Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

MASJID DARUL MAKMUR

Pelajari ilmu agama dengan tepat, sempurna menerusi buku agama

Jan 28, 2022 | 05:30 AM



MENDENGAR kuliah agama sahaja atau membaca tulisan ringkas berkenaan agama melalui laman media sosial, seperti di Facebook atau Instagram, sahaja tidak mencukupi jika kita mahu mempelajari ilmu agama dengan sempurna dan tepat.



Lantaran itu, mantan Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram, juga penulis buku 'Saat Cakerawala Bersujud', menggalakkan masyarakat Islam setempat agar mengamalkan sifat membaca buku agama.



Menurut Dr Fatris, membaca itu memerlukan penelitian dan kesabaran sebab kandungan ilmu yang terdapat dalam sebuah buku, terutamanya jika berkaitan dengan agama mestilah yang dapat memberi panduan.



Walhal, kita tidak boleh cedok sumber agama daripada wadah seperti media sosial semata-mata, yang akhirnya boleh membuat kita bercelaru dalam pegangan hidup kita.



Sebagai contoh, beliau menjelaskan bahawa maklumat berkenaan agama yang ditulis di wadah seperti Facebook atau Instagram adalah buat bacaan ringkas.



Beliau sendiri kadangkala turut menyampaikan maklumat berkenaan agama di laman Facebook beliau tetapi tulisannya pendek dan bersifat santai berbaur gurauan.



"Namun, pada saya, maklumat dan ilmu agama hanya dapat digarap dengan baik dan diberi gambaran komprehensif melalui pembacaan buku agama yang serius agar pengamalan agama kita itu sempurna dan tepat.



"Apabila kita membaca, kita akan memberi tumpuan, perhatian dan fokus. Kemudian, kita perlu membaca berulang kali supaya jelas pemikiran yang hendak disampaikan melalui pembacaan buku itu.



"Jadi, pada saya, media sosial sekarang belum lagi berperanan atau belum lagi mampu menjadi alternatif untuk menjadi bahan bacaan yang benar. Buku agama tetap satu sumber ilmu agama yang penting pada masyarakat Islam," kata Dr Fatris.



Dalam pada itu, Dr Fatris turut menggalakkan guru agama yang menyampaikan dakwah agar berjinak-jinak menulis buku.



Mengulas tentang saranan beliau yang menyarankan guru agama untuk menulis, Dr Fatris berkata:



"Ini kerana menulis berupaya memperkaya proses pemikiran kita. Menulis tidak sama dengan persiapan kita apabila kita buat penyampaian kuliah secara lisan. Kita boleh bicara dengan 'berbunga' semasa menyampaikan kuliah tetapi apabila menulis, isi kandungan tulisan kita mesti padat dengan maklumat atau pengajaran.



"Jadi, menulis boleh membangun ketajaman pemikiran dan membolehkan kita mendalami sesuatu isu."



Dr Fatris telah menghasilkan empat tajuk buku. Selain buku 'Saat Cakerawala Bersujud', beliau telah menulis buku berjudul Secubit Puasa Secukup Rasa, Coret-Coret Hikmah 1 dan Coret-Coret Hikmah 2.



Buku "Saat Cakerawala Bersujud' berdasarkan kuliah tafsir Surah Yusuf yang pernah disampaikan oleh Dr Fatris di Masjid Darul Makmur. Isi kandungan utama buku ini memaparkan kisah Nabi Yusuf serta huraian isu-isu berkaitan dengan kisah Nabi Yusuf.



Antara isu yang dihuraikan di dalam buku ini adalah bagaimana kita menguruskan minda, menguruskan konflik keluarga atau menguruskan ujian dan fitnah.



Dr Fatris menerapkan ciri-ciri karya sastera dan sentuhan novel yang mempunyai penceritaan dalam buku agama ini agar pembaca berasa seronok membacanya.



Dr Fatris telah menulis buku ini dengan tujuan untuk membantu mengumpulkan dana bagi projek peningkatan dan baik pulih Masjid Darul Makmur dan mengharapkan agar masyarakat Islam dapat memberi sokongan dengan membeli buku ini.



Sebanyak 7,000 buku telah dicetak dan anggaran 5,000 buku telah dijual buat masa ini sejak buku ini dilancarkan pada April 2021.



Ada lagi baki 2,000 buku yang masih perlu dijual dan Dr Fatris bersama pihak Masjid Darul Makmur menyasarkan agar kesemua buku ini habis dijual sebelum Ramadan iaitu April tahun ini.



Bagi Dr Fatris, Masjid Darul Makmur memang dekat di hatinya kerana di situlah tempat beliau meluangkan banyak masanya selepas pulang dari sekolah menengah untuk mengulang kaji pelajaran dan menimba ilmu selepas beliau berpindah ke kawasan Yishun pada 1987.



Pada 1987, Masjid Darul Makmur juga baru siap dibangunkan.



Kata Dr Fatris: "Saya dibesarkan di kampung Pasir Panjang. Di kampung itulah, saya melalui alam kanak-kanak saya dan sepanjang saya hidup di kampung itu, saya dekat dengan masjid, di mana saya belajar Al-Quran dan bermain dengan kawan-kawan.



"Tetapi, apabila kampung Pasir Panjang terpaksa dilepaskan untuk memberi laluan kepada pembangunan, saya sekeluarga berpindah ke rumah flat HDB Yishun milik abang saya.



"Jadi, apabila berpindah ke Yishun, Masjid Darul Makmur itulah tempat saya melepaskan rindu kepada suasana kampung dan membantu mengisi kekosongan setelah tiba-tiba saya bertukar dari dunia kampung ke dunia flat."



Justeru, Dr Fatris akur, sudah tiba masanya Masjid Darul Makmur yang berusia 34 tahun itu menjalani kerja-kerja peningkatan agar ia dapat menerima lebih ramai lagi jemaah dan juga memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah.



Menurut pihak masjid, antara prasarana masjid yang bakal menjalani kerja-kerja peningkatan adalah mengadakan ruang yang lebih luas dan auditorium yang lebih selesa supaya dapat dimanfaatkan semua jemaah, terutama sekali kepada golongan dewasa dan pelajar madrasah yang menghadiri kelas pengajian di masjid ini.



Antara fokus utama sewaktu peningkatan ini ialah untuk menambah ruang dewan solat bagi keselesaan jemaah, membina dewan serbaguna dan auditorium yang dapat menampung lebih ramai peserta apabila masjid menganjurkan acara dan program.



Bilik-bilik darjah untuk kegunaan madrasah aLIVE di Masjid Darul Makmur juga akan ditambah sehingga 12 buah bilik daripada hanya tujuh bilik sekarang. Ini akan dapat menampung lebih ramai pelajar madrasah mingguan yang kian meningkat.



Selain itu, Masjid Darul Makmur yang menawarkan kelas tadika masjid juga mempunyai rancangan untuk mempertingkat kurikulum kelas tadika selepas kerja-kerja peningkatan masjid nanti.



Bagi mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, Ustaz Fatris telah mengadakan program ceramah bertajuk Bicara Santai "Saat Cakerawala Bersujud" di dalam talian.



Penonton boleh mengikuti program ini melalui laman Facebook Ma:een pada setiap minggu kedua dan keempat Ahad, dari Januari hingga sebelum Ramadan ini.



Menerusi program ini, Dr Fatris bertujuan memberi penghuraian lebih lanjut tentang kandungan buku itu di samping merancakkan lagi penjualan buku ini.



Masjid Darul Makmur juga bakal menganjurkan sesi tanda tangan buku untuk penderma di beberapa masjid setempat.



Pada 22 Januari lalu, Dr Fatris telah berpeluang menemui penderma di Sesi Tandatangan Buku Amal - "Saat Cakerawala Bersujud", di Masjid Al Mukminin di Jurong East, di mana jemaah berpeluang mendapat tandatangan istimewa dan bergambar bersamanya.



BUKU ‘SAAT CAKERAWALA BERSUJUD’



Setiap buku “Saat Cakerawala Bersujud” berharga $50. Masjid Darul Makmur turut menawarkan pakej eksklusif 10  buku bernilai $500 setiap pakej dan buku-buku ini akan  dihantar ke rumah penderma oleh Dr Fatris sendiri.



Sejauh ini, Dr Fatris telah menghantar bukunya kepada  lebih dari 70 rumah sebagai tanda penghargaan beliau  kepada penderma atas sokongan dana peningkatan Masjid  Darul Makmur.



CARA MENYUMBANG



Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Masjid Darul Makmur, sila layari laman:  



– campaigns.darulmakmur.sg, PayNow UEN:S87MQ0033J  atau melalui cek ke atas nama: ‘MASJID DARUL MAKMUR’  dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2,  Singapura 769099.



– Untuk sebarang pertanyaan mengenai cara untuk  menderma, boleh hubungi pihak masjid di talian 6752-1402  pada waktu pejabat.

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >