Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Ustaz Fatris tidak sangka 'eh! aku ni boleh menulis rupanya...'

Kejayaan buku 'Secubit Puasa, Secukup Rasa' terbitan Ramadan tahun lalu buat Ustaz Fatris suntik minat dalam bidang penulisan
May 16, 2021 | 05:30 AM



BUKU Secubit Puasa, Secukup Rasa, yang beliau terbitkan Ramadan tahun lalu, habis dijual dan dek permintaan ramai, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, mencetaknya buat kali kedua pada awal Ramadan tahun ini.



Beliau enggan mendedahkan jumlah buku yang terjual, sekadar menyifatkan sambutan sebagai "meletop" dan di luar dugaan.



Namun, lebih penting lagi, kejayaan buku bersifat santai dan usik-mengusik, namun tetap padat dengan pengajaran mengenai ibadah puasa itu, telah menyuntik satu minat baru dalam diri mantan Mufti itu, iaitu menulis.



"Saya ni orangnya memang tidak suka menulis, malas..." kata Ustaz Fatris, sambil tertawa.



Penulis telah bersembang dengan Ustaz Fatris sambil 'mengeteh' (minum teh) lewat malam baru-baru ini.



Ini pertama kali kami bertemu setelah Ustaz melepaskan jawatannya sebagai Mufti Mac tahun lalu.



Beliau tampak sihat, bahkah kelihatan lebih muda daripada usianya yang telah mencecah lima dekad.



Mengulas mengenai 'kemalasannya menulis itu', Ustaz Fatris menerangkan ia dimilikinya sejak di bangku sekolah lagi.



Sukar membayangkan Ustaz Fatris malas menulis, kata saya, memandangkan pengikutnya di media sosial sering terhibur dengan catatan beliau termasuk puisi-puisinya yang menggamit kalbu.



Namun, Ustaz Fatris mencelah: "Itu sekadar coretan picisan saja".



Beliau menambah: "Saya memang tidak minat menulis sejak di bangku sekolah lagi. Apabila subjek karangan tu, adoi... malas sekali. Nak start menulis memang lambat," katanya.



Bagaimanapun, buku Secubit Puasa, Secukup Rasa itu menyedarkan beliau bahawa "eh, aku ni boleh menulis rupanya".



Dengan kesedaran itu, Ustaz Fatris baru-baru ini melancarkan buku keduanya - Saat Cakrawala Bersujud - yang mengisahkan kisah hidup Nabi Yusuf. Ia berdasarkan Kuliah Tafsir Surah Yusuf yang disampaikannya pada 2018 di Masjid Darul Makmur.



MENULIS UNTUK AMAL



Lantaran itulah, apabila mendapat tahu mengenai projek peningkatan masjid tersebut, Ustaz Fatris tergerak untuk mendermakan sebahagian hasil jualan bukunya itu kepada dana pembangunan masjid.



Ini meskipun, langkah tersebut mengurangkan jumlah hasil yang diraih setelah sebuah syarikat penerbitan telah pun menawarkannya kontrak yang agak lumayan bagi memasarkan dan menjual bukunya itu secara eksklusif.



"Tapi takpelah, saya sayang dengan masjid," kata Ustaz Fatris, ringkas.



Sehingga pertengahan minggu lalu, lebih 600 naskhah buku tersebut telah dijual. Ustaz Fatris telah mencetak 7,000 naskhah yang semuanya hanya boleh didapatkan secara eksklusif menerusi Masjid Darul Makmur. (Sila lihat laporan sisipan)



Sememangnya, Ustaz Fatris mempunyai hubungan sentimental dengan Masjid Darul Makmur, yang terletak di Yishun itu.



Dibesarkan di kampung di Pasir Panjang, beliau dan keluarganya berpindah ke Yishun pada 1987 setelah kampung mereka terjejas dengan pembangunan semula.



"Sejak bujang lagi saya banyak habiskan masa di Masjid Darul Makmur. Malah, apabila saya balik dari (pengajian) Mesir pada 1993, masjid itulah yang beri saya peluang sampaikan ceramah buat kali pertama, begitu juga menjadi imam solat Jumaat.



"Jadi memang sesuailah buku ini untuk manfaat masjid. Tambah dengan kuliahnya asal dari Darul Makmur. Tambah dengan memang kebetulan masjid Darul Makmur ada projek besar-besaran," tambahnya.



