Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Terus bantu pekerja... tapi Zainal Sapari kini di belakang tabir

Oct 26, 2020 | 05:30 AM



PADA satu pagi di akhir Mac 2012, seorang lelaki berusia hampir separuh abad dilihat menyapu sampah di sebuah blok HDB 17 tingkat.



Lelaki itu adalah Encik Zainal Sapari, yang pada ketika itu ketua unit bagi pekerja kontrak dan sambilan di Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) selama setahun.



Menurut Encik Zainal, ada pihak yang menganggap beliau sekadar mengemis publisiti.



Namun, beliau berbuat demikian kerana ingin mengalami sendiri cabaran membersihkan flat HDB, berlatar perbincangan rancak di parlimen dan di dada media pada ketika itu mengenai gaji yang sesuai bagi pekerja pembersihan.



"Selain itu, saya juga ingin menyampaikan hujah saya di parlimen dan berkata bahawa saya telah melakukan sendiri kerja pembersihan dan ia bukan perkara yang mudah dan pekerja layak dibayar gaji lebih tinggi," kata Encik Zainal.



Sebenarnya, sikap Encik Zainal yang berani bersuara dan tidak segan menyingsing lengan baju itu menggambarkan perilakunya sepanjang khidmat dua penggal sebagai AP.



Encik Zainal, bekas guru yang menjadi tokoh politik dan selanjutnya dikenali sebagai pembela nasib pekerja gaji rendah tidak pernah tersipu-sipu menyelindungi pendapatnya, juga di media sosial, walau ada kalanya perbuatan itu mengundang maklum balas yang boleh mencetus perbahasan awam.



Kini, selepas lebih tiga bulan beliau tidak lagi bergelar AP dan mempunyai lebih banyak masa untuk mengimbas kembali pengalamannya, Encik Zainal berkata beliau tidak pernah menyesali perbuatannya untuk menyuarakan pendapat.



"Sama sekali tidak... tiada apa-apa yang ingin saya lakukan dengan cara yang berbeza," ujar beliau, menjawab soalan sama ada pandangan belakang atau hindsight kini mendorongnya berfikiran sedemikian.



"Tapi, apa yang mungkin saya boleh lakukan secara berbeza adalah menggunakan perkataan lebih peka semasa mengutarakan pendapat yang sama supaya hujah saya tidak boleh ditukil secara salah atau diulangi di luar konteks.''



Satu contoh hujah Encik Zainal yang mengundang kontroversi adalah apabila beliau menggunakan frasa 'slavery of the poor' atau penghambaan orang miskin untuk menggambarkan nasib pekerja gaji rendah di Singapura.



Encik Zainal pertama kali mengaitkan nasib pekerja gaji rendah dengan penghambaan semasa menyertai perbahasan Belanjawan di parlimen pada 2012 dan selanjutnya dalam blog pada Januari 2016.



Sekitar dua tahun lalu, Encik Zainal, semasa membentangkan usulan supaya pekerja bergaji rendah diberikan bonus bulan ke-13 dan menggesa agar sumbangan majikan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) tidak dikurangkan, berkata pekerja gaji rendah bak hamba yang tiada banyak pilihan lain, dan terpaksa bekerja hampir seumur hidup mereka.



Selain itu, beliau juga pernah menimbulkan isu mengenai syarat dalam kontrak sebahagian pekerja keselamatan dan pemandu lori yang menuntut pekerja-pekerja ini tidak berpindah ke syarikat lain untuk menjawat tugas yang sama selama antara dua dengan enam bulan selepas berhenti.



Nalurinya yang suka bergurau juga pernah mengundang perhatian.



Pada Disember 2018, jawapannya yang bersahaja kepada soalan Duta Kelana Profesor Tommy Koh dalam perbincangan meja bundar mengenai gaji pekerja yang diadakan The Straits Times (ST) menjadi bahan berita.



Profesor Koh telah berkata bahawa PWM (Model Gaji Progresif) perlu diperluas kepada lebih banyak sektor dan WIS (Tambahan Pendapatan Daya Kerja) perlu ditambah dalam perbincangan yang turut melibatkan pengerusi Temasek Holdings Lim Boon Heng, yang juga bekas menteri dan ketua pergerakan buruh.



Menjawab, Encik Zainal berkata: "Itu (Keputusan) di luar gaji saya."



Encik Zainal, yang masih berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agung NTUC, tertawa kecil apabila insiden itu ditimbulkan semasa ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini.



Namun, dalam sesi wawancara yang menyentuh pelbagai topik yang dekat di hatinya itu, Encik Zainal kembali serius apabila bercakap mengenai nasib pekerja bergaji rendah, terutama semasa menekankan peri penting meningkatkan kesedaran awam mengenai perkara-perkara ini.



"Sebenarnya, apa sahaja yang saya katakan adalah suara pekerja dan saya sekadar bertindak bak pembesar suara bagi keprihatinan mereka," kata Encik Zainal, yang pernah menjadi pengerusi jawatankuasa perikatan tiga pihak yang membentuk usulan mempertingkat pekerja bergaji rendah.



Sejak 2017, nasib pekerja bergaji rendah telah berubah menjadi lebih baik, dengan tiga sektor pembersihan, keselamatan dan landskap kini menyertai PWM yang bersama skim pemerintah lain memperuntuk gaji lebih tingi bagi pekerja-pekerja gaji rendah dalam sektor itu, yang diselaraskan dengan kemahiran mereka.



Di masa depan, PWM itu juga akan diluaskan kepada sektor-sektor lain.



Malah, di parlimen baru-baru ini, Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia, Encik Zaqy Mohamad, berkata gaji sebenar di tiga sektor di mana PWM telah dilaksana telah meningkat sekitar 30 peratus sejak beberapa tahun lalu, melebihi pertumbuhan gaji median 21 peratus bagi semua sektor.



Namun, Encik Zainal pantas menolak apabila dicadangkan bahawa sumbangannya dalam melaksanakan PWM dan membantu pekerja gaji rendah telah menjadikannya sinonim dengan gelaran pembela pekerja golongan itu.



"Ia bukan saya sahaja dan ada ramai penggerak yang menjadikan usaha itu realiti," kata Encik Zainal, yang berkata Encik Lim Swee Say (bekas ketua pergerakan buruh dan menteri) dan Encik Tharman Shanmugaratnam (bekas Timbalan Perdana Menteri, kini Menteri Kanan) antara yang berperanan utama dalam usaha itu.



Sikap Encik Zainal yang rendah hati itu mungkin boleh dijejak ke pengalamannya mendewasa dalam keluarga bergaji rendah.



Bapanya memikul tiga tugas - sebagai pekerja pembersihan, pekebun dan pengawal keselamatan - sementara ibunya pula bekerja sebagai pembantu rumah.



Keluarga tujuh beranak itu tinggal di rumah pembantu di pekarangan rumah majikan ekspatriat di 30 Malcolm Road, di daerah Bukit Timah, sebelum berpindah ke flat HDB tiga bilik di Bedok apabila beliau berusia 14 tahun.



Meskipun kehidupan keluarganya sederhana, mereka tidak pernah berasa kekurangan, kata Encik Zainal.



"Kami tidak pergi melancong ke luar negeri dan membeli-belah mewah... tapi makan pakai kami cukup dan kami tidak pernah ada perkara yang tidak mencukupi,' kata beliau.



Encik Zainal akur, beliau bukan seorang pelajar yang rajin atau mendapat keputusan cemerlang. Namun, beliau mula berusaha lebih gigih di sekolah menengah selepas sedar bahawa ibu bapanya bertungkus lumus bekerja untuk memberinya peluang untuk belajar dan berjaya dalam hidup.



Sikapnya yang candi dan bersahaja itu juga rupa-rupanya dipupuk sejak di zaman sekolah.



Dalam interviu yang dijalaninya semasa memohon untuk mendapatkan biasiswa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) pada usia sekitar 17 tahun, Encik Zainal menjawab beliau ingin menjadi Anggota Parlimen (AP) kepada soalan mengenai cita-citanya.



"Sebaliknya, saya tidak ada hasrat sedemikian... tapi pada hari itu, saya baru membaca artikel di akhbar mengenai pilihan raya umum yang akan datang,' kata beliau, tertawa.



Encik Zainal, yang menuntut di Sekolah Menengah St Andrew's dan Maktab Rendah Temasek kemudian melanjutkan pengajian ke Universiti Nasional Singapura (NUS), berbekal biasiswa yang diterima daripada Kementerian Pendidikan (MOE).



Selepas lulus dengan Kepujian Kelas Kedua pada 1991, Encik Zainal memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Tampines, sebelum berpindah ke Sekolah Rendah East Spring sebagai Naib Pengetua.



Pada 2004, beliau berpindah ke Sekolah Rendah Mayflower sebagai pengetua, di mana beliau kekal sehingga 2009 dan selanjutnya dinaikkan pangkat menjadi superintenden sekolah-sekolah.



Sekitar tempoh itu, beliau juga melengkapkan kursus sarjana dalam pengurusan pendidikan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).



Pada Mac 2011, beliau berpindah ke NTUC pula, menyemarak desas-desus beliau akan disertakan sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi pilihan raya umum (GE) tahun itu.



Menurut Encik Zainal, beliau tidak pernah mempunyai sebarang kecenderungan atau minat untuk memasuki politik, tetapi berubah fikiran selepas menghadiri 'sesi teh' bersama Dr Yaacob Ibrahim ( pada ketika itu Menteri Sekitaran dan Sumber Air merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam), Presiden Puan Halimah Yacob (pada ketika itu AP di GRC Jurong) dan Dr Maliki Osman (pada ketika itu AP di GRC Sembawang).



Antara lain, ketiga-tiga anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu meyakinkan beliau menjadi AP adalah satu cara memberikan sumbangan lebih bermakna kepada warga Singapura.



Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang kini Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, turut memberinya kata rangsangan dan nasihat pada ketika itu, menurut Encik Zainal.



Mengimbau balik khidmatnya sebagai AP, Encik Zainal berkata antara perkara yang paling dirinduinya ialah interaksi dengan penduduk dan peluang untuk menyuarakan keprihatinan mereka di parlimen.



Menurut Encik Zainal interaksi dengan penduduk ini memberinya gambaran lebih jelas mengenai kesan dasar pemerintah terhadap warga Singapura dan sama ada ia mempunyai kesan yang tidak dijangkakan.



Selain menjadi wakil rakyat, Encik Zainal juga pernah mewakili Singapura di Kesatuan Parlimen Antarabangsa, iaitu pertubuhan sedunia bagi parlimen negara-negara yang antara lain bertujuan menggalak demokrasi dan pemerintahan yang telus.



Encik Zainal juga mewakili Singapura sebagai anggota eksekutif Persatuan Parlimen Komanwel pada 2017, peranan yang meninggalkan kenangan manis baginya.



Tahun lalu, sumbangan Encik Zainal kepada Singapura dan masyarakat diiktiraf Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang memberinya Anugerah Pencapaian Alumni NTU.



Namun, menurut Encik Zainal, pengiktirafan sedemikian bukan perkara yang dikejarnya kerana berkhidmat kepada masyarakat.



Menurut Encik Zainal, sepanjang khidmatnya sebagai AP, beliau hanya berpandukan dua dorongan utama - membantu orang yang memerlukan dan melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan kepadanya dengan ikhlas, seperti yang dinasihatkan oleh arwah ibunya.



Meskipun beliau berkata tidak mempunyai sebarang sesalan sepanjang kerjaya sebagai AP, tetapi Encik Zainal akur beliau berasa sedikit emosi semasa beliau mengangkat sumpah sebagai AP kerana teringatkan arwah ibunya.



Ibunya meninggal dunia sebelum beliau menjadi AP.



"Saya rasa mungkin beliau akan berasa begitu bangga melihat saya jadi AP," kata Encik Zainal, ringkas, tetapi matanya penuh emosi.



Buat masa ini, beliau menggunakan masa lapang yang bertambah untuk mendampingi isteri dan enam anaknya, yang berusia antara 13 dengan 27 tahun.



Namun tugasnya, terutama untuk membantu pekerja di Singapura menerusi pergerakan buruh masih belum selesai dan harus diteruskan, kata Encik Zainal.



"Bagi saya tugasnya serupa... tetapi kini saya bertugas di balik tabir, itu sahaja," ujar beliau.



*Artikel in telah dikemas kini. 




USAHA BANTU PEKERJA GAJI RENDAH



2011



Melobi bagi Model Gaji Progresif (PWM).



2012



  • Menggesa pemerintah mendahului usaha mengubah pemikiran pembeli khidmat daripada 'penyumberan murah' kepada 'penyumberan terbaik' bagi memastikan pekerja sektor pembersihan, keselamatan dan landskap dibayar gaji secara adil.

2013



  • Meminta Kementerian Tenaga Manusia (MOM) membiayai kajian untuk memberi gambaran gaji yang diperlukan untuk menyara hidup di Singapura.

  • Mengusul supaya surat gaji mandatori, bayaran bagi bekerja pada hari cuti dan manfaat perubatan diberikan kepada pekerja bergaji rendah.

  • Berperanan dalam penubuhan Pusat U Care (UCC), pusat sehenti bagi pekerja mendapatkan bantuan berhubung pekerjaan.

2014



  • PWM dilaksanakan bagi sektor pembersihan, dan menyusli itu bagi sektor landskap dan keselamatan.

  • Menggesa supaya kursus Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) disemak.

2015



  • Mengusul kepada pemerintah supaya menyemak Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS).

2016



  • Menekankan lagi kepada pemerintah berkenaan penyumberan terbaik dan kontrak pekerjaan 'berat sebelah' antara majikan dengan pekerja.

  • Melobi supaya surat gaji mandatori diadakan.

2017



  • Menggesa supaya kontrak lebih adil diberikan kepada pekerja.

2018



  • Menggesa supaya pembeli khidmat menyediakan tempat rehat bagi pekerja sumber luar.

  • Menggesa majikan membiayai kos rawatan luar.

  • Usul bagi gaji tambahan tahunan (AWS) dibayar kepada pekerja bergaji rendah.

2019



  • Sekali lagi meminta supaya sistem WSQ disemak untuk memastikan pekerja dari sektor pembersihan, keselamatan dan landskap mengikuti kursus yang mempertingkat kemahiran dan bukan yang mengambil masa paling singkat untuk dilengkapkan.

2020



  • Gesa pertumbuhan gaji lebih baik dan supaya pekerja gaji rendah atau pekerja khidmat penting mula digelar sebagai pakar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >