Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Walau hadapi cabaran masa, 'Dang Anum' berjaya pukau penonton

Mar 07, 2022 | 05:33 AM



HAMPIR dua tahun Anggerik Temasek Bangsawan (ATB), kumpulan seni bangsawan Melayu di Singapura, tidak dapat mempersembahkan bangsawan secara langsung di depan penonton.



Baru-baru ini, semasa Pesta Budaya Melayu anjuran Taman Warisan Melayu (TWM), ATB akhirnya mempersembahkan bangsawan 'Dang Anum' di Taman Warisan Singapura selepas dua kali dibatalkan.



Hanya mempunyai lapan bulan untuk berlatih dan menyediakan pementasan selama sejam setengah itu, penerbit ATB, Cik Tanty Yushida, berkongsi bahawa masa yang diperoleh adalah antara cabaran yang harus diatasi memandangkan mereka sering memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk bersiap sedia.



"Alhamdulillah, kami bersyukur dan sangat teruja akan peluang ini dan sudah masanya kami kembali ke pentas setelah sekian lama tidak mempersembahkan acara secara langsung," kata Cik Tanty.



Seramai 40 peserta terlibat menjayakan pementasan 'Dang Anum'.



Antara mereka termasuk pelakon pelapis, Sarah Syazlina Mohd Darni.



Bagi Sarah Syazlina, 17 tahun, beliau memegang watak utama Dang Anum dan penglibatannya telah membolehkannya meraih lebih pengalaman dan pelajaran sebagai seorang penggiat bangsawan.



"Pada mulanya, Sarah rasa bimbang kerana belum mempunyai keyakinan diri dan tidak mempunyai banyak pengalaman dalam teater bangsawan. Namun, setelah diberikan kata-kata perangsang daripada ATB, Sarah bersedia menyahut cabaran yang diberikan," kongsi Sarah yang juga pernah berlakon di televisyen dan teater. Beliau juga seorang penyanyi.



Turut hadir untuk merasmikan persembahan bangsawan itu adalah Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam.



"Sudah lama saya tidak menonton persembahan bangsawan secara langsung dan saya sangat bangga dan teruja dengan semua pelakon dalam persembahan ini. Ini satu persembahan yang sangat terpuji dalam banyak peringkat kerana pertama, ia meningkatkan semula budaya dan tradisi kita dan saya juga sangat bangga mereka menyertakan pelakon pelapis," ujar Cik Rahayu.



Sebagai pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Cik Rahayu juga berkata:



"Saya rasa daripada acara seperti ini, kita boleh terus berusaha mencetuskan rasa cinta semula kepada bangsawan.



"Sejauh ini, memang sudah ada elemen-elemen bangsawan ketika Bulan Bahasa. Mungkin kita boleh lebih tumpukan kepada bahasa indah yang digunakan oleh bangsawan."



Tahun lalu, oleh kerana sekatan peraturan pandemik Covid-19, ATB telah menyesuaikannya dengan keadaan dan melaksanakan pementasan bangsawan secara dalam talian yang telah dirakam.



"Ia satu langkah yang penting untuk bidang seni kembali kepada keadaan biasa.



"Kami semua masih belajar untuk hidup bersama Covid-19, sama seperti persada seni," kata Cik Tanty.



Mengulas lebih lanjut tentang persembahan 'Dang Anum', pengarahnya, Encik Nadiputra, berkata:



"Bangsawan bergerak sepi selama ini, tidak mati, tapi kebangkitan menyerlah bangsawan 'Dang Anum' yang menyuntik kesegaran dalam persembahannya, membuka mata masyarakat, bahawa dengan sisipan teknologi dan pendekatan segar, bangsawan mulai diresapi keistimewaannya.''



Bangsawan, tambahnya, bukan sahaja penting, tetapi perlu dikekalkan sebagai seni persembahan Melayu antara lain.



"Tanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu dalam bangsawan begitu menyerlah. Apatah lagi budaya bangsa dan peradaban kehidupan, sama ada dalam lingkungan kehidupan di istana atau masyarakat gembelnya.



"Bangsawan tetap memelihara tutur seni yang halus yang sukar dinaskhahkan. Dari lahiriah manusia hingga ke liang lahat, bangsawan memberi pencerminan seni budi bicara, amalan dan kesantunan masyarakatnya," tambah penggiat seni mapan itu.




"Sudah lama saya tidak menonton persembahan bangsawan secara langsung dan saya sangat bangga dan teruja dengan semua pelakon dalam persembahan ini. Ini satu persembahan yang sangat terpuji dalam banyak peringkat kerana pertama, ia meningkatkan semula budaya dan tradisi kita dan saya juga sangat bangga mereka menyertakan pelakon pelapis... Saya rasa daripada acara seperti ini, kita boleh terus berusaha mencetuskan rasa cinta semula kepada bangsawan. Sejauh ini memang sudah ada elemen-elemen bangsawan ketika Bulan Bahasa. Mungkin kita boleh lebih tumpukan kepada bahasa indah yang digunakan oleh bangsawan."
- Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >