Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Rojak Maznah Ke Tuu!!!' dedikasi Roslan buat resipi warisan ibu

Lagu terbaru turut bertujuan ingatkan generasi muda tentang makanan warisan, isi kekosongan lagu tentang makanan
Jul 17, 2021 | 05:30 AM



DOA ibu sewaktu hayatnya sentiasa mengiringi penghibur, usahawan dan pempengaruh sosial Singapura, Roslan Shah, setiap kali projek baru ingin diusahakannya.



Sebak di dada Roslan, 40-an tahun, apabila ibu yang mengajarkannya tentang semangat ihsan dan tidak mudah putus asa membangun nyala rasa sudah pergi menyahut panggilan Ilahi dek barah perut pada Disember 2019.



Namun, ingatan pada ibunya Cik Mariam Kari, membuatkan anak seni yang sentiasa ceria menghiburkan peminatnya ini menjana satu demi satu projek usaha niaga dan seni yang menyanjung hasil peninggalan bonda tercinta.



Setelah membuka gerai aneka rojak yang laris saban hari dengan bersandarkan resipi tradisional ibunya di Kedai Kopi Al Ikhlas di 60 Lorong 101 Changi, Roslan muncul pula dengan lagu 'catchy' Rojak Maznah Ke Tuu!!!, baru-baru ini.



Baginya, lagu itu mempunyai matlamat mengingatkan generasi muda tentang makanan warisan kesukaan ramai di samping mengisi kekosongan lagu-lagu tentang makanan yang dahulu banyak di pasaran.



Antara lagu makanan yang terkenal ialah Ayam (dendangan Jalil Hamid), Lontong (Kadir Rahman); Nasi Goreng Bubur Kacang (P. Ramlee dan kemudian Black Dog Bone) dan Aneka Selera (Razis Ismail).



"Saya memang dah lama tidak keluarkan lagu baru. Kali terakhir adalah sekitar empat tahun lalu.



"Apabila difikirkan, kita memang dah jarang ada lagu tentang makanan yang menghiburkan dan pada masa yang sama mendidik anak-anak kita tentang warisan.



"Lagu Jalil Hamid, Ayam, bagi saya hasil kerja seni yang kreatif dan unik.



"Rojak Maznah Ke Tuu!!! merupakan satu percubaan saya mewarnai industri dengan lagu unik sempena bisnes rojak saya pun menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai bangsa, baik Melayu, Cina, India dan orang luar negara.



"Ia bukan lagu iklan. Ia adalah lagu penghibur dan penglipur lara," tambahnya yang kelihatan bergaya dengan kostum Jawa tajaan Wan Huzarman dalam wawancara di Hotel 81 Tristar di Onan Road.



Lagu pop dangdut moden yang sesuai dijadikan bahan tarian buat video aplikasi TikTok itu dihasilkan bersama Zack Marshmallow dan komposer Indonesia, Dicky.



Ia mengambil sempena nama hidangan rojak buah 'Maznah ke tuu!!!' (inspirasi dari dialog filem Seniman Bujang Lapok) yang dijual Roslan di gerainya.



Gerai yang dibuka dari Rabu hingga Ahad itu turut menjual tahu bakar 'Gempa Bumi' dan char kuay bakar 'Tsunami'.



Menurutnya, apabila Zack menawarkan projek itu buatnya, beliau merasakan ia idea baik dalam memeriahkan industri seni di samping membawa ramai mengamati setiap bahan rojak sambil berhibur.



Dalam setiap langkah Roslan, beliau akur tidak akan lupa kata-kata ibunya serta restu yang diberi apabila beliau mengambil keputusan bekerja di Malaysia dan berulang-alik ke Singapura lebih lagi tatkala ibunya sakit.



"Sememangnya, setiap kerja seni atau projek niaga saya mendapat restu ibu. Saya selalu berkongsi dengannya dan meminta beliau mendoakannya.



