Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MASJID AL-AMIN

Projek peningkatan akan dijalankan akhir tahun

Oct 28, 2022 | 07:39 AM



INSTITUSI masjid memainkan peranan penting dalam perkembangan ummah.



Ia bukan sekadar tempat ibadah umat Islam, malah masjid menjalankan fungsinya sebagai satu pusat kegiatan ilmu dan kemasyarakatan yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.



Ketua Unit Pembelajaran Islam Masjid Al-Amin, Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan berkata, masjid merupakan nadi penyatuan yang berperanan untuk meningkatkan kesejahteraan, menyatukan perbezaan dan mempertaut hati umat Islam.



Masjid juga dikatakan sebagai instrumen penyatuan pertama yang dipelopori oleh Nabi Muhammad saw dalam sejarah kemanusiaan.



"Jika diperhatikan sepanjang sejarah, platform perhimpunan seperti masjid belum pernah ditemukan sebelum kehadiran Baginda saw.



"Rasulullah saw bukan sahaja menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, tetapi Baginda saw meluaskan peranan masjid sebagai tempat menghubungkan talian persaudaraan daripada pelbagai latar belakang masyarakat Muslim dan juga dengan yang bukan Muslim," terang Ustaz Muhammad Syafiee.



KEMULIAAN ORANG YANG MEMAKMURKAN MASJID



Tambah Ustaz Syafiee lagi, masjid bukan sahaja menjadi tempat yang dicintai Allah swt dan rasulnya, bahkan orang-orang yang meluangkan masanya untuk beribadah di dalam masjid juga adalah orang yang dicintai Allah swt.



Masyarakat Islam boleh kembali mempelajari kisah riwayat seorang wanita berkulit hitam yang bekerja sebagai tukang sapu di Masjid Nabawi.



Beliau yang bernama Ummu Mihjan ditugaskan untuk membersih kawasan masjid secara harian.



Pada suatu hari, ditakdirkan beliau meninggal dunia. Maka, Rasulullah saw tertanya-tanya tentang ketiadaan beliau di kawasan masjid.



Akhirnya, Rasulullah saw tiba di kubur beliau sambil berdoa:



"Sesungguhnya kubur ini gelap buat ahlinya, dan sesungguhnya Allah akan melimpahkan cahaya buat mereka melalui doaku kepada mereka." - (Hadis Riwayat Muslim).



Mengambil pengajaran kisah ini, ternyata orang yang memakmurkan rumah Allah swt sangat dihormati, malah ditinggikan darjatnya di sisi Allah swt dan Baginda saw.



MENYATUKAN ANTARA KAYA DENGAN MISKIN



Menurut Ustaz Syafiee, masjid juga dapat dijadikan sebagai platform yang menghubungkan golongan kaya dengan orang miskin.



Sambil menceritakan sirah Nabi, Ustaz Syafiee berkata:



"Ketika Baginda saw sedang berkhutbah pada hari Jumaat, muncul seorang lelaki dalam keadaan yang serba kekurangan.



"Lelaki tersebut telah diminta oleh Rasulullah saw untuk menunaikan solat dua rakaat di barisan hadapan bersama para sahabat.



"Pada Jumaat kedua, lelaki itu sekali lagi diminta oleh Baginda saw untuk menunaikan solat sunat dua rakaat di barisan hadapan.



"Begitu juga dengan Jumaat ketiga, Baginda masih meminta orang yang sama untuk solat di barisan hadapan seperti minggu-minggu yang sebelumnya.



"Bagaimanapun, Baginda saw melihat tiada siapa yang menghulurkan bantuan kepada lelaki tersebut.



"Lalu, Baginda saw bersabda: 'Wahai para sahabatku, bersedekahlah.' Maka para sahabat pun bersedekah.



"Selepas itu, Rasulullah saw mengambil sedekah para sahabat itu untuk diberikan kepada lelaki yang miskin tersebut.



"Rasulullah saw turut menghadiahkan dua helai baju kepada lelaki itu kerana Baginda saw mendapati lelaki itu telah memakai pakaian yang lusuh pada ketiga-ketiga Jumaat.



"Kemudian, Baginda saw bertanya, 'apakah kalian tidak melihat lelaki ini yang berpakaian tidak cantik. Aku sengaja menyuruh beliau solat di hadapan kalian supaya kalian dapat melihat kekurangan beliau dan membantunya."



Begitu hebatnya langkah Baginda saw untuk mewujudkan suasana dan budaya saling membantu antara satu sama lain di dalam masjid, serta mengukuhkan sikap kepedulian antara satu golongan dengan golongan yang lain.



BERSAMA BANGUNKAN MASJID AL-AMIN



Dalam usaha membentuk masjid sebagai pusat penyatuan ummah, Masjid Al-Amin turut mengajak masyarakat Islam untuk menyokong projek peningkatan yang akan berlangsung pada akhir tahun ini.



"Dengan penuh rendah hati, saya ingin mengajak seluruh masyarakat Islam Singapura untuk terus menyokong masjid-masjid yang ada di Singapura.



"Rebut peluang untuk melakukan amalan jariah dengan mengikuti program-program dakwah serta menyumbang kepada Dana Peningkatan Masjid Al-Amin.



"Semoga dengan sumbangan yang dilakukan, Allah swt akan menerima amalan dan mengurniakan rezeki kesihatan, umur, dan kebahagiaan dunia akhirat.



"Sokongan daripada masyarakat Islam sangat penting kerana ia akan memberi manfaat kepada generasi akan datang, di samping membantu kita untuk mendapatkan saham akhirat yang berterusan," tambah Ustaz Syafiee.




INFO



Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Masjid Al-Amin di talian 6272-5309. Masjid Al-Amin terletak di 50 Telok Blangah Way, Singapura 098801.




''Dengan penuh rendah hati, saya ingin mengajak seluruh masyarakat Islam Singapura untuk terus menyokong masjid-masjid yang ada di Singapura. Rebut peluang untuk melakukan amalan jariah dengan mengikuti program-program dakwah serta menyumbang kepada Dana Peningkatan Masjid Al-Amin. Semoga dengan sumbangan yang dilakukan, Allah swt akan menerima amalan dan mengurniakan rezeki kesihatan, umur, dan kebahagiaan dunia akhirat.''
- Ustaz Muhammad Syafiee Mohamed Hassan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >