Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Perluas peranan sosial, hulur bantuan kepada masyarakat

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

MASJID ASSYAFAAH

Perluas peranan sosial, hulur bantuan kepada masyarakat

Dec 25, 2020 | 05:30 AM

MASJID bukan sahaja tempat untuk beribadah, tetapi ia menjadi tempat untuk aktiviti bersosial yang lebih terpandu.

Oleh itu, pelbagai aktiviti keagamaan dan acara kemasyarakatan telah dianjurkan untuk menarik orang ramai berkunjung ke Masjid Assyafaah sejak 15 tahun yang lalu.

Pegawai Penjangkauan Komuniti Masjid Assyafaah, Cik Taibah Ismail, menerangkan:

"Antara acara tahunan yang melibatkan masyarakat dapat dilihat ketika bulan Ramadan.

"Kedatangan masyarakat bukan sahaja untuk beribadah, tetapi mereka ingin berkhidmat sebagai sukarelawan dengan membantu membungkus bubur, menyediakan juadah berbuka, membersihkan masjid dan lain-lain."

Karnival keluarga iaitu 'Fiesta Assyafaah' juga disediakan untuk setiap lapisan masyarakat pada setiap tahun.

Program ini merangkumi aktiviti senaman beramai-ramai, sukaneka untuk pelajar dan ibu bapa, kelas memasak untuk ibu-ibu, ceramah dari agensi kesihatan, dan syarahan perdana oleh tokoh-tokoh Islam mapan.

Pihak masjid menyewakan gerai-gerai untuk memberi peluang kepada masyarakat mencari pendapatan tambahan.

Bagaimanapun, segala acara tersebut tidak dapat direalisasikan seperti dahulu akibat situasi Covid-19 yang mencabar ini.

"Secara umumnya, Masjid Assyafaah ini ingin menjangkau dan memperluas peranan dalam menghulurkan khidmat dan bantuan kepada masyarakat.

"Sealiran dengan visi yang pernah dibincangkan dalam Konvensyen Masjid 2018, kami mengorak langkah dengan lebih dinamik demi perkhidmatan yang lebih efisien di luar masjid.

"Berpandukan dengan visi tersebut, maka lahirlah beberapa inisiatif baru," kata Cik Taibah.

Inisiatif pertama ialah Mobile Quranic Clinic (MQC) atau 'Mengaji Bawah Blok'.

Pada awalnya, pihak masjid hanya memulakan di kolong Blok 512 Wellington Circle.

Selepas beberapa bulan, pihaknya mendapat maklum balas positif dari penduduk-penduduk Sembawang dan mengambil keputusan untuk membuka sebuah lagi cawangan di Blok 462 Sembawang Drive.

"Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan sehingga mempunyai 50 peserta dalam program ini, termasuk kanak-kanak, ibu-ibu dan segelintir warga emas.

"Pada waktu pandemik ini, kami masih meneruskan program tersebut melalui dalam talian. Insya-Allah, selepas semuanya kembali pulih, kami akan membuka dua lagi cawangan di estet-estet yang berdekatan," tambah Cik Taibah lagi:

Menurutnya, dengan kerjasama masjid, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Jawatankuasa Penduduk (RC)dan ketua-ketua qaryah, masjid telah menganjurkan syarahan di qaryah-qaryah daerah Sembawang.

Masjid turut menyediakan khidmat Program Pembelajaran Islam dari Rumah (HBIL) kepada penerima zakat, ujar Cik Taibah.

Selain itu, pegawai dakwah masjid juga membawa pengajaran Islam ke ACACIA Home, sebuah rumah tumpangan, pada setiap minggu.

Pegawai Pembangunan Belia (YDO) masjid pula akan ke Pusat Pemulihan Masyarakat (CRC) untuk bertemu dengan pesalah kali pertama dalam kalangan belia dan menganjurkan sesi perkongsian, pendidikan moral dan agama pada setiap minggu.

Menurut Cik Taibah, dalam sesi ini, mereka diberi peluang untuk bergilir-gilir menjadi imam atau bilal ketika solat berjemaah.

Dalam program #bilanakgame dengan kerjasama One Heart Brothers, pihaknya melawat rumah-rumah di sekitar Sembawang dan membuat tinjauan.

Fokus utama dalam program ini adalah untuk membantu keluarga-keluarga, di mana salah satu daripada ahli keluarga mereka dipenjarakan.

"Kami telah membantu sekitar 23 buah keluarga dan 50 peratus yang berkelayakan mendapat bantuan tambahan melalui skim bantuan zakat Muis," kata Cik Taibah.

Masjid Assyafaah juga semakin rancak menyertai program-program bersama badan kebajikan dan kemasyarakatan.

Menurutnya, tahun lalu, para peserta Program Keluarga Syifa' telah dijemput melakukan satu persembahan dalam 'Tribute to Seniors' yang dianjurkan oleh Blossom Seeds.

Persembahan "Chair Yoga" diterajui oleh para sukarelawan masjid.

Dengan kerjasama yang erat bersama Blossom Seeds, pihak masjid menganjurkan sebuah acara yang diberi nama "Ramadan Drive".

"Kami turut mengagih barangan runcit dan makanan beku kepada lebih 200 orang warga emas dan mereka yang memerlukan.

"Tanpa sokongan dari Blossom Seeds dan Masjid Ahmad Ibrahim, mungkin perkara ini tidak dapat direalisasikan,'' kata Cik Taibah.

Mereka juga bekerjasama dengan Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP) demi membantu penduduk Melayu/Islam di kawasan utara Singapura.

"Kami sentiasa mengalu-alukan sumbangan tenaga anda sebagai sukarelawan dan pendamping masyarakat.

"Dengan sokongan badan kemasyarakatan dan kebajikan, kami mampu memperluas lagi perkhidmatan kami. Semoga masyarakat dapat meraih segala manfaat yang ada dengan sepenuhnya," kata Cik Taibah lagi.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3