Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: IKON MASYARAKAT

Pejuang seni visual SG ingin 'SeniKita' semai inspirasi kreatif

Kurator nanti usulan dan penyertaan bagi pameran hujung tahun di samping galak budaya beli kerja seni
Sep 18, 2021 | 05:30 AM



RINTIHAN anak seni yang mencari ruang berkarya dan mengetengahkan idea kreatif demi mencetus inspirasi buat satu sama lain didengari tiga sekawan ini.



Menerusi badan tidak mengaut untung, Kamal Arts Ltd, penggiat seni visual mapan, Encik Kamal Dollah, Encik Ahmad Abu Bakar dan Encik Suhaimi Sukiyar, ingin melihat semarak seni tercipta melalui satu pameran SeniKita 2021.



Mereka yang juga pendidik dan pejuang seni merupakan anggota Jawatankuasa Kuratorial SeniKita 2021.



Satu panggilan terbuka dalam talian bagi usulan karya seni yang ingin dijana buat pameran dan jualan dibuat sejak semalam hingga 12 November ini.



Pameran anjuran bersama Kamal Arts Ltd dan Wisma Geylang Serai (WGS) dengan kerjasama Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu dijadualkan berlangsung di balai seni Kamal Arts Gallery@WGS antara 11 Disember tahun ini dengan 2 Januari 2022.



Ini merupakan kali kedua SeniKita 2021 diadakan dalam usaha memaparkan hasil karya seniman dalam masyarakat Melayu.



Ia juga mewujudkan peluang bagi golongan penggiat seni visual berinteraksi di samping mencetus inspirasi buat satu sama lain tanpa mengira usia atau genre amalan seni.



Sebagai ganjaran, Anugerah Seniman Muda serta Anugerah Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Kedua Terbaik Keseluruhan, akan disampaikan kepada penggiat seni cemerlang.



Tahun lalu, Anugerah Seniman Muda diraih Encik Khairul Faizin Abdul Rahim manakala Anugerah Terbaik Keseluruhan dimenangi Encik Jeffrey Wandly manakala Anugerah Kedua Terbaik Keseluruhan jatuh pada T:zi.



Ketika dihubungi, pengasas Kamal Arts Ltd, Encik Kamal, 53 tahun, berkata:



"Kami ingin kekalkan budaya memasyarakatkan seni agar tiada kejanggalan dalam diri penggiat seni visual, baik mapan atau yang baru berputik agar saling mengenali.



"Persada seni visual kita berubah mengikut masa dan keperluan. Ada pelukis yang tenggelam timbul. Ada baru dan ada lama.



"SeniKita diharap menjadi mangkin membina satu rangkaian kemasyarakatan yang terjalin utuh."



Menurutnya, pameran itu tidak tertakluk pada tema khusus dengan peserta bebas berkarya.



"Mereka hanya perlu perhatikan bahawa pameran ini adalah acara yang diadakan di ruang bersama segenap lapisan masyarakat.



"Justeru, kami mengharapkan mutu kerja seni yang matang dan baik serta dapat mencetus inspirasi dan mendidik umum. " tambahnya.



Peserta pameran juga dinasihati agar peka dan bertimbang rasa terhadap keperluan orang awam dalam mencorak kerja seni mereka.



Sebuah katalog yang memaparkan karya seni mereka yang terpilih serta keterangan peribadi akan diterbitkan dan diarkib dalam talian Kamal Arts Ltd.



SeniKita 2021 juga satu usaha mencungkil bakat seni baru dari institusi seni seperti Maktab Seni Lasalle, Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) serta kursus seni kendalian politeknik.



Encik Suhaimi, 49 tahun, menarik perhatian bahawa sebelum ini, Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) adalah yang aktif menganjurkan pameran seni.



Kemudian, wujud pelbagai koleksi seni yang turut merancakkan arena seni visual di sini. Justeru, SeniKita adalah satu kesinambungan yang diharap dapat lebih memeriahkan dunia seni visual setempat.



"Kriteria yang kami letakkan sebagai pemilihan karya buat pameran ini adalah bebas. Kami ingin beri peluang pada semua mencuba dan memasarkan karya mereka.



"Asal sahaja mutu dijaga, kepekaan pada tuntutan masyarakat majmuk dipelihara dan wujud kematangan pengkarya, ia mampu diterima," kongsinya.



Menurut Kamal pula, tiga kerja yang dianggap tidak matang ditolak dalam edisi sulung SeniKita tahun lalu.



"Kami ingin ketengahkan karya tulen lagi unik daripada ilham pelukis tetapi usahlah paparkannya secara asas tanpa ada kematangan.



"Daripada pengamatan kerja seni yang diusulkan tahun lalu, kami lihat kepelbagaian medium dan tema.



"Yang penting, kerja seni yang dipaparkan berwarna-warni dan tidak menyinggung perasaan umum.



"Melalui pameran ini, kita dapat mengenal pasti tukikan kerja seni setiap peserta.



"Mungkin si A suka melukis seni bina rumah. Kemudian si B pula gemarkan paparan lukisan abstrak," tambahnya.



Encik Ahmad, 57 tahun, yang dikenali kerana seni pemasangannya pula berharap setiap peserta akan meraih keseronokan daripada menyiapkan kerja seni bagi SeniKita 2021.



"Pameran ini kelak akan mempunyai tetamu terhormat yang akan meninjau kerja seni. Lantaran itu, kerja seni yang ada mutu dengan kewibawaan peserta itu perlu," jelasnya.



Selain itu, SeniKita 2021 juga wadah yang menggalak penjualan kerja seni memandangkan semua karya yang dipamerkan dibuka bagi jualan buat pembeli yang berminat.



Kata Encik Kamal:



"Mungkin belum lagi menjadi budaya bagi masyarakat Melayu membeli kerja seni. Kalau tiada pelukis, tiadalah pembeli. Kalau tiada pembeli, tiadalah pembikin karya ini.



"Demi menyemarakkan dunia seni visual setempat dengan sokongan bertali arus, kita harus galakkan kerja seni pelukis kita dijual."



Encik Suhaimi pula menambah:



"Sebagai kurator, kami tidak mahu pameran SeniKita ini diibaratkan seperti pasar malam di mana anda boleh borong barang seni.



"Ada tahap mutu tertentu untuk dicapai. Kerja seni itu harus dihargai pembeli dan bernilai buat mereka."



Penyertaan $50 dikenakan buat peserta.



E-mel gallery@kamaldollah.com atau lungsuri laman beralamat www.kamaldollah.com/art-gallery bagi keterangan lanjut mengenai SeniKita 2021.




"Mungkin belum lagi menjadi budaya bagi masyarakat Melayu membeli kerja seni. Kalau tiada pelukis, tiadalah pembeli. Kalau tiada pembeli, tiadalah pembikin karya ini.

"Demi menyemarakkan dunia seni visual setempat dengan sokongan bertali arus, kita harus galakkan kerja seni pelukis kita dijual."

- Penggiat seni visual mapan, Encik Kamal Dollah, yang juga pengasas Kamal Arts Ltd.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >