Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Indahnya bahasa Melayu terap kesantunan

Harapan semaian awal cinta bahasa Melayu mekar melalui pembelajaran Bahasa Melayu Lanjutan di sekolah rendah
Jun 01, 2021 | 05:30 AM



MENGGALAK PENGGUNAAN BAHASA MELAYU



SEWAKTU saya membesar, keluarga saya bertutur dalam bahasa Melayu di rumah dan ia terus menjadi bahasa keluarga dan 'basahan' buat saya hingga ke hari ini.



Semasa saya menuntut - sejak di bangku sekolah rendah hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) - saya lebih menggunakan bahasa Inggeris.



Semasa saya mula bekerja sebagai pekerja sosial, selain dari bahasa Inggeris yang lebih kerap saya gunakan, saya juga menggunakan bahasa lain untuk membolehkan saya berhubungan dengan lebih baik bersama keluarga-keluarga yang saya temui.



Ini bermakna pada satu ketika, saya akan cuba bertutur dalam bahasa Hokkien dan Mandarin seberapa boleh. Dan pastinya, saya gunakan bahasa Melayu semasa berhubungan dengan keluarga Melayu. Ini biasanya membuat mereka terasa lebih selesa kerana adanya hubungan kebudayaan antara kami justeru memudahkan proses membantu mereka.



Pada tempoh itu juga saya bergelar seorang bapa dan mula berfikir akan keperluan bahasa bagi kedua-dua anak saya.



Bak kata pepatah 'hilang bahasa, lenyaplah bangsa', bahasa merupakan kunci kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang akar dan budaya kita. Dan saya ingin kedua-dua anak saya, Lidia dan Adli, mengenali bahasa Melayu sebagai bahasa yang kaya dan terus hidup.



Keupayaan saya bertutur dalam bahasa Melayu ketika itu bermakna saya sedar akan keindahan bahasa dan sastera Melayu. Namun, saya tidak tahu bagaimana untuk menghargainya secara mendalam.



Mujur isteri saya, Sadiah, yang merupakan penerbit dan pengacara bahasa Melayu di televisyen, dan kini penyelaras muzium di Taman Warisan Melayu (TWM) bagi Pertubuhan Rakan Muzium (Singapura), maka bahasa Melayu mendapat keutamaan yang lebih wajar di rumah kami.



Anak-anak kami juga mampu menghargainya. Sebagai contoh, Lidia petah bercakap dan mula mengenali bahasa Melayu sejak kecil. Minat membacanya mendorong beliau untuk meminati bahasa.



Kedua-dua anak saya mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.



Isteri saya juga terlatih dalam pendidikan awal kanak-kanak hingga ke peringkat pos siswazah. Dengan kreativitinya dalam bidang media, serta latar belakangnya dalam bidang pendidikan dan penguasaan bahasa Melayu beliau, maka terhasillah pelbagai cara menarik untuk memupuk minat terhadap bahasa Melayu dalam anak-anak kami.



Saya masih ingat lagi lukisan-lukisan cantik yang dihasilkan oleh isteri saya, di samping illustrasi yang digunakan untuk memaparkan makna peribahasa seperti 'bagai aur dengan tebing'. Ini membuat guru Adli kagum dengan pendekatan tersebut dan minta untuk dikongsi bersama murid-murid lain.



Isteri saya juga mendedahkan Adli kepada kosa kata dan menghargai keindahan bahasa melalui lagu-lagu Melayu tradisional dan moden agar ia lebih seronok dan santai (kerana kami akur cara anak lelaki belajar bahasa berbeza daripada anak perempuan!)



Saya gembira apabila Lidia mengambil bahasa Melayu Lanjutan di peringkat sekolah rendah. Beliau meminati kelas tambahannya kerana dapat belajar lebih mendalam tentang budaya dan warisan.



Beliau pernah mengatakan ini agak sukar kerana beliau perlu melaksanakan lebih banyak tugasan. Namun, ibunya sentiasa memberi sokongan dan menjadikan pembelajaran Bahasa Melayu lebih menarik.



