Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Urus restoran baru kembalikan semangat penyanyi Kai Nizam

Kegagalan rumah tangga, pembatalan konsert jelajah di M'sia dianggap ketentuan tiada jodoh, rezeki
Jul 05, 2021 | 05:30 AM



Tidak semudah itu menjalani kehidupan sebagai anak seni Singapura yang perlu mengimbangi tugas menghibur atau berada di belakang pentas persembahan dengan menjalankan pekerjaan sepenuh masa. Namun, demi terus membakar nyala rasa terhadap seni, mereka melakukannya dengan penuh kegigihan di samping mencari bidang lain untuk diceburi dalam tempoh pandemik Covid-19. BERITA HARIAN melaporkan kisah dua anak seni berikut.




SELAMA lebih setahun, penyanyi bersuara serak-serak basah, Kai Nizam, cuba mengubati jiwanya yang lara dek rumah tangga yang dipukul badai dan akhirnya menemui kegagalan.



Selesai episod itu, di kala beliau menyangka penawar duka datang bersama kehadiran seorang wanita yang membalut lukanya, bunga idaman itu pula pergi kerana mungkin rimas dengan desakan Kai dan tidak selesa terikat dengan satu hubungan cinta.



Perasaan negatif cinta ditolak dua wanita mula menyaluti jiwa Kai, 32 tahun, yang nama sebenarnya, Muhammad Khairul Nizam.



Dalam menangani kalut emosi, beliau meluahkan segalanya dalam lagu tetapi terasa lebih penat dan jenuh kerana tiada apa yang dapat dijadikan sandaran jangka panjang.



Secara kebetulan juga, rancangannya menjelajah Malaysia bersama band Moliano In Rock bagi projek kolaborasi Sambutlah Kasih(20 Tahun) dengan penyanyi Malaysia, Aweera dan Azlan Typewriter juga terpaksa dibatalkan kerana Covid-19.



Namun, sejak beberapa bulan lalu, Kai bulatkan tekad meluputkan segala kekecewaan dalam hidupnya dengan memikirkan masa depan membina semangatnya semula melalui kerjaya baru.



Beliau kini penolong dapur dan antara pasukan pengasas pengurusan restoran makanan Barat dan fusion Enam di 285 Changi Road, yang mula beroperasi sejak dua minggu lalu.



Kai bersyukur diberi kepercayaan oleh pemilik restoran, Encik John Tay, 62 tahun, dan Cef Hemran Esa, 47 tahun, untuk sama-sama menyingsing lengan membangun perniagaan tersebut.



Restoran itu antara lain menjual pasta ketam cili, nasi lemak goreng dan nasi 'lamb shank'.



Sebagaimana kata Kai dalam satu wawancara Zoom:



"Saya rasa antara usia 18 tahun dengan 32 tahun, saya sudah terlalu dimanjakan dengan kebergantungan pada ibu bapa, wanita yang pernah hadir dalam hidup saya atau rakan lain sampai saya tidak belajar erti berdikari.



"Emosi saya pula mudah terikat pada kehendak orang. Saya beri satu perumpamaan. Katakan saya nak ke stesen MRT Pasir Ris. Saya jumpa seorang wanita di stesen MRT Paya Lebar. Dia nak pergi stesen MRT Bugis. Saya akan ikuti sahaja wanita ini sampaikan saya lupa misi asal saya nak ke Pasir Ris.



"Jadi bagi saya, cukup-cukuplah berperangai seperti ini. Saya ada hidup saya sendiri. Kalau saya tak bahagiakan diri, bagaimana saya nak bahagiakan orang lain? Saya pun tak perlu terdesak cari bahagia melalui cinta seorang wanita. Ia akan datang apabila saya positif dan dapat miliki tarikan semberani.



"Buat masa ini, biarlah saya bina masa depan cerah dengan potensi kerjaya di restoran Enam selain terus menjana lagu baru."



Kai berterima kasih kepada Encik Tay dan Cef Hemran yang memberi suntikan nafas baru buatnya.



Walaupun masa kerjanya panjang seawal 8 pagi bagi mendapatkan kelengkapan dapur di pasar hingga 12 tengah malam, nikmat yang dirasakan luar biasa.



"Saya akui memang 'penat gila' bekerja dari Isnin hingga Sabtu selama 14 jam setiap hari. Sewaktu remaja, saya memang menyampah buat kerja di sektor makanan dan minuman (F&B). Sebab masa kerjanya panjang dan perlu layan banyak kerenah pelanggan.



"Bagaimanapun di restoran Enam, saya sentiasa bersemangat nak bekerja sampaikan nak ambil cuti sakit pun berat.



"Alhamdulillah dapat bos sebaik Encik Tay yang prihatin dan sentiasa beri saya perspektif berbeza tentang dunia F&B. Beliau kata, anggaplah restoran Enam macam milik saya sendiri dan macam isteri saya sendiri yang perlu disayangi dan dijaga penuh hati-hati.



"Ia membuatkan saya kadangkala mengimbas semula kesilapan saya dalam layanan kepada bekas isteri yang memungkinkan kami bawa haluan masing-masing," cerita Kai lagi.



Encik Tay juga tidak kekok menyarung seragam pekerja dan sama-sama bertungkuslumus di dapur restoran pada waktu malam apabila melihat pekerjanya sibuk memenuhi pesanan pelanggan.



Dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, beliau akur seorang anak seni di Singapura harus proaktif mencari cara mempertingkatkan diri sendiri.



Kai tertarik mencedok pengalaman baru dalam pengurusan restoran kerana diberitahu tentang laluan kerjanya di situ.



Buat masa ini, beliau dan Cef Hemran adalah orang utama yang menggerakkan restoran tersebut dan melakukan segalanya dari segi perancangan dekor, penetapan menu, kerja memasak dan layanan tetamu.



Menurutnya, Encik Tay merancang membuka cawangan baru Enam apabila jualan di situ mantap dan mendapat sambutan.



"Kalau fikir jangka panjang, saya lihat prospek pekerjaan di restoran ini, di mana apabila cawangan baru dibuka kelak, kami beralih menjadi jurulatih atau konsultan yang akan membantu membangunkannya dan melatih pekerja baru," katanya lagi.



Kai kini terasa keberkatan tertumpu pada matlamat hidup lebih jelas di mana beliau ingin menjadi insan lebih baik yang dapat menggalas amanah sebagai anak, abang, sahabat dan pekerja lebih berkesan.



Beliau ingin dikelilingi dengan sahabat positif yang akan membuatnya sentiasa bersyukur dan reda.



"Hubungan saya dengan emak lebih akrab. Beliau tempat mengadu. Susah senang saya, emak lebih tahu dan menasihati. Kalau nak relakskan fikiran, saya berbasikal di tepi pantai atau bersenam," katanya.



Di dalam arena muzik, beliau sedang menyiapkan lagu baru ciptaan bersama Asyraff Moliano dan Epul bertajuk Izinkan Aku.



"Sepatutnya, saya tak ada pun dalam projek ini. Apabila mereka menciptanya di studio, saya kebetulan ada di situ dan mereka minta saya tuliskan lirik berdasarkan pengalaman saya.



"Ia mengenai luahan rasa seorang lelaki yang ikhlas menerima seorang wanita yang mungkin sudah tertutup hati atau dek pengalaman lama, takut nak bercinta lagi," jelasnya.



Kai juga ingin lari dari kebiasaan menghasilkan video muzik yang hanya tertumpu pada dirinya dan watak wanita dalam lagu ini.



Beliau ingin libatkan penari dan pelukis sebagai satu proses luahan emosi menerusi wadah seni berbeza.



"Saya enggan pandang belakang lagi. Allah lebih tahu apa yang terbaik buat saya. Maka, saya akan terus mara dengan semangat baru," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >