Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Tempoh kerja di rumah kian Tik Tok Tik Tok?

May 27, 2021 | 05:30 AM



"BOLEH habiskan rencana hari ini?"



"OK."



"Baik!"



Ringkas dan tidak berbunga-bunga - demikian bunyi perbualan dalam talian saya (dan mungkin ramai pekerja yang kerja di rumah) dengan penyelia, sejak akhir-akhir ini.



Kalau tidak banyak aral melintang, maka selesailah tugasan diberi tanpa banyak pertukaran perkataan.



Sebarang komunikasi berkaitan kerja telah dipermudahkan hari ini dengan adanya pelbagai wadah dalam talian.



Jika bukan Zoom, ada Google Hangout, Microsoft Teams dan paling tidak, ada e-mel dan WhatsApp atau kalau hendak kongsi pengalaman harian, ada Instagram atau Tik Tok.



Berikutan meletusnya pandemik Covid-19, pekerja yang kerja di rumah semakin terbiasa dengan wadah-wadah ini untuk berhubungan dan berbincang.



Pendek kata, kerja dapat diuruskan walaupun pekerja tidak dapat bersemuka secara fizikal dengan majikan atau ketua.



Kini, sudah lebih setahun bagi segolongan besar pekerja setempat yang kerja di rumah, termasuk saya sendiri.



Bila mungkin seantero bangunan pejabat akan diisi semula dengan pekerja dan keriuhan suara manusia?



Ataupun senario itu tidak mungkin akan wujud lagi, sedang dunia menyesuaikan diri dengan trend dan amalan bekerja baru ini?



Ramai pakar menjangkakan masa depan bekerja bersifat hibrid - kerja di rumah dan pejabat - akan semakin menjadi satu kelaziman.



Jika demikian, saya fikir, pekerja perlu perlahan-lahan menyesuaikan minda untuk menghadapi kemungkinan kembali ke tempat kerja, tidak kira sekerap dahulu atau tidak.



Ini termasuk 'mengasah' semula kemahiran insaniah, komunikasi dan sosial.



Maklumlah, agak sekian lama saya sendiri tidak menyertai kegiatan sosial seperti acara menjalin rangkaian.



Terdetik juga di hati ini, jika masa itu tiba, apakah saya (dan rakan pekerja yang kerja di rumah lain) - yang semakin selesa dengan perhubungan dan pertemuan secara maya - akan menjadi kekok apabila bertembung mata semula dengan orang lain?



Apakah kita dapat menghidupkan semula semangat berpasukan dan ukhwah dengan rakan kerja seperti prapandemik, memandangkan kita kini sudah biasa bekerja 'sendirian berhad'?



Meninjau pandangan tentang cabaran dihadapi pekerja apabila kembali ke pejabat seperti sediakala, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group, Encik Suhaimi Salleh, berpandangan pengajaran paling penting daripada Covid-19 ialah betapa pentingnya kemahiran insaniah seperti keupayaan menyesuaikan diri dan ketangkasan.



"Ini penting kerana kededuanya adalah kemahiran yang membolehkan pekerja cepat menyesuaikan diri dengan norma baru. Cabaran menyesuaikan diri dengan cepat dalam norma baru adalah pelbagai bentuk dan berbeza-beza untuk kumpulan pekerja yang berlainan," ujarnya.



Jelas Encik Suhaimi, sudah terbukti norma baru kini berpusat pada sekitaran perniagaan yang diubah secara digital. Lantas tabiat bekerja dan bersosial, perhubungan dan norma berkomunikasi telah berubah dan akan terus berubah.



"Jadi, kita perlu belajar norma sosial dan perniagaan baru dalam interaksi harian kita dengan orang dan pertubuhan yang menggunakan wadah digital baru," tambahnya.



Bersetuju, Pengarah Eksekutif Mendaki Sense, Encik Benjie Ng, berkata satu kemahiran insaniah harus diamalkan ialah kebolehsesuaian apabila berada dalam keadaan tidak dijangkakan.



"Kita semua sudah menyesuaikan diri dengan norma baru, jadi apabila balik ke pejabat nanti, pemahaman kemahiran insaniah ini, khususnya berkaitan komunikasi dan kerja berpasukan, sudah berubah.



"Buat masa ini, kita semua bekerja secara 'silo' di rumah, sambil mengekalkan hubungan pasukan menerusi maya, seperti sidang video.



"Maka dengan kembali semula kepada cara bekerja bersama, secara fizikal, untuk mencapai usaha kerjasama dan memupuk perpaduan antara rakan kerja, akan menjadi satu cabaran yang harus diatasi pasca-Covid-19 apabila kita kembali ke tempat kerja," terang Encik Ng.



Sedang ramai bekerja secara berasingan atau hibrid, budaya mengadakan mesyuarat secara spontan telah lenyap, kata Profesor Madya Jayanth Narayanan, Pengarah Akademik Program Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Pengurusan Modal Insan dan Analitik, Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS).



Katanya, kebanyakan interaksi kini berjadual, justeru satu cabaran adalah mewujudkan rutin baru.



"Adalah tidak jelas juga jika adanya satu pasca-Covid-19, dengan kita kembali kepada keadaan sediakala. Setiap rutin kini akan diteliti semula... Aspek paling mencabar dalam hakikat baru ini ialah menyesuaikan diri dan bergerak dalam cara bekerja baru," ujar Profesor Narayanan.



Meskipun dengan cabaran ini, pengamat tidak fikir yang pekerja akan 'terlupa' cara bersosial atau berhubungan apabila bersemuka dengan rakan kerja atau orang luar lain.



Profesor Madya Leong Chan-Hoong daripada Pusat bagi Kajian Gunaan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) berpendapat:



"Pemasyarakatan dalam sebuah kumpulan sudah dalam DNA kita selama ribuan tahun. Jadi, menjalin rangkaian secara bersemuka terus memainkan peranan besar dalam perhubungan.



"Tetapi tentunya akan ada segelintir yang tidak mahu bersemuka lagi kerana selesa dalam kepompong mereka, menerusi e-mel dan Zoom, misalnya. Ini sesuatu yang membimbangkan jika mereka berandaian dapat mencapai semua dalam keselesaan rumah mereka."



Profesor Narayanan berkata manusia adalah makhluk sosial yang tidak akan lupa cara bersosial, maka satu sebab kita pergi bekerja adalah untuk memenuhi keperluan sosial.



"Malah, kita mungkin akan berhubungan lebih rapat apabila bersua, kerana kita akan lebih sedar betapa berharganya interaksi ini dan tidak akan ambil ringan," tambahnya.



Meskipun kita semakin biasa dengan perhubungan dalam talian, naluri kita akan terus mencari komunikasi dengan manusia, pasca-Covid-19, kata Encik Ng.



"Jadi, bukan 'terlupa' tetapi pekerja harus mengatasi rasa kekok setelah tidak bersemuka sekian lama," jelasnya.



Dalam hal ini, majikan boleh memainkan peranan untuk membantu pekerja membuat peralihan.



Sebagai permulaan, Profesor Leong menyarankan majikan melakukan latihan dan kemahiran semula secara hibrid - dalam talian dan bersemuka - sehingga keadaan benar-benar selamat.



Encik Suhaimi mengusulkan majikan mengenal pasti kursus bersesuaian untuk kategori pekerja berbeza-beza.



Misalnya, golongan Baby-boomers dan Gen X yang ada cabaran berhubungan dan beroperasi dalam talian, akan memerlukan sokongan paling banyak untuk beroperasi secara berkesan dalam sekitaran digital.



"'Digital Natives' atau mereka yang meluangkan banyak masa dalam dunia digital akan meraih manfaat daripada kursus yang membantu mereka membangunkan hubungan 'dunia sebenar' seperti kecerdasan emosi dan hubungan pasukan," saran Encik Suhaimi.



Memang ada kebenaran dalam saranan itu - sebab ia mengingatkan saya tentang rakan milenial 'yang selesa kerja di rumah kerana lebih suka tidak jumpa orang' manakala seorang teman berusia separuh abad 'rasa cemas setiap kali harus bersidang menerusi video sebab takut salah picit butang'.



Natijahnya, sebagai pekerja zaman ini, tidak kira adanya pandemik atau tidak, perlu selesa beroperasi dalam dan luar talian.



Ini bukan lagi satu pilihan, tetapi tuntutan agar kita terus relevan dan bergaji, lebih-lebih lagi dalam dunia pasca-Covid-19 yang belum ada ketentuannya.



Oleh sebab itu, kita semua tidak boleh terlepas daripada hakikat ini, jadi mari kita saling menyokong - dan 'follow' sesama sendiri.



@atiyyahms di IG dan Tik Tok




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >