Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Penerbit selami kisah cinta individu Sindrom Down

Mar 03, 2021 | 05:30 AM



PASANG surut emosi ibu yang cacat pendengaran dalam memahami isi hati anaknya yang lebih mesra dengan pembantu rumah pernah mereka teroka dalam drama khas Hari Ibu, Mamaku Bibikku.



Kini, satu lagi peluang keemasan menjelajah minda dan kisah individu dengan Sindrom Down pula dikecapi penerbit dan peneraju bersama syarikat penerbitan Poetry In Motion, Cik Nusaibah Abdul Rahim dan Encik Safiyuddin Razif.



Mereka telah selesai menghasilkan filem buat aplikasi Viddsee, Not Your Ordinary Love Story, yang akan ke udara pada 9 Mac ini.



Ia ditayangkan sempena Hari Sindrom Down Sedunia yang disambut pada 21 Mac.



Not Your Ordinary Love Story yang dibintangi dua bakat dengan Sindrom Down, Timothy Lee, 21 tahun, dan Clare Elizabeth Goh, 19 tahun, mengisahkan tentang dua individu dengan kondisi ini yang mula mengenali erti cinta dan berdikari.



Ini adalah kali pertama mereka menunjukkan bantahan terhadap 'dunia', ibu bapa dan masyarakat.



"Penonton akan diajak menyelongkar kisah cinta yang tergambar daripada tatapan mata pasangan ini.



"Yang lelaki dibesarkan oleh ibu yang ingin melindungi anaknya serta mengawal dan mengawasi segalanya manakala yang perempuan pula mempunyai ibu yang mahu anaknya bebas mencuba dan meneroka seperti orang lain.



"Kita dapat lihat bagaimana mereka berfikir, menunjukkan reaksi dan bergelut dalam dunia 'biasa' orang lain.



"Pada akhirnya, mereka juga ingin rasa, lakukan dan perjuangkan perkara yang sama seperti orang lain," jelas Cik Nusaibah, 38 tahun.



Pengalaman menerbitkan filem ini amat membuka mata buat Poetry In Motion yang dikenali kerana banyak menghasilkan drama yang memancing emosi penonton.



Selain Mamaku Bibikku, mereka juga penerbit bagi kisah kasih sayang bapa tiri yang tiada tolok bandingnya, Papi, drama cinta berlatarbelakangkan perang Bosnia, Hilang Kasih Di Sarajevo dan drama kanak-kanak, Kelab Prefect.



Bagi Pesta Perdana 2021 yang akan berlangsung Jumaat ini, mereka menerima 18 pencalonan bagi kesemua drama yang diterbitkan sepanjang tempoh dua tahun.



Mengulas tentang Not Your Ordinary Love Story, Encik Safiyuddin, 37 tahun, berkata:



"Ilham bagi filem ini diperolehi hasil melihat seorang kenalan yang mempunyai Sindrom Down.



"Kami tidak rapat dan saya segan bertanya tentang keadaannya. Namun, di fikiran saya, sentiasa terfikirkan beberapa isu tentang mereka yang mengalami Sindrom Down.



"Saya cuba memahami individu sebegini, naluri dan pemikiran mereka. Maka, terhasillah kisah cinta ini."



Cik Nusaibah menjelaskan mereka bersyukur menemui dua bakat dengan Sindrom Down, Timothy dan Clare yang dapat diajak bekerjasama dalam projek ini.



"Timothy sudah mempunyai pengalaman berlakon dalam drama bersiri Kin. Beliau yang memberi keyakinan dan sokongan buat Clare serta memulakan langkah pertama membina keserasian antara mereka bagi filem ini.



"Maklumlah, golongan Sindrom Down makan masa selesa dengan orang yang tidak dikenali. Lama-kelamaan, saya lihat mereka senang berbual dan berbincang, malahan di luar set pun ada sahaja perkara nak diperbualkan," jelasnya.



Encik Safiyuddin menambah filem ini memberi gambaran bahawa individu Sindrom Down seperti orang lain juga mempunyai naluri ingin bercinta dan berumah tangga.



Mereka juga melalui pasang surut emosi seperti orang lain juga tetapi hasrat menemui bahagia ini selalu terhalang oleh stigma dan tanggapan peribadi orang sekeliling.



"Saya tak tahu sejauh mana saya mampu bersabar sehinggalah saya bekerjasama dengan golongan istimewa ini.



"Satu babak yang sepatutnya makan masa dua jam boleh jadi tiga jam. Babak mudah yang boleh beres 10 minit boleh jadi sejam.



"Kami sebagai penerbit dan kru nak marah pun tak sampai hati. Kalau bakat biasa, gerenti kita dah mengamuk kerana penggambaran perlu diulang-ulang.



"Tapi apabila mereka melakukannya, nampak comel sahaja. Kita tak jadi nak marah dan mampu bersabar, sesuatu yang baik dengan ingatan kami harus faham kondisi, kemahiran dan jerih payah mereka.



"Mudah-mudahan, kesabaran ini dapat diperluaskan bagi penerbitan kami yang lain. Saya belajar bersabar dengan diri saya sendiri," ujar Encik Safiyuddin.



Cik Nusaibah pula menambah:



"Kami tahu mereka berusaha dan bekerja keras memperbaiki lakonan mereka. Dapat lihat daripada raut wajah mereka yang mereka ingin mencuba.



"Pada akhirnya, kami belajar untuk tidak menilai sesiapa sahaja termasuk golongan istimewa. Rindu juga selepas tiga hari menjalani penggambaran bersama mereka."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >