PENUMPANG Singapore Airlines (SIA) dan SilkAir yang berlepas dari Singapura, Jakarta dan Medan kini boleh menempah ujian Covid-19 sebelum keberangkatan dan menerima keputusan ujian melalui satu laman sehenti.
Program perintis itu yang dilancarkan semalam merupakan usaha terkini SIA Group untuk mengembalikan keyakinan dalam penerbangan antarabangsa yang terjejas teruk dek pandemik Covid-19.
Jika berjaya, laman itu akan diperluaskan kepada lebih banyak bandar dalam rangkaian penerbangan SIA dan SilkAir dalam beberapa bulan mendatang, menurut syarikat itu dalam kenyataannya.
Menerusi laman baru itu, penumpang boleh memilih kemudahan ujian yang diiktiraf daripada satu senarai dan membuat janji temu bagi ujian serologi dan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19 sebelum keberangkatan. Tempahan ujian tersebut boleh dilakukan sehingga 48 jam sebelum tempoh ujian yang diperlukan.
Keputusan ujian akan dimaklumkan kepada mereka dalam tempoh 36 jam melalui laman yang sama dan penumpang boleh menunjukkan keputusan ujian itu semasa check-in di lapangan terbang.
Kakitangan check-in lapangan terbang dan pihak berkuasa imigresen Singapura boleh menggunakan kod respons pantas (QR) yang disertakan untuk mengesahkan keputusan itu, kata SIA.
Ini adalah sebahagian daripada proses pengesahan kesihatan digital yang sedang diuji SIA sejak Disember lalu berdasarkan rangka kerja Pas Perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata).
SIA berkata laman baru itu juga akan dapat merangkumkan pas kesihatan digital yang menunjukkan status Covid-19 penumpang.
Encik Todd Handcock, Presiden Asia-Pasifik Collinson Group, yang bekerjasama dengan SIA bagi laman baru itu, berkata usaha itu akan membolehkan pembukaan semula yang selamat bagi laluan utama untuk penumpang.
"Sekalipun terdapat sikap optimis bahawa pelancaran vaksin akan membantu mengakhiri pandemik, masih ada jalan yang rumit di depan. Demi mengembalikan keyakinan dalam penerbangan, pelaksanaan protokol ujian yang selamat dan berkesan kekal penting," kata beliau.
Naib presiden kanan bagi perancangan pemasaran SIA, Cik JoAnn Tan, berkata laman itu akan memberikan penumpang SIA dan SilkAir pengalaman tempahan yang lebih lancar.
"Merintis ujian sebelum keberangkatan sehenti merupakan sebahagian usaha berterusan kami untuk menyediakan khidmat penting kepada penumpang semasa waktu ini, dan juga pengalaman sebelum penerbangan yang lebih lancar," kata beliau.