Semasa Lidia di sekolah menengah, isteri saya akan mengkaji peribahasa yang lebih sukar bagi peperiksaan GCE peringkat 'O' beliau, seperti 'bagai seludang menolak mayang', dan membantu menerangkannya kepada anak perempuan kami. Himpunan peribahasa ini, yang turut disertakan dengan lukisan yang menggambarkannya, juga dikongsi dengan rakan sedarjah Lidia.



Menerusi penghayatan peribahasa, isteri saya selalu mendorong anak-anak kami agar berasa bangga akan keindahan bahasa dan budaya Melayu yang pintar menggunakan alam untuk menyampaikan mesej dengan begitu bijak, bersopan dan beralas.



Sememangnya, saya cukup terpesona dengan bahasa Melayu dan keindahannya. Ini lebih-lebih lagi dalam menyampaikan makna yang mendalam dengan cara halus, disesuaikan dengan nilai-nilai murni dalam masyarakat.



Sebab itulah saya amat bersemangat dalam peranan saya selaku Menteri Kedua Pendidikan untuk menyokong pengenalan pembelajaran Bahasa Ibunda Lanjutan di peringkat darjah tiga dan empat di semua sekolah rendah mulai tahun depan.



Ini akan dilaksanakan bagi pembelajaran bahasa Melayu, Cina dan Tamil pada usia yang lebih muda berbanding sekarang, dimana pelajar yang berkebolehan rata-ratanya boleh mengambil Bahasa Ibunda Lanjutan di darjah lima. Dan ini boleh dilaksanakan sama ada kedua-dua ibu bapa mempunyai latar belakang atau keupayaan dalam bahasa tersebut atau tidak.



Bahasa Melayu Lanjutan (HML) akan meningkatkan pengetahuan dan penghargaan anak-anak terhadap bahasa, budaya dan warisan Melayu pada usia muda. Bahkan, ia akan mendedahkan pelajar kepada sastera etnik.



Di peringkat kementerian, kami ingin melihat para pelajar terus mempelajarinya hingga ke Peringkat GCE 'A' dan selanjutnya. Ini akan membolehkan kami membangunkan generasi pakar bahasa selanjutnya untuk memastikan bahasa ibunda kita terus hidup dan kekal relevan.



USAHA BAHASA MELAYU LANJUTAN BERMULA DENGAN BAIK



Bahasa Melayu dan Tamil Lanjutan telah dirintiskan bagi murid darjah tiga dan empat tahun lalu di beberapa sekolah terpilih dan saya amat terdorong apabila dimaklumkan bahawa sekitar 360 murid darjah tiga dan 350 murid darjah empat terlibat dalam program perintis Bahasa Melayu Lanjutan tahun ini.



Dengan memperkenal HML di peringkat darjah tiga dan empat, saya harap lebih ramai pelajar akan mengambil mata pelajaran itu di peringkat lebih tinggi.



Di Sekolah Rendah Westwood yang merupakan salah sebuah sekolah yang mengendalikan program perintis itu,, saya lihat bagaimana murid belajar tentang muzik dan alat muzik tradisional Melayu.



Usaha-usaha ini dijalankan di samping program bahasa Melayu lain yang memenuhi keperluan pelajar dengan keupayaan bahasa yang berbeza. Ini termasuk Program Sokongan Bahasa Ibunda di sekolah rendah dan Program Elektif Bahasa Melayu di sekolah menengah.



Secara keseluruhan, semua usaha itu meraikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang terus hidup di rumah, sekolah dan masyarakat kita.



PERJALANAN BAHASA MELAYU SAYA SENDIRI



Bagaimana bahasa Melayu saya bertambah baik saban tahun? Menerusi pendedahan dan mengamalkannya, sedang saya berinteraksi dengan lebih ramai penduduk yang bertutur dalam bahasa Melayu di kawasan undi saya.



Secara jujur, sebenarnya, media penyiaran juga memainkan peranan, dengan wawancara secara langsung di radio dan televisyen Melayu menjadi titik perubahannya. Saya harus memperbaiki perbendaharaan kata Melayu saya, membaca Berita Harian setiap hari dan bertutur dalam bahasa Melayu apabila ada peluang.



Saya bernasib baik kerana mempunyai seorang guru hebat di rumah - isteri saya selalu membantu dengan ucapan bahasa Melayu saya dan membimbing saya untuk menyampaikannya dengan baik! Terdapat kemesraan apabila bertutur dalam bahasa yang sama kerana ia mengukuhkan identiti serta menjalin dan mengeratkan hubungan.



Saya dapati usaha menerangkan dasar pemerintah dalam bahasa Melayu kepada masyarakat Melayu amat penting.



Maklum balas yang biasa saya terima adalah dasar pemerintah sukar difahami. Apabila saya bertemu dengan penduduk Melayu dan menerangkannya dalam bahasa Melayu - dasar-dasar seperti CPF Hayat, Skim Beli Balik Pajakan (LBS), Medishield dan Medisave serta sistem pengumpulan berdasarkan subjek di sekolah - mereka lebih memahaminya dan menyedari mengapa dasar-dasar ini penting dan relevan untuk mereka.



Terdapat nuansa tertentu yang lebih jelas apabila disampaikan dalam bahasa Melayu. Ini merupakan sesuatu yang saya pelajari dan amat hargai.



Yang menarik dan tanpa dijangka, perjalanan bahasa Melayu saya juga telah mendorong saya mula berjinak-jinak dalam penulisan puisi Melayu, khusus buat isteri saya, sebagai satu luahan penghargaan dan cinta saya kepadanya (inspirasi saya ialah senikata Gurindam Jiwa yang tertera pada kad undangan walimah kami hampir 30 tahun lalu). Saya masih belajar dan hasrat untuk menjadi pujangga masih belum kesampaian, tapi saya fikir kalau dapat dibiasakan maka ia akan jadi lebih sempurna.



Ini merupakan puisi yang saya tulis buat isteri saya sempena 1 Syawal tahun ini.



Pastinya ada permulaan bagi semua perkara.



Saya masih lagi belajar dan seperti yang kami katakan di MOE - kami ingin pelajar belajar sepanjang hayat! Dan menerusi bahasa, kita juga dapat belajar tentang kehidupan!



  • Penulis Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar


Sadiah… Isteri... penyeri Aidilfitri



Purnama bersinar takbir bergema

Sayu di hati teringat yang pergi

Setiap langkah jiwa bertanya

Bilakah kembali cerah mentari

Senyum kembali riang wajah

Berdiri di sisi, dialah Sadiah… isteri…

penyeri Aidilfitri



Sujud ikhlas merendah diri

Insan terperi memuji Ilahi

Setiap doa mensuci diri

Rahmat rezeki penuh dihargai

Semurni sejati semekar melati

Selembut setulus, dialah Sadiah… isteri…

penyeri Aidilfitri



Mulia hati Mu sumber inspirasi

Jelita wajah Mu anggun pari-pari

Mesra sentuh Mu menyusuk sanubari

Lembut budi Mu bak sutera nan asli

Sayang harian Mu membahagia suami

Sesungguhnya, dialah Sadiah… isteri…

penyeri Aidilfitri



Yakin diri goyah dek wabak

Daya tahan unggulnya tunggak

Tanpa kehadiran Mu, lemah iltizam Ku

Pengorbanan tanpa lelah Mu perkuat tekad Ku

Di sepi dinihari kau bisikkan doa nan murni

Insan dihormati, disegani, dialah Sadiah...isteri...

penyeri Aidilfitri



Sayang Ku Sadiah

Syawal Ku bahagia diberkati doa Mu

Raya Ku riang disambut tawa ceria Mu

Aidilfitri Ku istimewa diseri senyum manis Mu



Kaulah pelita, penyinar hidup Ku

Unggul cinta Mu pemangkin semangat waja Ku

Keihsanan Mu pelembut jiwa Ku

Terima kasih Sayang, tanpa Mu, tidak sempurna

diri Ku



Selamat Hari Raya Aidilfitri Sayang

Maaf Zahir Batin

Semoga Ayang terus dikurniakan kebahagiaan

di samping

Abang serta puteri dan putera kita



Ikhlas daripada

Abang Tercinta

1 Syawal 1442H

13 Mei 2021




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >