Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Model berkaki palsu

Kaki terpaksa dipotong dek gangren selepas kemalangan motosikal
Nov 14, 2020 | 05:30 AM



Sebut tentang dunia peragawati yang glamor, ramai yang pasti mempunyai tanggapan model yang bergaya di pentas atau dalam sesi foto adalah yang cantik menawan lagi tinggi lampai. Namun, keadaan sudah berubah kini dengan usaha kemasyarakatan yang menekankan kecantikan hati lebih daripada paras rupa dan fizikal tubuh dalam diri model. BERITA HARIAN melaporkan kisah dua model berkeperluan khas. 




HATI Cik Rosalina Oktavia berkecai bagai kaca terhempas ke lantai apabila kehilangan kaki kirinya yang kebas, bengkak dan dilanda gangren lima tahun lalu.



Beliau yang berusia 24 tahun ketika itu merasakan masa depannya sebagai peragawati sambilan dan jururawat perbidanan di hospital sekitar Jawa Tengah musnah sekelip mata.



Gangren atau kematian tisu badan kerana jangkitan bakteria dan terjejasnya pengaliran darah itu dialami selepas beberapa pembedahan sulit dengan kecuaian doktor memotong urat kaki kirinya.



Awal daripada itu, pada 2009, Cik Rosalina yang kini Penduduk Tetap (PR) Singapura terlibat dalam kemalangan motosikal yang membuat lutut kaki kirinya terseliuh.



Di sebalik segala keperitan yang dirasakan, beliau menggagahkan semangat membina hidup baru dengan berpindah ke Singapura pada 2017.



Dibantu bekas suaminya yang juga PR Singapura, beliau membina semula kerjaya sebagai model berkaki palsu dan pempengaruh sosial di Instagram.



Baru-baru ini, dalam tempoh pandemik Covid-19, Cik Rosalina, 29 tahun, terpilih sebagai antara 100 wajah jelita Kempen #EcoBeautySquad anjuran jenama kecantikan Korea, THEFACESHOP.



Jenama ini mencari insan berinspirasi yang dapat menyampaikan etos kecantikan sebenar dan semula jadi yang terpancar dari hati.



Dengan menggalak peserta agar yakin menjadi diri sendiri, kempen ini menyediakan ruang buat peserta meraih panduan berjaya dalam dunia digital daripada bengkel kendalian personaliti media sosial, Mong Chin Yeoh.



Pemenang #TheEcoBeautySquad bakal menerima pakej hadiah bernilai $15,000 meliputi kontrak setahun bersama THEFACESHOP, bekalan produk THEFACESHOP, kamera DSLR dan sesi sehari memanjakan diri.



Ketika ditemui di pusat beli-belah Great World City baru-baru ini, Cik Rosalina yang bertugas sebagai setiausaha pemasaran, berkata:



"Saya tertekan sepanjang terlantar di hospital selama dua bulan.



"Bayangkan, saya masih muda dan menjalani gaya hidup sihat dan lasak. Selepas kemalangan, saya masih boleh mengayuh basikal dan berlari-lari anak walau pergerakan kadangkala tergenjot.



"Saya bertemu doktor bagi rawatan susulan dan didapati mempunyai masalah tendon terkunci yang memerlukan pembedahan. Dalam keadaan sedar di ruang bedah, saya terdengar bunyi urat terputus dan doktor itu berbisik resah tentang kecuaiannya. Tahu-tahu menyusuli pembedahan itu, saya terpaksa menjalani pembedahan lain dan akhirnya terpaksa memotong kaki saya kerana ia sudah memudaratkan kesihatan dengan tulang kaki bertukar hitam dan berbau."



Menurut Cik Rosalina lagi, beliau dan keluarga tidak membawa kes kecuaian doktor ini ke mahkamah kerana enggan menyulitkan lagi keadaan dengan kos guaman yang tinggi dan proses turun naik mahkamah.



Sebaliknya, wanita cekal ini ingin memandang ke depan dan merebut peluang membina semula kerjaya model dan menjadi pempengaruh sosial pencetus inspirasi menerusi wadah seperti Kempen #EcoBeautySquad.



"Sewaktu saya berhijrah ke Singapura tiga tahun lalu, saya payah menyesuaikan diri dengan sekitaran serba baru.



"Bekas suami gemar merakam foto. Beliau membantu membangun portfolio saya di Instagram dan YouTube. Kini, pengikut saya sudah mencecah 13,500 orang.



"Seorang jurufoto di Singapura pula memetik gambar saya bagi memberi saya keyakinan tampil tanpa rasa ragu dengan kaki palsu saya.



"Kini, saya diminta beberapa kedai blog memperagakan pakaian dan mempromosikan produk. Ia satu perjalanan yang banyak mengajar saya tentang 'modelling' dalam dunia digital baru," katanya.



Penyertaannya dalam Kempen #EcoBeautySquad juga menyediakan pelantar baginya mencetus inspirasi buat golongan berkeperluan khas khususnya yang berkaki palsu tetapi kurang yakin mendedahkan diri di khalayak ramai.



"Tujuan saya bukan untuk tarik perhatian, kejar glamor, nak menang atau meraih simpati orang. Saya ingin raih pengalaman baru sebagai model kaki palsu dalam dunia digital.



"Saya juga ingin memberi semangat kepada golongan berkeperluan khas agar mereka juga tidak gentar melakukan sesuatu yang dibuat orang cukup sifat. Saya beri panduan berjalan lancar dengan kaki palsu.



"Anak teman saya yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa panggil saya 'Aunty Robot' sebab kaki palsu besi ini! Saya anggapnya sebagai gurauan anak kecil.



"Saya pernah dijeling orang, dipersenda atau dipandang dengan mimik muka menghina ketika saya sengaja memaparkan kaki palsu saya hanya untuk tinjau reaksi orang di jalanan.



"Saya juga terima pesanan warganet lelaki yang tidak beradab mengirim pesanan lucah bagai merendah-rendahkan maruah saya.



"Namun saya abaikan sahaja semua yang negatif. Kempen #EcoBeautySquad adalah petanda kecantikan itu tidak mengenal keadaan fizikal dan lebih datang dari hati," kongsinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >