara teater dibatalkan atau ditunda. Kalendar yang penuh jadi kosong.

"Jadi apabila ia dipentaskan secara digital, saya terima sahaja dan berusaha sebaiknya kerana kami mempunyai pelakon komited seperti Hafiz Sanusi dan Rizal Rahiman yang mempunyai pengalaman berlakon di televisyen.

"Tuntutan program digital, justeru itu, lebih mudah buat mereka fahami. Saya tiada pengalaman mengarah program televisyen atau filem. Di sinilah, saya perlukan tunjuk ajar Maria."

Maria sendiri teringatkan susah payah menghasilkan buku kanak-kanak pertamanya, Ada Biji Saga Di Dalam Saku Kami!/There Are Saga Seeds In Our Pockets!

Sebahagian kos buku ini ditanggung Lembaga Warisan Negara (NHB) dengan Maria memikirkan cara memasarkannya ke sekolah.

"Dengan buku ini dijana menjadi sebahagian program Pesta Raya di Esplanade, ia satu lagi pencapaian. Mana tahu selepas ini, ia boleh dibawa ke luar negara?

"Awalnya, buku ini dihasilkan untuk dijadikan sumber buat guru-guru gunakan ketika membawa murid mereka ke muzium.

"Kebanyakan guru prasekolah yang saya latih memberi maklum balas mereka tiada sumber rujukan ketika bawa anak-anak ini ke muzium.

"Buku ini mengikut perjalanan dua kanak-kanak prasekolah, Mahir dan Aqil, dalam mengenali budaya Melayu. Mereka ke Taman Warisan Melayu (TWM) yang dahulunya tapak istana.

"Guru mereka, Cikgu Khalid, membawa peranan sebagai Sultan Hussein Shah. Kanak-kanak belajar bagaimana Temasek menjadi Singapura yang makmur. Datuk-moyang kita antara lain datang dari Arab, China dan India untuk berdagang.

"Sejarah Singapura sebagai kota pelabuhan, bermula di Sungai Singapura, kemudian diselongkar.

"Mereka bertemu Pak Awang yang bercerita tentang unsur tradisional Melayu lain seperti permainan congkak," tambah Maria.

Beliau juga menyisipkan fakta menarik bagaimana botol kicap sumbangan penduduk Kampong Glam menjadi sebahagian seni bina kubah Masjid Sultan dahulu.

Pendek kata, buku ini juga mempunyai cakera padat yang memuatkan lagu kanak-kanak. Lagu tentang peraturan pergi ke muzium itu mudah dihadam si kecil dan digunakan dalam persembahan digital sekali gus.

Dalam tempoh Covid-19 ini juga, Maria bersyukur wujud geran Majlis Seni Kebangsaan (NAC) yang membolehkannya mengalihkan dua bukunya dalam bentuk animasi.

"Dalam pandemik, semua orang keliru apabila tugasan dan rutin seharian terjejas. Namun, kita sentiasa perlu cari cara baru memperkaya karya atau kerja seni kita agar ia diteruskan," katanya.

Beliau kini dalam proses menerbitkan buku kanak-kanak susulan mengenai adat dan budaya menimang cahaya mata, meliputi tahnik dan tahliq, aqiqah serta proses menamakan si anak.

Satu lagi buku tentang menerapkan semangat waja dan daya tahan anak yang membolehkannya buat apa sahaja yang dicita-citakan.

Kata Dalifah pula:

"Buku-buku dwibahasa Maria membantu anak-anak yang lebih terdedah pada bahasa Inggeris dan tidak fasih berbahasa Melayu mempelajari sedikit demi sedikit kosa kata dalam bahasa ibunda mereka.

"Kerana ia sarat nilai dan sejarah, ia juga menambah pengetahuan mereka. Kerjasama bersama Maria membuatkan saya memikirkan bagaimana lagi kita dapat memperkasa pengetahuan anak kecil tentang warisan tradisi mereka menerusi teater digital."


"Saya tak sangka pula dengan program bercerita ini dialihkan ke wadah digital, saya kembali menerapkan ilmu penerbitan televisyen dalam mengusulkan sudut penggambaran atau perjalanan cerita. Memang saya akur, dunia penyiaran membantu saya memikirkan jalan cerita setiap buku saya dalam bentuk visual. Jadi saya tahu bagaimana peralihan dari satu babak ke babak lain."
- Penerbit dan penulis, Maria Mahat.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3