"Walaupun beliau tiada, setiap kesempatan saya menziarahinya di kubur, saya teruskan komunikasi saya itu dengan meluangkan masa berdoa sambil meluah rasa di situ kerana hubungan mesra anak dan ibu tidak terputus," tambahnya.



Beliau menganggap pengorbanan terbesar baginya adalah meninggalkan ibunya bagi mencari rezeki di Malaysia serta kembali ke Singapura dan melepaskan komitmen kerjanya untuk menjaga ibunya yang sakit di saat-saat akhir hayat beliau.



Dalam tempoh pandemik, Roslan akui rindukan tugas menghibur dan meniaga di seberang Tambak.



Kereta dan rumahnya di Kuala Lumpur dibiarkan di dalam jagaan seorang sahabat karibnya.



"Kadangkala tertekan. Itulah yang buatkan saya terfikir tentang meniaga rojak yang membantu saya melupakan segala tekanan semasa pandemik.



"Alhamdulillah, walaupun sekatan keselamatan diperkenalkan apabila pelanggan tidak dapat duduk makan di kedai kopi, ramai yang datang membeli untuk dibawa pulang dan mengirim pesanan untuk dikirimkan rojak itu ke rumah mereka.



"Saya juga dapat membantu kenalan atau pengikut saya di media sosial yang tugasnya terjejas kerana pandemik dengan memberi mereka kerja sebagai pembantu saya yang membungkus dan mengirim rojak ke rumah pelanggan.



"Ada rezeki, kita kongsilah bersama-sama," tambahnya.



Roslan juga memanfaatkan amanahnya sebagai pempengaruh sosial di media sosial bagi menolong golongan yang kesempitan termasuk yang payah membeli makanan dan keperluan dapur di Johor Bahru.



Baru-baru ini, menerusi sesi Facebook Live, beliau dan teman-temannya dapat mengumpulkan sekitar $5,580 untuk disalur buat kegunaan penduduk Johor Bahru yang terjejas teruk dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pekerjaan mereka.



"Saya pentingkan saham akhirat. Bagi saya, sebagai anak seni, tugas kita bukan setakat menghibur. Kalau kita boleh bantu berkongsi rezeki, mengapa tidak? Kalau kita boleh galakkan orang lain membantu, ia juga lebih baik.



"Alhamdulillah, pengikut saya sebilangannya adalah orang yang berihsan dan akan memberi sokongan mereka dalam usaha amal sebegini," katanya lagi.



Roslan yang bermula dalam dunia seni sebagai antara tiga pemenang utama peraduan adu bakat Ria pada 1990 disusuli dengan juara peraduan menyanyi Mr Kafe, Hiburan Minggu Ini di televisyen pada 1993 mengatakan meskipun berpeluang menghiburkan tetamu VIP di seberang, beliau tidak akan lupa asal-usul bertapaknya dirinya di dalam arena seni Singapura.



"Saya bermula dari radio dan televisyen Singapura. Saya takkan lupa jasa penerbit dan penyiar di sini.



"Kemudian saya dikenali sebagai penyanyi lagu 'cover' Sudirman sebelum melangkah mencari identiti saya sendiri.



"Susah senang berseni dan meniaga itu adat dan resam kehidupan. Ada orang dengki dan nak jatuhkan kita perkara biasa. Kita hanya perlu jaga diri dan niat kita. Selebihnya, kita serahkan kepada Tuhan. Itu pesan ibu saya yang akan saya ingat," jelasnya lagi.




"Apabila difikirkan, kita memang dah jarang ada lagu tentang makanan yang menghiburkan dan pada masa yang sama mendidik anak-anak kita tentang warisan...

Rojak Maznah Ke Tuu!!! merupakan satu percubaan saya mewarnai industri dengan lagu unik sempena bisnes rojak saya pun menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai bangsa, baik Melayu, Cina, India dan orang luar negara."

- Roslan Shah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >