Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Melayu dalam imaginasi nasional: Mentakrif identiti kita

Bebanan sejarah perlu dipelajari dalam usaha berterusan untuk corak semula naratif
Jul 26, 2021 | 05:30 AM



Siri Cendekiawan Lestari (CLS) anjuran Yayasan Warisan Melayu (MHF) telah melengkapkan kuliah keempatnya minggu lalu. Minggu ini, BERITA HARIAN (BH) mengimbas semula kuliah yang disampaikan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, sebagai pembuka tirai siri tersebut.



SAYA ingin berkongsi pandangan saya tentang laluan masyarakat Melayu dalam mencari tempat bagi dirinya di Singapura.



Banyak yang telah ditulis dalam meninjau cabaran yang kita telah lihat. Saya akan menyemak beberapa pemerhatian ini bagi menekankan beberapa perkara utama dan merumuskannya dengan beberapa saranan bagaimana kita boleh mara dalam menentukan naratif yang kita mahukan bagi masyarakat kita.



Baru-baru ini, saya terlibat dalam satu perbincangan di mana seseorang itu berkata dia terasa seperti orang Melayu kerana dia memiliki empat anak. Komen itu mengejutkan saya. Tetapi saya tidak hairan kerana ia merupakan satu perjuangan bagi masyarakat Melayu dalam mengatasi beberapa stereotaip yang dilontarkan kepada kita.



Namun, apa yang paling dahsyat adalah kenyataan yang dibuat tanpa teragak-agak dan seakan-akan ia sudah secara sepenuhnya dihadam. Semudah itu komen itu dibuat adalah sesuatu yang kita perlu prihatinkan kerana ia boleh dan biasanya mampu mempunyai kesan teruk yang merumitkan terhadap keupayaan masyarakat Melayu melibatkan diri sepenuhnya dalam kehidupan awam di Singapura.



Saya tidak merancang untuk menyemak semula senarai rungutan kita tentang komen sedemikian dan jangkaan yang diletakkan ke atas masyarakat kita. Banyak yang telah ditulis oleh warga Melayu di Singapura mengenai laluan masyarakat kita dalam mengenal pasti siapa diri kita serta berdasarkan pengalaman masyarakat minoriti lain serata dunia.



Saya bagaimanapun ingin menyentuh tentang beberapa pengalaman bagi mengusulkan laluan selanjutnya buat kita semua pertimbangkan.



Tangani stereotaip Melayu



Saya mulakan dengan stereotaip yang kita sudah biasa dengar tentang masyarakat kita, iaitu kita pemalas dan tidak cukup rajin bagi merebut peluang yang terbentang di depan kita. Allahyarham Profesor Syed Hussein Al-atas bertegas memaparkan kepalsuan mitos ini dalam buku terkenalnya, The Myth of the Lazy Native. Tetapi hingga hari ini kita melihat sesetengah anggota masyarakat kita menyarankan dengan hanya bekerja keras sahaja kita boleh mengatasi cabaran kita.



Ia menolak konteks sosial dan lebih penting lagi hambatan yang dihadapi beberapa keluarga dalam mencuba mengatasi cabaran yang ada. Tentunya, jika saya bekerja keras secukupnya bagi menyiapkan latihan Matematik, saya boleh mengatasinya, kecuali tentunya jika saya menerima pandangan bahawa minda orang Melayu tidak berupaya memahami Matematik.



Pada masa yang sama, pandangan tentang bekerja keras ini mengabaikan fakta bahawa sesetengah keluarga boleh memperluas lebih kelebihan buat anak-anak mereka berbanding keupayaan keluarga lain.



Dalam melakukan perkara ini, tahap mutu yang diletakkan bagi kejayaan dipertingkat lagi - satu perkara yang disampaikan secara ringkas oleh Profesor Madya Teo You Yenn dalam buku berpengaruhnya, This Is What Inequality Looks Like.



Tanggapan bahawa hanya dengan bekerja keras kita dapat memperbaiki kebanyakan keperluan kita meletakkan bebanan mencapai kejayaan hanya pada diri kita sendiri. Malahan, beberapa buku diterbitkan baru-baru ini bagi mengkaji semula konsep meritokrasi.



Dengan meletakkan bebanan ini kepada masyarakat, analisis ini mengabaikan konteks sosial dan lebih penting lagi tempoh bertahun lamanya masyarakat Melayu menahan tanggapan negatif orang padanya.



Identiti Melayu bukan satu dimensi



Salah satu isu keprihatinan adalah percubaan sesetengah pihak memperkecil identiti masyarakat pada satu dimensi sahaja.



Satu contoh ialah apabila kita diminta menentukan apakah kita orang Melayu terlebih dahulu atau umat Islam terlebih dahulu.



Percubaan menggolongkan kita dalam satu identiti sahaja mengetepikan keadaan alamiah identiti manusia, yang kompleks dan majmuk.



Tujuannya jelas bagi menggariskan apa yang dilihat sesetengah pihak sebagai keadaan eksklusivis identiti keagamaan dan menjadikan identiti budaya sebagai pilihan hakikat buat kita. Tetapi ini adalah pilihan yang palsu.



Kerencaman identiti sedemikian bermakna identiti kita juga disesuaikan berdasarkan konteks.



Justeru, sebagai contoh, apabila madrasah kita diancam untuk ditutup jika tidak memenuhi mutu pendidikan tertentu, beberapa mahasiswa Melayu/Islam tampil menawarkan tuisyen percuma kepada madrasah kita.



Walaupun sesetengah orang mungkin tidak pernah memikirkan tentang isu ini sedalamnya, namun kejadian ini mencetuskan dalam diri mereka matlamat serupa dengan penganut seagama lain.



Percubaan yang sama untuk menggolongkan kita pada satu identiti sahaja dilihat dengan fenomena yang dipanggil 'Arabisasi'.



Subteks yang tersembunyi adalah kita harus mengekalkan pendirian 'sederhana' kita tentang Islam dan tidak mengambil takrifan Islam yang lebih tegar dan tidak fleksibel, yang sepatutnya dijaja masyarakat Arab di Timur Tengah.



Pandangan ini memperlakukan ketidakadilan yang besar pada kerencaman pemikiran keagamaan yang wujud dalam kalangan masyarakat Arab. Tentunya, kita tidak bersetuju dengan pandangan keagamaan yang menjejas kedudukan yang telah lama kita ambil untuk hidup secara aman bersama-sama dalam masyarakat berbilang budaya dan agama yang diperintah secara sekular.



Namun seperti kumpulan lain, menyesuaikan diri dan mengambil idea dan proses ini adalah latihan berterusan. Lebih penting lagi adalah trend yang ketara diamalkan ini tidak menjejas masyarakat kita yang berbilang budaya dan agama.



Mengambil fesyen, makanan, muzik atau jebak kebendaan budaya lain bukannya satu fenomena baru. Memakai pakaian seperti orang Arab atau memelihara janggut panjang tidak banyak beza pengaruhnya daripada gerak hati tiba-tiba untuk diselubungi fenomena K-pop. Keprihatinannya haruslah tentang sama ada pandangan dan cara berfikir yang diambil ini akan menjejas masyarakat.



Teliti semula tanggapan Melayu juga pendatang



Satu lagi usaha mengenakan stereotaip pada masyarakat Melayu adalah dengan melabel semua daripada kita ini pendatang Singapura.



Pemikiran sebegini sekali lagi mengetepikan konteks sosial dan sejarah siapa kita jika dikaitkan dengan rantau ini.



Saya mendapati rencana tulisan Faris Joraimi mengenai The History of Malay Singaporeans in Ten Objects (Sejarah Melayu Singapura dalam Sepuluh Objek) memberi gambaran yang sangat jelas.



Yang menimbulkan minat di sini adalah penjelasan tentang permit mendarat "yang dimiliki seorang 'anak dagang' dari Jawa, meliputi keadaan sering mudah beralih dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain masyarakat di Nusantara ini".



Secara jelas, tanggapan bahawa lelaki dan wanita muda dari rantau ini meneroka ke kawasan berbeza di Nusantara bagi mencari pekerjaan dan peluang kerjaya lain adalah perkara biasa pada masa itu. Ini sehinggakan kita menemui kumpulan orang Minang, Bawean, Jawa dan Bugis tinggal di merata gugusan pulau-pulau Melayu ini.



Dan mereka membentuk masyarakat Melayu di Singapura. Izinkan saya menambah petikan di sini dari bahagian berikut:



"Melihat pada konteks ini, ia menimbulkan soalan tentang sama ada Singapura benar-benar 'asing' daripada bahagian lain Kepulauan Melayu, atau jika orang Melayu adalah 'pendatang'.



Sebelum kawalan sempadan dilaksanakan dan sempadan politik diperkenalkan, ia adalah sebahagian daripada dunia Melayu yang lebih luas dengan orang ramai sentiasa bergerak bebas."



Ini adalah beberapa contoh bagaimana identiti kita kadangkala didefinisikan orang lain. Sebaliknya, sejarah kita juga menunjukkan lelaki dan wanita rela bersuara bagi memastikan pelaksanaan stereotaip ini tidak terbiar tanpa dicabar.



Pada awal 1980-an, sebuah badan Melayu/Islam menentang beberapa buku sejarah yang digunakan di sekolah-sekolah kita yang memberi gambaran Singapura sebelum 1819 sebagai tempoh mitos dan legenda. Malahan, pada awal 1970-an, sayap belia sebuah parti politik sampaikan membakar buku sejarah bagi menentang langkah memutarbelitkan sejarah Melayu.



Saya tidak akan membiarkan langkah seperti ini berlaku. Tetapi saya percaya adalah menjadi amanah kita untuk mengutarakan kesilapan dan kesalahan ini secara diplomatik.



Cabaran identiti kita adalah selalu terjalin dengan bagaimana keadaan kita dilihat orang lain. Masalah yang selalu dipanggil masalah 'Melayu', biasanya dipermudah sebagai orang Melayu yang ketinggalan dalam semua cabang pencapaian manusia berbanding masyarakat lain di Singapura, juga mengukuhkan lagi beberapa stereotaip.



Perkara sebenarnya adalah pemimpin masyarakat kita sudah lama menyedari keperluan membantu masyarakat kita maju ke depan.



Cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu dibincangkan dalam banyak forum dan seminar, yang membawa pada pelbagai kumpulan tampil mengusulkan huraian.



Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS), misalnya, mengorbankan idea sekolah-sekolah Melayu apabila mereka mengusulkan konsep Sekolah Kebangsaan pada 1970.



Ia ditolak pemerintah ketika itu tetapi langkah ini menunjukkan kebolehan masyarakat bersatu hati dan menangani cabaran bersama.



Malahan, pertubuhan yang baru ketika itu, bernama Majlis Pusat, membuat langkah lanjutan dengan mendapatkan penjelasan dari pemerintah mengenai mengapa belia lelaki Melayu tidak dipanggil bagi Perkhidmatan Negara, yang membuatkan mereka kurang digajikan.



Sedang situasi ini mungkin berubah hari ini dan demi kebaikan, kita tidak harus mengabaikan rasa resah dan penderitaan yang dihadapi masyarakat pada masa itu.



Apa yang ingin saya sampaikan adalah bagi menunjukkan kebolehan pemimpin masyarakat kita untuk mengemukakan perkara ini, kerana ia agak teruk menjejas kita.



Usah biarkan bebanan sejarah bebani generasi muda



Cabaran saya kepada generasi lebih muda adalah agar tidak membebani diri mereka dengan bebanan sejarah tetapi tidak juga mengetepikan pengajaran yang dipelajari sebagai sebuah masyarakat dan gunakan pelajaran ini dalam usaha berterusan mencorak semula naratif.



Kita telah menentang definisi binari tentang siapa diri kita. Dan kita tidak harus menerimanya walaupun dalam kalangan masyarakat kita.



Satu lagi contoh kepimpinan masyarakat adalah apabila Allahyarham Haji Yaacob Mohamad menyokong Persatuan Wartawan Melayu dalam menyuarakan rasa tidak senang terhadap lawatan Presiden Israel ke Singapura pada 1986.



Menteri Kanan ketika itu, Encik Rajaratnam menjawab kritikan dari penunjuk perasaan Malaysia dengan mengatakan: "Kami bukan Muslim".



Kata-kata terkenal ini meraih reaksi kuat dari masyarakat termasuk Persatuan Wartawan Melayu sendiri.



Encik Rajaratnam memberikan respons panjang lebar kepada pihak persatuan, yang kemudian meraih respons pula dari Haji Yaacob, yang menuduh Encik Rajaratnam mengamalkan 'McCarthyisme' (tuduhan tidak berasas, frasa yang dicipta sempena kempen menentang komunis dalam pemerintahan Amerika yang dijalankan Senator Joseph McCarthy).



Sikap persis negarawan oleh seorang pemimpin masyarakat kita dalam berdepan dengan kritikan dari pemimpin kanan pemerintah adalah gambaran apa yang boleh dilakukan dalam menangani kata-kata dan sindiran tentang masyarakat. Kita harus berdiri teguh demi menegakkan pendirian kita mengenai perkara sebegini.



  •  (Bersambung. Bahagian kedua kuliah Profesor Yaacob akan diterbitkan dalam ruangan Bahasa & Budaya Isnin depan)

     

  • Profesor Yaacob Ibrahim adalah Penasihat kepada Presiden Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Pengarah bagi Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial SIT, serta mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. Makalah ini berdasarkan Kuliah Seri Cendekiawan yang pertama pada 30 Oktober 2020


"Salah satu isu keprihatinan adalah percubaan sesetengah pihak memperkecil identiti masyarakat pada satu dimensi sahaja.



Satu contoh ialah apabila kita diminta menentukan apakah kita orang Melayu terlebih dahulu atau umat Islam terlebih dahulu.



Percubaan menggolongkan kita dalam satu identiti sahaja mengetepikan keadaan alamiah identiti manusia, yang kompleks dan majmuk.



Tujuannya jelas bagi menggariskan apa yang dilihat sesetengah pihak sebagai keadaan eksklusivis identiti keagamaan dan menjadikan identiti budaya sebagai pilihan hakikat buat kita. Tetapi ini adalah pilihan yang palsu.



Kerencaman identiti sedemikian bermakna identiti kita juga disesuaikan berdasarkan konteks."
- Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, mengenai identiti masyarakat Melayu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >