Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

MENANGANI KRISIS DAN KEMELESETAN

Reka semula kerja: Huraian bagi tarik pekerja tempatan dalam F&B?

Oct 14, 2020 | 05:30 AM



SUDAH sebulan, pemilik kafe Royz Et Vous, Cik Widyanty Mohd Yusope, cuba mencari tukang masak dan pekerja cuci pinggan warga Singapura tetapi tidak berjaya.



Meskipun meletakkan iklan meminta pekerja Singapura, beliau mendapati pekerja asinglah yang menunjukkan minat bekerja di kafenya itu.



"Kadangkala saya tertanya mana pergi orang-orang yang diberhentikan kerja di sini. Mengapa sukar sangat saya mendapat pekerja tempatan? Yang datang minta kerja ialah orang Filipina dan Malaysia walaupun kita sudah pasarkan di media sosial,'' kongsi Cik Widyanty, yang mempunyai dua kafe di Telok Ayer Street dan Sultan Gate.



Cik Widyanty bukan seorang.



Ramai lagi peniaga makanan dan minuman (F&B) yang mendapati sukar menarik pekerja tempatan di tengah-tengah pandemik Covid-19 ini.



Sejak langkah pemutus rantaian dilonggarkan, kebanyakan kafe dan restoran ini mendapati tempahan untuk menjamu selera di kafe atau pun restoran serta tempahan dalam talian meningkat.



Tetapi, mereka mendapati sukar memenuhi keperluan itu kerana kurangnya pekerja tempatan yang tertarik untuk bekerja di F&B.



Dengan sekatan perjalanan yang dilaksana dan kuota pekerja asing yang diperketat, mereka juga terpaksa mengurangkan pekerja asing.



Apatah lagi, ia juga semakin mahal menggajikan pekerja asing.



Pemerintah telah mengumumkan kenaikan gaji kelayakan minimum bagi pemegang Pas Pekerjaan (EP) kepada $4,500, daripada $3,900, untuk semua pemohon baru sejak 1 September. Perubahan itu berkuat kuasa pada Mei tahun depan bagi pemohon yang diperbaharui.



Bagi pemegang Pas S untuk pekerja asing berkemahiran pertengahan, gaji kelayakan minimum dinaikkan kepada $2,500 daripada $2,400, bermula 1 Oktober manakala bagi permohonan diperbaharui, ia bermula Mei tahun depan.



MENGAPA F&B SUKAR DAPATKAN PEKERJA TEMPATAN?



Sering kali pekerja tempatan tidak tertarik bekerja dalam F&B kerana waktu bekerja yang panjang, perlu bekerja pada hujung munggu dan hari cuti umum, serta gaji yang rendah.



Walaupun diberhentikan kerja, mereka mungkin tidak menimbangkan bekerja dalam F&B.



"Daripada bekerja dengan restoran dengan saya perlu bekerja enam hari hingga hari Sabtu dan dibayar $1,400-$1,600, lebih baik saya pandu Grab. Pendapatan pun lebih tinggi,'' kata Encik Aiman Sani, 30 tahun, yang baru diberhentikan bekerja dari sebuah hotel tempatan.



Ramai lagi mereka yang diberhentikan seperti Encik Aiman melihat pekerjaan dalam F&B tidak menarik perhatian mereka sedangkan bilangan pekerja diberhentikan di sini telah meningkat.



Pengasas bersama Kafe Limaa, Cik Zakiah Asmawi, akur jangkaan gaji yang tinggi menyukarkan F&B tempatan menarik pekerja tempatan.



"Apa yang saya dapati, pekerja tempatan mempunyai jangkaan gaji yang tinggi sedangkan mereka baru bekerja dan tidak mempunyai pengalaman, '' kata Cik Zakiah, pemilik kafe di Haji Lane. Beliau mempunyai empat pekerja tetap dan empat pekerja sambilan.



Bagi seorang barista, gaji yang diberikan ialah sekitar $1,600-$1,800 dengan pengalaman setahun tetapi ada yang meminta gaji lebih tinggi melebihi $2,000.



Kebanyakan kafe-kafe ini mendapati sukar memberi gaji yang tinggi disebabkan kos niaga yang tinggi merangkumi kos gaji dan sewa.



Sering kali, pemilik kafe berkongsi tentang sikap sesetengah pekerja tempatan yang kurang senang bekerja lebih.



"Pekerja tempatan juga keberatan bekerja lembur atau hujung minggu. Yang tak kahwin dan tidak berkeluarga juga keberatan. Ia berbeza daripada pekerja asing yang lebih terbuka,'' ujar Cik Zakiah.



Ketua Cef di Royz Et Vous, Encik Faiz Abdul Jamil, akui bekerja dalam F&B tidak mudah jika individu tidak mempunyai minat mendalam.



"Hawa di dapur panas. Setiap hari, tukang masak harus masak yang sedap jika tidak mahu ada aduan pelanggan.



"Sekitaran juga memainkan peranan. Jika bos dan rakan sekerja baik, kita pun seronok bekerja,'' katanya yang sudah enam tahun bekerja di kafe itu.



Untuk menarik pekerja tempatan, beliau berkata pakej gaji mestilah menarik.



"Tukang masak yang baru masuk kerja mungkin dapat $1,700 dan bekerja selama tiga empat tahun untuk belajar selok-beloknya. Ada yang kata lebih baik bawa Grab - dapat $3,000," katanya.



PELUANG PEKERJAAN DALAM BIDANG F&B



Meskipun pandemik Covid-19 telah menjejas pasaran buruh tempatan, sebanyak 5,400 dalam industri khidmat makanan dan perkilangan makanan masih ditawarkan.



Jawatan ini ditawarkan sejak April lalu di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited dan sekitar dua daripada setiap lima pekerjaan atau 2,070 merupakan pekerjaan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), kata MOM baru-baru ini.



Sebanyak 2,070 jawatan PMET ditawarkan termasuk cef, pengurus F&B, pengurus pembangunan perniagaan dan pakar teknologi makanan.



Baki 3,350 pekerjaan lain ditawarkan dalam sektor itu termasuk pekerja membuat roti, kek dan pastri.



Gaji median bagi pekerja seperti barista misalnya ialah sekitar $2,150, manakala gaji seorang pengurus perkilangan makanan ialah $2,850.



REKA SEMULA BAGI JADIKAN PEKERJAAN F&B LEBIH MENARIK?



Pekerjaan kosong dalam F&B ada tetapi tidak ramai pekerja yang mahu bekerja dalam sektor itu.



Jadi, apakah huraiannya?



Bagaimana pekerjaan dalam F&B itu boleh menjadi lebih menarik agar pekerja tempatan tertarik untuk bekerja di sana?



Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) telah memperkenalkan Program Kemahiran Semula Rekaan Semula Pekerjaan bagi Industri Khidmat Makanan bagi meningkatkan kemahiran pekerja dalam sektor itu serta menjadikan ia lebih menarik bagi pekerja tempatan.



Sehingga Ogos lalu, WSG berkata hampir 900 pekerja di 25 syarikat khidmat makanan telah dilatih dan dipindahkan untuk mengambil jawatan baru atau lebih bernilai tinggi hasil program itu.



"Apabila pekerja ini mengambil pekerjaan yang direka semula atau mempunyai nilai kerja lebih tinggi, mereka mendapat kemahiran baru bagi menjalankan peranan baru atau dipertingkatkan itu.



"Kemahiran baru itu membuka pintu peluang yang baru, lantas meningkatkan laluan perkembangan kerjaya mereka,'' kata jurucakap WSG kepada Berita Harian (BH).



Pekerja juga mendapat kepuasan kerja lebih tinggi apabila mereka menjalankan tugas yang mempunyai nilai lebih tinggi.



Banyak kerja manual boleh digantikan dengan menggunakan teknologi, kata jurucakap itu.



"Apabila ekonomi bertambah baik dan peluang perniagaan dan pendapatan meningkat, skop bagi pekerja yang dilatih semula dengan kemahiran baru ini dapat membolehkan mereka mendapat gaji lebih tinggi,'' tambahnya.



Salah sebuah firma yang mengikuti program itu ialah rangkaian restoran PastaMania.



Pengurus Besar Commonwealth Capital Pte Ltd, Cik Lina Shaharan, berkata di bawah program itu, seramai 17 kakitangan yang merupakan cef dan pengurus khidmat dilatih menjalani tugas berbeza.



Beliau melihat pekerja yang menjalani latihan itu menjadi lebih produktif dan melihat prospek pekerjaan lebih baik.



"Sektor F&B perlu ditingkatkan dan diberi jenama seperti Singapore Airlines (SIA). Secara umum, ia harus dilihat sebagai pekerjaan yang menarik dan 'glamour'. Ia amat penting mewujudkan sekitaran di mana pekerja diperkasa,'' kata Cik Lina.



KESIMPULAN



Cabaran menarik pekerja tempatan akan terus membelenggu F&B selagi mereka tidak mengambil langkah membuat perubahan.



Mendapat pekerja asing tidak semudah dulu.



Itulah realiti yang tidak boleh dinafikan.



Jadi, selagi F&B ingin terus bertahan, pemilik F&B perlu mengubah pemikiran dengan mereka semula pekerjaan atau proses pekerjaan agar dapat menambat hati pekerja tempatan.




APA KATA PENIAGA



"Kadangkala saya tertanya mana pergi orang-orang yang diberhentikan kerja di sini. Mengapa sukar sangat saya mendapat pekerja tempatan? Yang datang minta kerja ialah orang Filipina dan Malaysia walaupun kita sudah pasarkan di media sosial.''
- Cik Widyanty Mohd Yusope, pemilik kafe Royz Et Vous.



"Apa yang saya dapati, pekerja tempatan mempunyai jangkaan gaji yang tinggi sedangkan mereka baru bekerja dan tidak mempunyai pengalaman.''
- Cik Zakiah, pengasas bersama Kafe Limaa.



"Sektor F&B perlu ditingkatkan dan diberi jenama seperti Singapore Airlines (SIA). Secara umum, ia harus dilihat sebagai pekerjaan yang menarik dan 'glamour'. Ia amat penting mewujudkan sekitaran di mana pekerja diperkasa."
- Cik Lina Shaharan, Pengurus Besar Commonwealth Capital Pte Ltd.



APA KATA PEKERJA



"Daripada bekerja dengan restoran dengan saya perlu bekerja enam hari hingga hari Sabtu dan dibayar $1,400-$1,600, lebih baik saya pandu Grab. Pendapatan pun lebih tinggi.''
- Encik Aiman Sani, yang baru diberhentikan bekerja dari sebuah hotel tempatan.



APA KATA WSG



"Apabila pekerja ini mengambil pekerjaan yang direka semula atau mempunyai nilai kerja lebih tinggi, mereka mendapat kemahiran baru bagi menjalankan peranan baru atau dipertingkatkan itu. Kemahiran baru itu membuka pintu peluang yang baru lantas, meningkatkan laluan perkembangan kerjaya mereka.''
- Jurucakap Agensi Tenaga Kerja Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >