Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MERUNGKAI ISU KEWANGAN

Semak jumlah dana kecemasan dalam ekon tidak menentu

Pandemik Covid-19 buktikan perkara tidak diduga boleh berlaku kepada sesiapa pada bila-bila masa
Oct 17, 2021 | 05:30 AM



APABILA kehilangan kerja baru-baru ini Encik Zakir, 29 tahun benar-benar kebuntuan.



Beliau baru sahaja mendirikan rumah tangga tahun lalu. Memandangkan isterinya tidak bekerja, beliau merupakan pencari nafkah utama keluarganya.



"Memang bimbang masa itu, lebih-lebih lagi simpanan saya ketika itu tidak cukup untuk tampung perbelanjaan lebih dari sebulan," kata beliau yang minta nama penuhnya tidak disiarkan.



Mujur beliau berjaya mendapatkan pekerjaan tidak lama kemudian namun pengalaman itu memberi pengajaran berharga mengenai peri penting persiapan dana kecemasan.



Berkongsi langkah pembetulan yang beliau ambil agar peristiwa pahit itu tidak berulang, Encik Zakir berkata beliau kini memantau dengan teliti perbelanjaannya.



"Sekarang setelah meneliti perbelanjaan saya pasti akan ketepikan sebahagian dana untuk masa kecemasan.



"Kalau tidak nanti nak makan apa!" kata beliau.



Dalam tempoh pandemik ini, selain kehilangan pekerjaan, tidak kurang juga warga yang mengalami kemerosotan dalam pendapatan.



Dalam masa-masa mencabar ini peri penting dana kecemasan tidak dapat dinafikan.



Keadaan kecemasan boleh berlaku bila-bila masa dan boleh wujud dalam pelbagai bentuk.



Selain kehilangan pekerjaan, seseorang itu boleh ditimpa kemalangan atau penyakit yang menjejas pekerjaan lalu menjejas pendapatannya.



Kereta rosak, lebih-lebih lagi jika anda bergantung kepada kenderaan itu untuk berniaga atau bekerja, juga boleh menyebabkan keadaan kecemasan.



Dana kecemasan bertujuan menawarkan jaringan keselamatan kewangan bagi menangani kejadian yang tidak diingini atau beban kewangan yang tidak diduga.



Perancang kewangan seperti Cik Zulaikha Ahamed Kutty menasihatkan warga supaya membuat perkiraan berdasarkan keperluan jangka panjang dan jangka pendek.



"Lazimnya terdapat pandangan umum bahawa kita perlukan ketepikan sekurang-kurang enam bulan perbelanjaan bulanan untuk dana kecemasan," kata beliau yang juga Pengurus Kanan Great Eastern Life Co.



Mempunyai dana kecemasan yang cukup boleh mengurangkan tekanan andainya sesuatu yang tidak diduga berlaku ke atas diri anda.



Kehilangan pekerjaan, ditimpa kemalangan atau penyakit boleh mendatangkan tekanan mental dan fizikal.



Namun dengan adanya jaminan jaringan kewangan, ini akan dapat mengurangkan sedikit tekanan itu.



Jumlah dana kecemasan yang diperlukan bergantung kepada setiap individu kata Cik Zulaikha.



Bak kata pepatah besar periuk, besar keraknya.



Semakan Jumlah Dana



Namun dalam keadaan yang tidak menentu, digenjotkan lagi dengan wabak Covid-19 yang menyekat banyak kegiatan ekonomi, Cik Zulaikha kini berpendapat ada warga yang mungkin perlukan dana kecemasan yang boleh tahan sehingga setahun.



Bersetuju dengan pendapat itu ialah usahawan dan penceramah motivasi kewangan Encik Abu Ayuabul Ansari.



"Covid-19 telah membuktikan peri pentingnya persiapan dana kecemasan.



"Biasanya kita perlu simpan tiga hingga enam bulan perbelanjaan untuk dana kecemasan namun kini angka itu sudah berubah menjadi setahun bahkan mungkin perlu simpan untuk dua tahun," katanya.



Encik Abu yang menganjurkan ceramah kewangan di serata dunia memerhatikan ramai yang tidak dapat menyimpan dana kecemasan kerana perbelanjaan yang tinggi sehingga tiada duit lebihan.



Oleh itu beliau menasihatkan warga supaya mulakan tabiat menabung secepat mungkin.



Salah satu tip yang beliau sarankan ialah mengetepikan 10 peratus dari pendapatan bulanan untuk dimasukkan ke dana kecemasan.



Anda juga wajar hitung perbelanjaan sara hidup bagi jangka masa yang diinginkan dan jadikan itu sebagai sasaran dana kecemasan.



Anda kemudian boleh mengalihkan sebahagian daripada gaji anda untuk membina dana kecemasan.



Setelah dana itu mula berkembang, laburkan simpanan tambahan untuk jangka masa panjang.



Setelah anda memaksimumkan dana kecemasan, anda boleh mempertimbangkan simpanan lain untuk dilaburkan dengan risiko dan ganjaran yang lebih tinggi.



Jenis Aset dalam Dana Kecemasan



Wang tunai wajar dijadikan aset utama dalam dana kecemasan anda.



Sebaiknya ia mudah diakses tetapi tidak terlalu mudah hingga anda tergoda membelanjakannya untuk perkara bukan kecemasan.



Dana kecemasan yang mudah tunai boleh membantu anda elak daripada menggunakan kemudahan kredit atau pinjaman yang mempunyai kos tinggi.



Banyak terdengar kisah warga yang jatuh ditimpa tangga - kehilangan kerja lalu terpaksa meminjam dari tailong atau peminjam wang tidak berlesen. Faedah tinggi yang dikenakan pemiutang menyebabkan mereka terjerumus lebih dalam.



Wadah Simpanan



Menyimpan dana kecemasan di bawah tilam atau atas almari mungkin bukan pilihan yang paling bijak.



Lazimnya akaun simpanan bank boleh menawarkan wadah mudah lagi selamat untuk dana kecemasan anda.



Anda mungkin perlu ada akaun simpanan berbeza untuk dana kecemasan.



Elak mohon kad ATM bagi akaun dana kecemasan itu agar anda tidak mudah 'terbelanja' simpanan itu.



Tabung kecemasan anda seeloknya perlu disimpan di dalam akaun yang:



  • Selamat daripada risiko pasaran agar anda mempunyai cukup dana pada saat ia diperlukan.

  • Tetap mendapat keuntungan agar wang kecemasan anda boleh bertambah.

Anda juga boleh menyertai skim Save As You Earn (SAYE) yang ditawarkan POSB. Skim ini akan secara automatik memotong sejumlah wang dari gaji anda setiap bulan untuk dimasukkan ke akaun simpanan khas.



Terdapat juga skim Thrift & Loan (Jimat dan Pinjam) yang ditawarkan di tempat kerja untuk menggalak para pekerja untuk menabung.



Skim itu antara lain menawarkan khidmat simpanan dana yang selamat berserta pulangan dividen setiap tahun. Seperti SAYE, sebahagian gaji pekerja akan dipotong setiap bulan dan potongan itu disalurkan ke dalam dana Thrift & Loan.



Cik Zulaikha pula menyarankan wadah simpanan yang seimbang - dana tunai digandingkan dengan pelan simpanan insurans.



Beliau menerangkan terdapat beberapa produk insurans yang menggabungkan elemen simpanan, di samping memberi pulangan dan perlindungan insurans, yang boleh dijadikan dana kecemasan.



"Sebagai contoh terdapat produk seperti pelan endowmen atau polisi berkaitan pelaburan yang boleh membantu warga menabung untuk dana kecemasan.



"Biasanya, polisi itu juga menawarkan perlindungan insurans jika berlaku kematian dan kecacatan yang tidak dijangkakan," kata beliau.



Dengan adanya perancangan dan persiapan dana kecemasan, anda boleh mengurangkan risiko dibelenggu beban hutang dan boleh menumpukan perhatian meneruskan kehidupan.




"Warga disarankan menubuhkan wadah simpanan yang seimbang - dana tunai digandingkan dengan pelan simpanan insurans. Terdapat beberapa produk insurans yang menggabungkan elemen simpanan, di samping memberi pulangan dan perlindungan insurans, yang boleh dijadikan dana kecemasan."
- Pengurus Kanan Great Eastern Life Co, Cik Zulaikha Ahamed Kutty



"Covid-19 telah membuktikan peri pentingnya persiapan dana kecemasan. Biasanya kita perlu simpan tiga hingga enam bulan perbelanjaan untuk dana kecemasan namun kini angka itu sudah berubah menjadi setahun bahkan mungkin perlu simpan untuk dua tahun."
- Usahawan, penceramah motivasi kewangan Encik Abu Ayuabul Ansari




PANDUAN BINA DANA KECEMASAN



Dana Kecemasan



Wang yang disimpan untuk membiayai kejadian kewangan yang tidak diduga misalnya:

- Kehilangan pekerjaan

- Kecemasan perubatan

- Kerosakan kediaman, kenderaan



Jumlah Dana kecemasan/Cara Menabung

Lazimnya enam bulan perbelanjaan bulanan namun memandangkan wabak Covid-19 yang berlarutan selama lebih setahun, ada pakar yang menyarankan simpanan hingga dua tahun.



Ketepikan 10 peratus dari pendapatan setiap bulan

- Guna skim Save As You Earn

- Sertai skim Thrift & Loan



Jenis Aset

Tunai atau aset mudah tunai



Wadah simpanan

- Tunai

- Akaun simpanan bank dengan pulangan tinggi

- Simpanan tetap

- Pelan simpanan insurans

- Skim Thrift & Loan




tanyaBH



SISTEM kewangan yang semakin rumit dalam dunia yang tidak menentu akan membuka pelbagai persoalan bagi warga.



Apakah pelaburan yang wajar anda pertimbangkan? Adakah anda mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi? Bagaimana anda memastikan anak-anak dapat berdaya tahan dari sudut kewangan di masa depan?



Jika anda mempunyai persoalan berhubung kewangan, kirimkan kepada kami. Wartawan Berita Harian/Minggu dengan kerjasama pakar dan pengamat kewangan akan menawarkan jawapan untuk anda. Kami juga mengalu-alukan maklum balas, sumbangan pandangan serta pengamatan pakar dan pengamat berhubung topik kewangan untuk disiarkan dalam ruangan ini. Kirimkan soalan atau sumbangan wacana berhubung kewangan kepada: bhnews@sph.com.sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >