Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Anak seni SG sahut panggilan tugas di M'sia

Dec 04, 2021 | 05:30 AM



Rezeki di seberang Tambak bagaikan memanggil-manggil dua bakat tempatan ini semula apabila sempadan antara dua negara jiran, Singapura dan Malaysia dibuka baru-baru ini. Apa yang diharapkan pelakon Erwin Shah Dawson dan pengacara Roslan Shah yang sebelum ini berpangkalan di Malaysia tatkala peluang menyambung kerjaya seni di seberang dibuka? BERITA HARIAN melaporkan.



Roslan 'rehatkan' niaga rojak di SG demi rezeki seni di KL



MELIHAT kemajuan perniagaan aneka rojak yang diusahakan di Singapura sejak Julai tahun lalu, penghibur dan pengacara Roslan Shah, berat hati ingin menghentikannya.



Bermula di Kedai Kopi Al-Ikhlas di 60 Lorong 101 Changi, bisnes rojak buah 'Maznah ke tuu!!!', tahu bakar 'Gempa Bumi' dan char kuay bakar 'Tsunami' itu kemudian dikendalikan dari rumah dengan banyak pesanan diterima saban hari.



Namun, memandangkan Roslan, 40-an tahun, sebelum ini menghabiskan masa 20 tahun membina kerjaya seninya di Malaysia, pastinya kerinduan kembali menghibur peminat mengasak-asak di jiwa.



Lantaran itu, apabila sempadan Singapura-Malaysia dibuka dengan penerbangan Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) diperkenalkan baru-baru ini, beliau langsung menempah tiket penerbangan untuk kembali menerima beberapa tawaran pekerjaan.



Kelmarin, Roslan berangkat ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat Singapore Airlines (SIA) dan langsung bergegas ke Hotel Concorde untuk tugas mengacara pada 3 petang.



Malam semalam pula, beliau membuat perkongsian mengenai penyakit barah yang dihidapi ibu saudaranya dalam acara Konsert Amal UKM x Rock Cancer Malaysia yang distrim secara langsung.



Beberapa projek untuk tahun depan termasuk program jerayawara bersama usahawan produk kecantikan, Datuk Aliff Syukri, serta lakonan drama komedi RTM di TV2 juga bakal dijayakannya tahun depan.



Ketika dihubungi Berita Harian ketika baru sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin, Roslan menjelaskan:



"Sebenarnya, banyak perkara bermain di fikiran. Semasa pandemik Covid-19 melanda, saya terpaksa pulang ke Singapura dan perlu memikirkan cara alternatif mencari rezeki. Saya kehilangan pendapatan dari dunia seni dan hiburan kerana projek yang terpaksa ditunda atau dibatalkan di Malaysia.



"Alhamdulillah, berkat resipi rojak arwah ibu saya, saya dapat usahakan perniagaan yang memuaskan hati pelanggan bersama kakak-kakak saya malah laris hingga ke hari terakhir saya menjualnya pada petang Rabu lalu.



"Peminat setia rojak 'Maznah ke tuu!!!' tertanya-tanya apa akan jadi pada perniagaan ini? Mereka rasa kempunan kalau ia terhenti. Saya kata, nanti saya fikirkan kalau boleh serahkan kepada kakak saya untuk mengendalikannya kelak.



"Walau terkejar-kejar urus banyak perkara dari insuran, Visa sampai ujian Covid-19 untuk terbang ke Kuala Lumpur, saya jalani semua dengan harapan dapat membangkitkan semula kerjaya seni saya di Malaysia."



Beliau teruja dapat terlibat dalam konsert amal bagi mengumpul dana buat pesakit barah.



Roslan, yang pernah digelar 'Sudirman Singapura', juga diminta menyanyikan lagu Allahyarham Sudirman, Pelangi Petang dan Merisik Khabar di acara itu.



Menurut Roslan, pandemik Covid-19 mengajarnya untuk bersabar dan mencari haluan lain iaitu bidang perniagaan bagi menyara kehidupan.



"Kita perlu tangkas buat keputusan demi penakatan dan perluas idea kita di luar zon selesa. Yang penting, kita ikhlas dan kongsi rezeki dengan orang, di mana melalui jualan rojak saya pun, saya dapat bantu pemandu Grab raih rezeki mengirim rojak ke rumah pelanggan saya.