MEMESRAKAN ILMU TAFSIR



Selain pengajaran jelas yang dapat diperolehi daripada kisah Nabi Yusuf, Ustaz Fatris juga memilih untuk membukukannya kerana ia adalah satu-satunya kisah nabi yang diriwayatkan di dalam satu surah, dari mula hingga akhir kisahnya.



Kisah Nabi Yusuf dimulai dari mimpi, kemudian terpisah dari ayahnya iaitu Nabi Yakub, sampai berkumpul kembali dengan keluarga di Mesir.



"Kisah nabi-nabi yang lain, ia berpecah-pecah dari satu surah ke satu surah. Tapi kisah Nabi Yusuf ini unik - dari mula hingga akhir dalam satu surah berdasarkan kronologi, jadi sesuai dibukukan," ujarnya.



Ini, tambah Ustaz Fatris, memberi peluang beliau menggunakan bakatnya yang menulis dengan bahasa penceritaan untuk 'memesrakan' lagi kisah Nabi Yusuf itu kepada pembaca, dengan harapan untuk menggalak lebih ramai orang membaca buku agama.



"Apabila kita tulis mengenai sejarah yang diikat dengan susunan ayat Al-Quran, ia bentuknya bentuk tafsir, sebuah pembentangan klasikal. Tapi dengan cara ini, susah untuk buat orang 'melekat', jadi saya hendakkan kelainan.



"Saya banyak menggunakan bahasa penceritaan, tapi tidak buang sama sekali elemen penulisan tafsir," tegas beliau.



Menurut Ustaz Fatris lagi, pendekatannya itu ialah dengan harapan pembaca akan lebih mesra dengan ilmu tafsir.



"Ilmu tafsir ini adalah sesuatu yang orang 'tak biasa', orang kita biasa kalau bincang tentang ilmu fiqih, tauhid, tapi ilmu tafsir ni bukan sesuatu yang masyarakat terbiasa.



"Jadi saya mahu dekatkan masyarakat dengan ilmu tafsir, itu harapan saya," tambah Ustaz Fatris.



IKTIBAR CERITA NABI YUSUF



Dalam pada itu, kisah Nabi Yusud juga amat relevan dari segi kehidupan manusia hari ini.



Menerangkan, Ustaz Fatris berkata manusia hari ini berdepan dengan pelbagai ujian, antaranya ujian pandemik Covid-19 yang melanda dunia sekarang.



Pandemik ini, katanya, telah mendatangkan pelbagai cabaran kepada kemanusiaan - dari cabaran ekonomi, kekeluargaan dan perpisahan kerana sekatan sempadan - sambil merujuk kepada dirinya sendiri yang telah lebih setahun tidak dapat ke seberang Tambak untuk mengunjungi ibunya yang menetap di sana.



"Dengan perkembangan masa, kita tidak tahu apa lagi ujian yang akan datang.



"Tapi sepanjang sejarah, manusia yang tidak akan tewas dengan ujian itu ialah manusia yang memiliki kekuatan dan keyakinan bahawa apa pun kesulitan yang dihadapi hari ini, di penghujungnya pasti ada hikmah.



"Jadi jangan sesekali putus asa dan itu moral yang dapat kita lihat secara jelas dalam kisah Nabi Yusuf," jelas beliau.



Ustaz Fatris menarik perhatian, beliau tidak merujuk kepada Covid-19 secara langsung dalam bukunya, namun yakin pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf itu adalah kekuatan dalaman yang perlu mula dipupuk dalam jiwa setiap insan.



RINDU TUGAS MUFTI?



Ustaz Fatris tergelak apabila diajukan soalan ini, namun seketika kemudian raut wajahnya berubah menjadi lebih serius. Pandangannya dilontar jauh ke langit gelap. Jam ketika itu sudah hampir pukul 10.30 malam.



"Bagi saya, tugas Mufti adalah tugas, nombor satu, sangat unik. Sebab dalam satu-satu masa satu Singapura cuma ada satu Mufti.



"Kedua, sangat mencabar. Ketiga, sangat berwarna-warni.



"Maka dengan itu, kalau soalannya rindu ke tidak, susah juga nak cakap," katanya tersenyum panjang.



Beliau menambah:



"Takkan seseorang itu merindui warna-warna muram dalam tugas tadi kan? Tapi yang dirindui adalah peluang dan kesempatan untuk membimbing, mencorak, berjumpa orang. Saya rasa itu antara aspek yang saya rindui.



"Tapi tidaklah bermakna merindui tu macam, "Eh best la dulu jadi Mufti, sekarang nak jadi lagi" tidaklah begitu."



Ustaz Fatris menekankan beliau amat bersyukur kerana telah melepaskan jawatannya kepada seorang pengganti yang begitu berpotensi, berkaliber dan dapat memimpin masyarakat dengan baik.



Menurutnya, beliau percaya jawatan penting seperti Mufti itu tidak harus dipegang seseorang terlalu lama, justeru sembilan tahun adalah tempoh yang mencukupi bagi beliau menyerahkan tugasnya itu kepada Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir, 43 tahun.



"Peranan penting memerlukan buah fikiran, saranan dan bimbingan kita, kan? Tapi kita boleh menjangkakan kesan jika jawatan itu kita pegang terlalu lama, idea-idea baru tidak bercambah.



"Manusia macam mana pun, apatah lagi saya ini yang memang bukan seorang yang kreatif pun, ada keterbatasan dari sudut idea, dari sudut semangat, dari sudut menyumbang sesuatu yang segar untuk masyarakat," tambah Ustaz Fatris lagi.



Ustaz Fatris berkata, penggantinya tahu bahawa beliau boleh sahaja menghubunginya bila-bila masa sekiranya memerlukan sumbangan mantan Mufti itu.



Bagaimanapun, Ustaz Fatris berkata beliau prihatin untuk tidak tidak "terlalu sangat menawarkan kehadiran".



"Siapa pun yang ambil tugas kepimpinan itu perlu diberikan peluang untuk mencorak kepimpinan beliau sendiri. Sebab itu, tidak semua undangan mesyuarat saya hadir. Tidak semua isu yang minta pandangan dari saya, saya tawarkan. Ada masa OK, saya rasa beliau boleh buat keputusan sendiri," ujarnya.



MENGISI MASA



Ustaz Fatris menceritakan beliau mempunyai beberapa rancangan setelah mengundur diri tahun lalu, namun ia terjejas dek pandemik.



Justeru, beliau kini tidak bekerja sebaliknya menghabiskan sebahagian besar masanya bersama isteri, Cik Fairus Osman, seorang bekas guru madrasah. Pasangan itu suka berjalan pantas di sekitar kejiranan mereka di Yishun.



Selain itu, Ustaz Fatris juga sibuk dengan tugas part-time - menjaga cucunya, Madihah - yang berusia satu setengah tahun.



Namun, kebolehan beliau menulis karya yang diterima baik masyarakat telah melihat Ustaz Fatris mendapat tawaran menulis satu lagi buku.



Justeru, jika tidak menghabiskan masa bersama isteri dan cucu, beliau kini sibuk menulis dengan matlamat menerbitkan buku ketiganya sebelum akhir tahun ini.



"Sudah ada masjid yang mengecek kalau-kalau buku ini boleh dijadikan projek kumpul dana... tapi tunggulah, biar saya rancak menulis dulu," katanya.




"Sejak bujang lagi saya banyak habiskan masa di Masjid Darul Makmur. Malah, apabila saya balik dari (pengajian) Mesir pada 1993, masjid itulah yang beri saya peluang sampaikan ceramah buat kali pertama, begitu juga menjadi imam solat Jumaat. Jadi memang sesuailah buku ini untuk manfaat masjid. Tambah dengan kuliahnya asal dari Darul Makmur. Tambah dengan memang kebetulan masjid Darul Makmur ada projek besar-besaran.''
- Ustaz Mohamed Fatris Bakaram.




CARA DADPATKAN BUKU 'SAAT CAKERAWALA BERSUJUD'



Karya Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, 'Saat Cakerawala Bersujud', kini boleh didapatkan.



HARGA



Harga satu set buku ialah $50.00, dua set buku $100.00 dan empat set buku ialah $200.00.

Pembeli boleh memilih mendapatkan satu, dua atau empat buku bagi setiap transaksi.



PENJUALAN



Di kaunter Masjid Darul Makmur



Waktu-waktu pembukaan kaunter masjid adalah seperti berikut:



Isnin - Sabtu: 8.30 pagi - 4.30 petang

Ahad : 8.30 pagi - 1.30 petang



Dalam talian



https://campaigns.darulmakmur.sg/

Kos penghantaran $3.00 akan dimasukkan kedalam jumlah bayaran untuk satu & dua buku, dan $6.00 untuk empat buku, sewaktu melakukan bayaran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >