LANGIT menjingga di sebalik kanvas kebiru-biruan. Mentari beranjak pergi secara perlahan. Hayati masih duduk di atas sejadah merah yang lusuh. Jari-jemarinya masih bertasbih. Setiap degup jantungnya dan nafasnya mengikuti lafazan 'Allah' dengan gelodak tenang yang semakin mengganggu keresahan jiwanya.
Tiba-tiba, alunan azan maghrib menyentak tumpuan Hayati. Dia bangkit, mengangkat takbir dan sebutir air mata mengalir dari kelopak matanya. Memejam mata, dia pun mengerjakan solat fardunya.