Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

WALAU MENYUSU BAYI

Selamat bagi ibu sedang susu bayi

Aug 15, 2021 | 05:30 AM



SEBAGAI pekerja barisan hadapan, penting bagi Cik Zafirah Mohamad Zaid mendapatkan vaksinasi Covid-19.



Beliau merupakan antara kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksinasi di Singapura, dan disebabkan itu beliau berasa khuatir kerana masih menyusukan bayi yang waktu itu baru berusia lima bulan.



Namun akur bahawa pekerjaannya perlu berdepan dengan pesakit di hospital, Cik Zafirah, 31 tahun, tidak mahu mengambil risiko dan ingin melindungi keluarganya.



Menurut ibu dua anak kecil yang kini berusia satu dan dua tahun, beliau telah mendapatkan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech mRNA pada 26 Januari tahun ini dan dos kedua pada 16 Februari.



"Perasaan saya bercampur-baur ketika itu. Saya rasa bertuah menjadi kumpulan pertama pekerja penjagaan kesihatan yang divaksinasi, namun pada masa yang sama saya juga berasa bimbang.



"Pada mulanya saya bimbang akan kesan sampingan vaksin itu terhadap susu ibu kerana pada ketika itu saya masih lagi menyusukan bayi saya.



"Adakah vaksinasi itu akan menyerap ke dalam susu badan saya dan apa yang akan terjadi pada bayi saya jika saya mengambil vaksinasi itu? Persoalan ini timbul di benak fikiran saya," kata beliau.



Bagaimanapun, selepas mendapatkan nasihat daripada doktor dan rakan sejawatnya di hospital, Cik Zafirah tidak lagi berasa ragu dan yakin bahawa vaksinasi itu baik untuk dirinya, di samping dapat melindungi keluarganya.



"Setelah menyelidik serta mendapatkan nasihat daripada doktor di tempat kerja saya dan ginekologi saya, mereka memberi saya jaminan bahawa ia selamat untuk saya mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19.



"Mereka juga meyakinkan saya bahawa vaksin itu selamat untuk ibu yang sedang menyusukan bayi.



"Di samping itu, mereka juga memberitahu saya bahawa manfaatnya lebih besar berbanding dengan risiko yang saya hadapi ketika bekerja di barisan depan," tambah beliau yang bertugas sebagai jururawat di hospital setempat hampir 10 tahun.



Menurut Cik Zafirah, sebagai langkah berjaga-jaga sampingan, beliau mengelakkan diri daripada menyusukan bayinya selama lima hari dan sebaliknya memberi susu formula.



Mujur beliau juga tidak merasakan kesan sampingan yang ketara setelah mendapatkan suntikan, hanya lenguh yang tidak menjejas kegiatan kehidupan hariannya.



"Dan selepas lima hari, saya meneruskan penyusuan seperti biasa dan alhamdulillah bayi masih sihat dan gembira," ujarnya.



Baru-baru ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan garis panduan yang menggalakkan wanita yang sedang menyusukan anak untuk mengambil suntikan vaksin bagi mencegah jangkitan Covid-19.



Ketua Sains WHO, Dr Soumya Swaminathan memaklumkan, tiada bukti saintifik menunjukkan vaksin tersebut akan memudaratkan ibu dan bayi yang disusukan itu.



Tiada risiko sama sekali kerana semua vaksin yang telah digunakan ketika ini tidak ada yang mengandungi virus hidup. Oleh itu, tiada risiko penularan melalui susu ibu.



Memetik kumpulan pakar penasihat WHO, Kumpulan Pakar Strategi Penasihat untuk Imunisasi (Sage), mendedahkan vaksin yang paling sesuai dan selamat ialah Pfizer-BioNTech mRNA manakala ibu yang menyusukan bayi boleh diberikan vaksin Pfizer atau AstraZeneca.



Sepanjang pengalamannya itu, Cik Zafirah mendapat sokongan keluarga, termasuk suaminya, Encik Muhammad Hasif Ruzaiwan Harmani, amat membantu.



"Suami dan keluarga saya tidak pernah menyoal saya mengenai keputusan saya untuk menjadi pekerja barisan hadapan terutama semasa pandemik ini.



"Sebaliknya mereka bangga dan terus menyokong saya dalam kerjaya ini," kata beliau yang turut menambah kesemua ahli keluarga terdekatnya telah mendapatkan vaksinasi mereka.



Sedang pemerintah mempergiat usaha memberikan vaksinasi kepada penduduk Singapura, Cik Zafirah juga mengambil kesempatan ini untuk meyakinkan dan menasihati ibu-ibu lain bahawa vaksinasi itu dijamin selamat dan jika boleh untuk mendapatkan vaksinasi mereka secepat mungkin.



Di samping itu, beliau juga berharap mereka dapat memberi kepercayaan terhadap sistem kesihatan Singapura dan merujuk nasihat dari Kementerian Kesihatan (MOH), dan bukan sekadar mendengarkan "sumber lain yang tidak boleh dipercayai" seperti apa yang mereka dengar dari mulut ke mulut atau daripada kumpulan sembang ibu.



"Dapatkan vaksin untuk diri anda kerana ia juga akan melindungi keluarga anda terutama mereka yang mempunyai anak kecil ataupun warga senja yang tinggal bersama mereka.



"Dalam pada itu, jika anda telah divaksin, anda boleh keluar makan dengan keluarga anda," selorohnya.




"Setelah menyelidik serta mendapatkan nasihat daripada doktor di tempat kerja saya dan ginekologi saya, mereka memberi saya jaminan bahawa ia selamat untuk saya mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19.

Mereka juga meyakinkan saya bahawa vaksin itu selamat untuk ibu yang sedang menyusukan bayi.

Di samping itu, mereka juga memberitahu saya bahawa manfaatnya lebih besar berbanding dengan risiko yang saya hadapi ketika bekerja di barisan depan."

- Cik Zafirah Mohamad Zaid, 31 tahun, yang mendapatkan vaksin semasa menyusukan bayinya.




INFOGRAFIK: Perangkaan vaksinasi Covid-19 sejauh ini




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >