Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Squid Game' K-drama kegilaan terkini

Drama Netflix libat 456 peserta yang rela gadai nyawa demi menangi hadiah 45.6 bilion won ($52 juta)
Oct 10, 2021 | 05:30 AM



'Mugunghwa kkochi piotsseumnida'



MUNGKIN bagi mereka yang tidak menonton drama popular Korea di Netflix, Squid Game akan terpinga-pinga dengan ungkapan itu.



Tetapi itulah bait lagu yang kian popular dan kini tular di pelbagai wadah media sosial.



Bait lagu tersebut yang secara literal bermakna, "Bunga raya telah mekar" - merujuk kepada bunga kebangsaan Korea Selatan.



Ia dinyanyikan oleh patung gergasi berbaju kuning dalam salah satu adegan drama itu.



Drama itu mengisahkan bagaimana 456 peserta yang hidup dalam kesempitan akibat hutang keliling pinggang begitu terdesak sehingga sanggup menggadai nyawa dan menyertai permainan Squid Game



Permainan itu menawarkan hadiah wang tunai 45.6 bilion won ($52 juta).



Namun, apa yang menggerunkan, meskipun permainan yang dimainkan merupakan permainan tradisional yang kerap kali dimainkan kanak-kanak Korea semasa kecil, mereka yang tidak mengikuti peraturan atau kalah, akan ditembak mati serta-merta.



Hanya peserta terakhir sahaja yang dapat merebut hadiah tersebut.



Drama sembilan episod itu berjaya menarik perhatian penonton Netflix seluruh dunia.



Ia berada dalam carta 10 drama paling ditontoni di Netflix di Amerika Syarikat, menjadikannya drama Korea pertama berbuat demikian.



Malah ia dikatakan lebih popular daripada drama Sepanyol terkenal, Money Heist.



VIDEO PARODI



Justeru, tidak hairanlah demam Squid Game mula melanda penonton negara ini dengan ramai yang membuat "meme" atau meniru adegan daripada drama tersebut, dengan ada yang diubah suai mengikut cita rasa mereka sendiri.



Antara mereka termasuk pengguna TikTok @jazephua, yang terbawa-bawa dengan salah satu babak siri tersebut.



Beliau telah menghasilkan video mirip senario drama itu dan ia berjaya menerima lebih dua juta tontonan.



Ia merupakan adegan antara pelakon utama Seong Gi-hun lakonan Lee Jung-jae dengan pelakon Gong Yoo, selaku perekrut - bermain permainan Ddakji - yang memerlukan pemain menterbalikkan kertas lipatan pesaing dan orang pertama yang melakukan demikian, menang.



Di samping itu, ramai juga yang telah menghasilkan video parodi siri Netflix itu dengan kebanyakannya mencuit hati sehingga tidak kering gusi penonton dibuatnya.



Antara video yang viral di TikTok adalah oleh penerbit kandungan, Mohammad Ridhwan Mohamad Shafari, 26 tahun, yang lebih dikenali dengan gelaran Ahfat dan @thesharkyyboyy di media sosial.



Video parodinya itu mendapat lebih 190,000 tontonan dan 29,400 reaksi tanda suka di TikTok hingga Rabu lalu.



Dalam video parodi itu, beliau berlakon sebagai seorang 'mak cik', yang turut serta dalam permainan pertama siri itu di mana peserta tidak boleh bergerak apabila pemain di depan menoleh kepalanya.



Kemungkinan besar 'mak cik' itu tidak dapat bertahan dalam permainannya oleh kerana akan melatah setelah terdengar bunyi tembakan.



Menurutnya, beliau tidak menyangka peserta permainan itu akan ditembak jika gagal mengikut peraturan permainan.



"Saya terperanjat apabila mereka mula menembak dan saya melatah sendiri ketika menonton. Itulah tercetusnya idea di mana apa yang akan berlaku jika seorang mak cik melatah semasa bermain permainan itu," selorohnya.



Mohammad Ridhwan menyedari tabiat melatah adalah sesuatu yang khusus berlaku dalam masyarakat Melayu sahaja.



"Oleh itu, video itu juga bertujuan untuk bercakap tentang masyarakat kita, dan pada masa yang sama mengejek tabiat tersebut," jelasnya.



Di samping itu, seorang lagi pengguna media sosial, Faris Samri, 29 tahun, juga telah menerbitkan video parodi yang menerima sambutan baik di beberapa wadah media sosial seperti Facebook, Instagram, dan Twitter.



Secara keseluruhan, sebanyak 30,300 penonton menyambut baik video parodinya di ketiga-tiga wadah tersebut. Sehingga Rabu lalu, ia menerima hampir 300,000 tontonan.



Menurut Faris, video parodi terbitannya itu adalah hasil cetusan inspirasi seorang pencipta kandungan di mana beliau membayangkan dirinya dalam situasi tersebut.



Dalam videonya, Faris menggambarkan bagaimana dan sebab peserta Melayu mungkin menyertai permainan Squid Game.



"Kandungan video itu kebanyakannya adalah pengalaman saya sendiri semasa bergaul dengan rakan-rakan, dan pada masa itu, saya juga mengambil kesempatan untuk bercanda dengan diri sendiri," ujarnya.



"Singapura berbilang kaum dan saya rasa ramai yang segan untuk memanfaatkan isu perkauman kerana ia agak sensitif.



"Tetapi saya rasa, asalkan kita tetap menghormati antara satu sama lain dan tidak melampaui batas, kita boleh saling ketawa bersama.



"Menerbitkan unsur lucu perkauman bukan mudah tetapi ia satu cabaran bagi saya untuk mencapainya," kata Faris yang menyifatkan videonya itu sebagai satira bagi masyarakat Melayu.




PARODI VERSI MELAYU



"Saya terperanjat apabila mereka mula menembak dan saya melatah sendiri ketika menonton. Itulah tercetusnya idea di mana apa yang akan berlaku jika seorang mak cik melatah semasa bermain permainan itu."
- Mohammad Ridhwan Mohamad Shafari.




"Singapura berbilang kaum dan saya rasa ramai yang segan untuk memanfaatkan isu perkauman kerana ia agak sensitif.

Menerbitkan unsur lucu perkauman bukan mudah tetapi ia satu cabaran bagi saya untuk mencapainya."

- Faris Samri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >