Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Menyebar rahmah walau dihina adalah contoh akhlak Rasulullah

Oct 20, 2020 | 05:30 AM



KITA baru sahaja memasuki bulan Rabiulawal, bulan kelahiran Nabi Muhammad saw. Dalam bulan ini, pelbagai acara sambutan selalunya dianjurkan dalam bentuk pembacaan sirah Nabi Muhammad saw, pembacaan selawat dan juga ceramah.



Majlis-majlis seperti ini lebih dikenali dengan majlis Maulid.



Di antara perkara pokok yang dianjurkan dalam mengenang kisah kehidupan Nabi Muhammad saw adalah ketinggian moral atau akhlak Baginda. Contoh akhlak Nabi Muhammad saw di dalam kehidupan hariannya sering digalakkan untuk dicontohi umatnya bukan sekadar dibaca daripada kitab-kitab maulid dan juga sirahnya.



Oleh itu, amat mendukacitakan sekali pada waktu sebegini, terbit berita seorang pemuda Muslim melakukan perbuatan ganas dengan memenggal kepada seorang guru di Paris minggu lalu. Pemuda 18 tahun yang telah ditembak mati oleh polis berasa tidak puas hati dengan guru yang dipercayai menghina Nabi Muhammad saw dalam bilik darjahnya.



Mangsa pembunuhan ganas tersebut, seorang guru sejarah dan geografi, dikatakan telah mengajar mengenai kebebasan bersuara berkaitan dengan karikatur Nabi Muhammad, yang telah menimbulkan kemarahan di kalangan rami orang Islam ketika Charlie Hebdo menerbitkannya pada 2015.



ISLAM MENCINTAI KEAMANAN



Dalam memberikan responnya terhadap insiden ini, Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir menjelaskan bahawa perbuataan ganas tersebut sama sekali tiada sebab yang membolehkan perbuatan kejam sedemikian. Bahkan ia menimbulkan penghinaan dan perpecahan lebih jauh, memaksa masyarakat Muslim bersikap defensif. Beliau menambah bahawa umat Islam tidak harus membalas kebencian dengan kekerasan atau penghinaan dengan kecederaan.



Dalam Islam, keamanan adalah pilihan utama dalam menyelesaikan segala bentuk konflik dan pergeseran. Membalas kejahatan dengan kebaikan itu adalah perbuatan yang sangat mulia dan murni. Ia juga adalah cerminan daripada akhlak Nabi Muhammad saw. Ia merupakan lambang kekuatan dan juga jihad besar apabila nafsu ammarah itu berjaya dikawal.



Sebagai manusia, sifat marah dan benci merupakan suatu naluri yang wujud dalam diri kita. Namun, tindak balas kita terhadap perasaan marah dan benci itu yang akan membezakan antara kita dengan haiwan kerana manusia itu berakal.



Apatah lagi seorang Muslim yang tindakannya harus dipacu oleh panduan agama. Sifat-sifat negatif ini sekiranya tidak dapat dikawal dengan baik, maka akibatnya sudah tentu akan menjadi lebih padah.



Mengawal sifat marah ini bukan sesuatu yang mudah. Kekuatan jiwa dan kesabaran yang tinggi itu amat perlu. Sebagai Muslim, kita dapat meneladani akhlak Nabi Muhammad saw dan mempelari cara Baginda memberi respon kepada penghinaan dan permusuhan. Marilah kita menyorot beberapa kisah daripada sirah Baginda dalam perkara ini.



MENELADANI AKHLAK NABI MUHAMMAD SAW



Ada dua contoh di antara banyak contoh bagaimana Nabi Muhammad saw membalas kejahatan dan penghinaan dengan akhlaknya yang baik lagi budi pekerti yang tinggi. Bahkan dalam kedua-dua kisah ini, orang yang dibalas kebaikan oleh Baginda adalah orang Yahudi dan bukannya Muslim.



Kisah pertama menampilkan seorang Yahudi yang diperintahkan Abu Jahal menyakiti Nabi Muhammad saw. Dalam menjalankan tugasnya, orang Yahudi itu berdiri menunggu di lorong yang sering dilewati Nabi lalu meludah ke muka Baginda. Namun Nabi Muhammad saw tidak membalasnya dengan kemarahan, bahkan Nabi biarkan sahaja wajahnya diludah. Perbuatan hina seperti ini dilakukan orang Yahudi tersebut selama beberapa hari.



Pada suatu hari Nabi tidak mendapati lagi si Yahudi yang meludahinya. Nabi lalu bertanya kepada beberapa orang dan kemudiannya diberitahu bahawa lelaki itu jatuh sakit. Baginda pun pulang ke rumah untuk mengambil makanan serta singgah ke pasar untuk membeli buah-buahan untuk menziarahi Yahudi yang sedang sakit itu.



Setibanya di rumah beliau, alangkah terkejutnya lelaki Yahudi itu menyaksikan sosok yang datang itu adalah orang yang selama ini disakitinya dan diludahi wajahnya.



Ketika ditanya kenapa beliau datang, Nabi Muhammad saw menjelaskan bahawa beliau ingin sekali menjenguknya yang sedang sakit. Si Yahudi tersebut menjadi sangat terharu dengan ketinggian akhlak Nabi Muhammad dan akhirnya dikatakan memeluk agama Islam.



Kisah kedua adalah mengenai Nabi Muhammad saw dengan seorang perempuan pengemis Yahudi yang buta. Perempuan pengemis itu biasa berkeliaran di sudut pasar Madinah Al-Munawarah. Di sana dia kerap menghina dan mencaci maki Nabi Muhammad saw.



Saban hari apabila ada orang yang mendekatinya, ia selalu berkata:



"Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kamu mendekatinya, kamu akan dipengaruhinya.''



Meski demikian, Nabi Muhammad saw tetap mendatanginya dengan membawa makanan dan tidak berkata sepatah kata pun. Baginda menyuap pengemis itu dengan makanan yang dibawanya, walaupun dalam keadaan pengemis itu menghina dan mencacinya.



Lihatlah ketinggian akhlak Nabi Muhammad saw apabila Baginda terus menyuapi pengemis itu sehingga beliau wafat. Setelah wafatnya Nabi Muhammad, Abu Bakar ra menggantikan peranannya. Ketika Abu Bakar mulai menyuapinya, si pengemis tersebut marah sambil berteriak. Selanjutnya, terjadilah perbualan di antara mereka.



"Siapakah kamu?''



"Aku orang yang biasa''



"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku. Apabila dia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan padaku.''



Mendengar cerita itu, Abu Bakar tidak dapat menahan air mata. Ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu: "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah saw."



Setelah pengemis itu mendengar pengakuan Abu Bakar ra, dia langsung menangis dan sejurus kemudian berkata: "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikit pun, malah ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi dan menyuapiku.''



SIFAT RAHMAH PERLU DIHAYATI



Dalam musim perayaan maulid, umat Islam sering diingatkan dengan ayat Al-Quran dari Surah Al-Anbiya' ayat 107, "Tidak kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmah bagi sekalian alam."



Dalam ayat ini, Allah swt menyifatkan Nabi Muhammad saw sebagai rahmah bagi sekelian alam. Rahmah bereti kasih sayang. Allah swt yang sifatnya Ar-Rahman dan Ar-Rahim memerintahkan kepada kita supaya bersifat kasih sayang kepada semua manusia tidak kira apa sahaja latarbelakang bangsa dan agama mereka.



Rahmah adalah sifat yang penting dalam kita berinteraksi sesama umat manusia. Ia adalah wasilah bagi membina sebuah masyarakat yang hidup dalam keadaan aman, rukun dan makmur. Mentelah dalam konteks kehidupan kita di Singapura yang bercirikan masyarakat majmuk, sifat rahmah ini sangat-sangat diperlukan.



Di dalam Al-Quran, Allah swt telah menggariskan satu prinsip penting untuk dijadikan panduan hidup umat Islam ketika berinteraksi bersama saudara mereka yang berlainan agama. Prinsip tersebut adalah berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka.



Firman Allah dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kediaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."



Dunia hari ini penuh dengan kemajuan dan perkembangan teknologi maklumat. Kita tidak dapat nafikan manfaatnya. Tetapi, ia juga merupakan satu cabaran, bahkan boleh menjadi kemudaratan sekiranya kita tidak bijak mengurusnya dengan baik.



Sering kali kita menyaksikan sebahagian individu Muslim menggunakan agama untuk mencetuskan permusuhan di antara masyarakat. Ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad saw diambil secara zahir tanpa mempertimbangkan latarbelakang dan kisah disebalik suatu kejadian. Maka hasilnya adalah permusuhan yang berlaku antara kaum, disebabkan pemahaman yang cetek serta sempit terhadap teks-teks agama.



Bahkan, terdapat mereka yang melampaui batas dalam permusuhan mereka sehingga sanggup melakukan pembunuhan dan keganasan. Mereka menghalalkan pembunuhan ke atas sesiapa yang tidak sependapat dengan mereka, sama ada Muslim ataupun bukan Muslim.



Apakah ini sejajar dengan aspek rahmah dan keadilan yang dipaparkan Nabi saw, sedangkan Allah swt melarang keras permusuhan dan pembunuhan tersebut.



Sebaliknya Allah swt memerintahkan kita supaya bersifat rahmah kepada sekelian ciptaan-Nya termasuk binatang dan alam semula jadi.



Ayuh! Mari kita ambil iktibar daripada insiden ganas yang baru sahaja terjadi di Perancis.



Peringatan terbesar darinya ialah padah boleh terjadi sekiranya sifat rahmah itu tidak dihayati serta emosi tidak dikawal.



Semoga dengan kedatangan bulan maulid yang mulia ini, umat Islam dapat lebih menghayati dan meneladani akhlak Nabi Muhammad saw yang sentiasa utamakan visi jangka panjang berteraskan kedamaian dan kasih sayang.



  • Penulis ialah Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. Beliau juga adalah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).


"Rahmah adalah sifat yang penting dalam kita berinteraksi sesama umat manusia. Ia adalah wasilah bagi membina sebuah masyarakat yang hidup dalam keadaan aman, rukun dan makmur. Mentelah dalam konteks kehidupan kita di Singapura yang bercirikan masyarakat majmuk, sifat rahmah ini sangat-sangat diperlukan.



Di dalam Al-Quran, Allah swt telah menggariskan satu prinsip penting untuk dijadikan panduan hidup umat Islam ketika berinteraksi bersama saudara mereka yang berlainan agama. Prinsip tersebut adalah berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka. Firman Allah dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kediaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."




*Artikel ini telah dikemas kini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >