Subuh
5:40
Syuruk
7:03
Zuhur
1:10
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30

Pengarah Mahfuz teruja kupas lapisan emosi rumit kaum bapa

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Pengarah Mahfuz teruja kupas lapisan emosi rumit kaum bapa

Jun 17, 2021 | 05:30 AM

SUKAR dikupas apakah yang ada di benak dan jiwa seorang ayah yang kerap kali lebih banyak berdiam dan menyimpan segalanya di lubuk hati.

Justeru, perlu ada usaha meninjau apa yang tersimpan di sanubarinya menerusi kerja seni seperti telefilem Hari Bapa.

Inilah yang menjadi antara dorongan mengapa pengarah Muhammad Mahfuz Mazlan, 46 tahun, gemar menghasilkan telefilem khas Hari Bapa.

Jika tahun lalu beliau mengarah dan menulis skrip Papi, kali ini beliau diberi amanah mengarah Papa Pilot, yang akan disiarkan di saluran Suria dan meWATCH pada 9 malam esok.

Penulis skrip Papa Pilot ialah Adib Kosnan. Konsep dijana Adib dan Daphne Koh.

Ikuti wawancara bersama Mahfuz yang juga insan kreatif di sebalik penghasilan telefilem dan kemudian drama bersiri tentang kebapaan, Baba Papa.

Soalan (S): Boleh jelaskan lebih lanjut tentang 'Papa Pilot'?

Mahfuz (M): Kami enggan telefilem Hari Bapa kali ini terlalu serius atau terlalu sedih bentuk penceritaannya. Sebab orang ramai dah terlalu stres dengan Covid-19.

Maka, kami menyisipkan humor dalam telefilem ini agar penonton pun santai menyaksikannya. Tak nak orang kata, 'Kita dahlah tertekan hilang kerja... jalan cerita pun bebankan fikiran...'

Memang telefilem ini bermula dengan isu serius yang besar iaitu Ashraf yang kehilangan pekerjaan sebagai juruterbang sewaktu wabak Covid-19.

Kami bertanya dengan beberapa juruterbang sebenar serta menonton video atau membaca tentang kesan Covid-19 pada kehidupan juruterbang.

Ada yang sudah biasa dengan gaji besar, rumah besar dan kereta mewah. Ada peribahasa mengatakan 'besar periuk, besarlah keraknya'. Besar pendapatan, besar juga perbelanjaannya. Jadi, bagaimana golongan sebegini dapat mempertahan gaya hidup mereka dalam ingin berikan yang terbaik buat isteri dan anak-anak?

Apa yang dilakukan bagi merendahkan skala perbelanjaan dan cara kehidupan?

Ashraf menyembunyikan tugas barunya sebagai duta jarak selamat kerana enggan anak-anak rasa kegenjotannya. Dia juga malu pada isterinya, Hariani.

S: Apa yang Mahfuz harap penonton dapat pelajari daripada telefilem ini?

M: Semangat tidak menyerah kalah dan cari jalan penyelesaian serta berani membuat penyesuaian hidup, baik dari segi perbelanjaan atau pemakanan harian.

Ada tempoh sebenar dengan barangan pasar raya habis dibeli golongan yang panik hingga sayuran yang tinggal hanya peria.

Dalam satu babak lucu, dua anak Ashraf terpaksa makan peria goreng yang pahit. Dua pelakon kecil, Bella dan Nadim, pun memang tak tahu makan peria tetapi terpaksa menelannya.

Pada hari itu, bagi memudahkan mereka makan, saya belanja cendol Pasar Geylang! Jadi lepas paksa diri makan peria yang tak tertelan, mereka minum cendol yang manis sebagai ganjaran!

S: Jelaskan sikap Mahfuz sebagai seorang ayah kepada anak kecil anda, Muaz.

M: Saya suka bermain dengannya dan bergurau dengannya tetapi saya juga akan tegas apabila diperlukan. Dia anak yang sensitif. Tukar sedikit tonasi suara, dia akan terasa.

Baru tadi isteri saya suruh dia belajar tetapi dia gunting kertas pula. Apabila saya beritahu, 'Jangan buat macam tu... dengar cakap ibu...', dia diam. Tapi nanti, dia akan perhatikan saya dari jauh, apakah saya masih marah padanya.

Bagi sejukkan hatinya, saya akan jelaskan mengapa saya marah tadi. Lelaki sebenarnya kompleks, lebih sulit difahami daripada wanita. Ada banyak lapisan emosi yang kerap kali dipendam.

Saya sebagai ayah ingin jadi yang lebih mudah berhubung dengan anak dengan meluahkan isi hati. Komunikasi penting kerana kurangnya luahan rasa dengan isteri atau anak, banyak masalah hati bengkak dan perselisihan faham akan timbul.

Saya juga ingin Muaz kelak selesa dengan perasaannya sendiri dan meluahkannya agar mudah difahami dan memahami orang lain juga.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3