"Ada permintaan peminat agar saya buka kedai rojak cawangan Kuala Lumpur, Kedah, Johor dan Pulau Pinang. Tengoklah macam mana. Buat masa ini, saya ingin mantapkan kerjaya seni saya kembali tetapi akan berulang-alik pulang ke Singapura macam dulu," tambah Roslan.




Erwin ke Perlis untuk terima tawaran jadi 'hero'



CEPAT menyesuaikan diri dek perubahan isu sekeliling yang boleh menjejas pekerjaan dan masa depan.



Pastikan jiwa juga kental dan sabar menghadapi ujian dengan keinginan belajar lagi dan merencamkan kemahiran.



Jika ditanya pelakon Singapura yang membina kerjaya di Malaysia, Erwin Shah Dawson, 32 tahun, itulah pengajaran terbesar yang membuka matanya semasa mengharungi titian hidup semasa pandemik Covid-19.



Sepanjang tempoh hampir dua tahun kembali ke Singapura apabila sempadan antara negara ini dan Malaysia ditutup, beliau mencuba bermacam tugas, daripada pekerja pengiriman makanan FoodPanda hinggalah pengarah syarikat runding cara hutang.



Pelakon drama kembara masa, Krono, itu malah mempunyai perancangan membuka syarikat ubah elok dan mengikuti kursus pemasaran sebagai sandaran bisnes tersebut.



Namun, bersandarkan prinsip rezeki jangan ditolak, Erwin menerima tawaran menjayakan watak utama dalam drama Malaysia bagi slot utama terbitan Zeel Production.



Buat masa ini, drama itu bertajuk Bunga Hati dan turut dijayakan Fauziah Ahmad Daud, Redza Rosli dan Intan Najuwa.



Erwin memegang watak hero bernama Dr Joshua.



Tawaran bukan calang-calang daripada syarikat penerbitan pertama di Malaysia yang mencungkil bakat Erwin menerusi drama Bencinta itu membawanya terbang dari Singapura ke Perlis, Selasa lalu.



Ketika ditemui Berita Harian di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, Erwin berkata:



"Tawaran ini datang sekitar dua, tiga minggu lalu. Sepanjang dua tahun pandemik, saya dah banyak tolak projek di Malaysia kerana kesukaran mengembara ke sana dan komitmen tugas di Singapura.



"Jadi, kali ini saya susah nak tolak atau menganggapnya sebagai rezeki dan peluang keemasan kerana sepanjang lima tahun membina kerjaya di Malaysia, inilah kali pertama saya dapat tawaran berbaloi jadi pelakon lelaki utama dalam slot yang sentiasa menjadi perhatian penonton."



Kerinduannya pada sahabat seni di seberang di samping desa permai menghijau yang merapatkannya dengan alam ingin ditebusnya dalam kunjungan sekitar tiga bulan ini.



"Saya sebenarnya terima tawaran lakonan di Malaysia hingga Oktober. Tapi saya tak nak berikan komitmen apa-apa dahulu kerana tidak pasti bagaimana situasi Covid-19 kini dengan pengesanan varian Omicron kini.



"Kalau keadaan masih membimbangkan, saya lebih selesa pulang ke Singapura untuk bersama ibu dan keluarga saya," jelasnya.



Semasa di Singapura, Erwin menjayakan drama Azam & Johan, Krono dan Pesan Izan.



Tawaran mula perlahan selepas Pesan Izan tamat.



"Saya juga buat kawan dengan anak seni lain yang berkongsi minat serupa dalam muzik.



"Malahan, kami yang awalnya tiada rancangan tubuhkan kumpulan tampil dengan idea mengusahakan band Young Kings seramai lima orang. Saya dan 'rapper' YK adalah penerajunya.



"Dah ada lima lagu yang ingin kami keluarkan satu-persatu tahun depan. Dua lagu sudah siap melodi dan lirik. Yang lain menanti untuk diisi liriknya.



"Saya minta rakan lain rakam suara mereka dahulu sementara saya di Perlis. Apabila saya pulang, kita bereskan bahagian saya pula," jelasnya.



Menurut Erwin, lagu-lagu yang dihasilkan berupa pengamatan santai atau sindir-sindir sayang tentang tabiat manusia yang menyakitkan hati.



"Misalnya, lagu Eh... Eh... Kau tentang orang lain yang buat salah, kita yang kena marah. Step Gerek pula tentang orang yang buat baik dengan kita tetapi tikam belakang kita," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >