Topic followed successfully
Go to BHkuBatal acara Raya anjuran kuil sorot batas sambutan silang budaya di M’sia
Batal acara Raya anjuran kuil sorot batas sambutan silang budaya di M’sia
Sambutan masih tertakluk kepada sensitiviti masyarakat, kelulusan institusi agama
Batal acara Raya anjuran kuil sorot batas sambutan silang budaya di M’sia
Baru-baru ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) telah menghalang Persatuan Kuil Thean Hock Keong daripada menganjurkan Rumah Terbuka Hari Raya di sebuah padang terbuka di luar premisnya.
JHEAIPP menyatakan bahawa sambutan sedemikian merupakan aktiviti keagamaan Islam yang “tertakluk kepada kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)”.
Keputusan itu menyusul selepas aduan daripada Persatuan Anak Jati Melayu Negeri Pulau Pinang yang mendakwa poster acara tersebut menimbulkan kekeliruan awam.
Sebelum ini, kumpulan yang sama pernah membantah penukaran nama jalan daripada Jalan Pantai Bersih kepada Jalan Tokong Naga yang melibatkan persatuan tersebut, sekali gus memberi gambaran bahawa perbezaan antara kedua-dua institusi ini bukanlah sesuatu yang baru.
Langkah ini menimbulkan persoalan tentang dimensi antara agama dan antara etnik dalam tradisi rumah terbuka di Malaysia, serta prospek penglibatan antara agama secara lebih luas.
Walau bagaimanapun, sekatan ini bukanlah sekadar kes penentangan pihak berkuasa Islam terhadap inisiatif antara agama.
Ia mencerminkan penegasan kuasa institusi terhadap sempadan, makna, dan pemilikan amalan Islam.
Ini membantu memperjelas sempadan penglibatan antara agama yang dianggap boleh diterima di Malaysia, selain menunjukkan bahawa perspektif Muslim terhadap penglibatan tersebut tetap pelbagai.
Aidilfitri – atau Hari Raya Aidilfitri – adalah perayaan Islam yang jatuh pada hari pertama Syawal dan melambangkan ‘kemenangan’ selepas sebulan berpuasa semasa Ramadan.
Di bahagian lain dunia, Aidilfitri mungkin hanya disambut sehari dengan elemen agama tertumpu pada solat sunat Aidilfitri.
Namun dalam dunia Melayu, sambutan biasanya berlangsung antara seminggu hingga sebulan, di mana tradisi ziarah-menziarah dan bermaaf-maafan menjadi budaya yang unik.
Di Malaysia, Indonesia dan Singapura yang berbilang budaya, masyarakat Melayu/Islam lazimnya menganjurkan rumah terbuka untuk berkongsi kegembiraan bersama komuniti lain.
Di Malaysia, ahli politik Melayu-Islam, termasuk Perdana Menterinya, secara tradisi, menganjurkan rumah terbuka besar-besaran yang dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Rumah terbuka rasmi biasanya dianjurkan oleh golongan Muslim.
Walaupun ini bukan peraturan formal, ia mencerminkan demografi kepimpinan politik dan perkhidmatan awam yang didominasi Melayu/Islam.
Justeru acara-acara ini jarang mengundang kontroversi.
Begitu juga masyarakat Cina dan India akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali dengan menjemput masyarakat Melayu.
Dalam kalangan komuniti perniagaan dan masyarakat sivil, golongan Muslim sering menganjurkan sambutan Hari Raya yang melibatkan kakitangan dan rakan bukan Muslim tanpa mengundang kritikan besar, berbanding jika ia dianjurkan oleh sebuah kuil.
Kes persatuan kuil ini telah “menguji keadaan”.
Acara itu dibatalkan meskipun rundingan teliti telah dibuat dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Pulau Pinang, serta pemimpin masjid, surau, dan wakil masyarakat setempat yang dilaporkan menyokong usaha itu.
Ini menekankan satu perkara penting: Kelulusan mesti diperoleh daripada pihak berkuasa yang tepat, iaitu Majlis Agama Islam Negeri.
Perkara ini amat penting di Malaysia di mana hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri, ditadbir oleh Mufti dan Majlis Agama Islam Negeri, dengan Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam.
Sebagai ganti kepada acara Hari Raya tersebut, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, menyatakan bahawa Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Zhao Zi Long (entiti di bawah persatuan kuil tersebut) akan mengadakan ‘Jamuan Perpaduan’ di Dewan Panorama Bagan Ajam dengan penyelarasan JPNIN dan diiktiraf oleh MAINPP.
Walaupun pihak persatuan kuil menafikan acara sedemikian akan berlangsung, cadangan itu sendiri mencerminkan bentuk penglibatan antara agama yang dianggap ‘boleh diterima’ jika melibatkan elemen Melayu/Islam, iaitu yang ditapis oleh majlis agama negeri, diadakan di ruang neutral (bukan rumah ibadat), dirangka sebagai perhimpunan perpaduan, dan menghidangkan makanan halal.
Episod ini tidak bermakna keharmonian agama di Malaysia terjejas atau prospek penglibatan antara agama menjadi malap.
Sheikh Umar Bagharib Ali, ahli jawatankuasa eksekutif Parti Tindakan Demokratik (DAP), menyuarakan sentimen serupa dengan menekankan bahawa acara antara agama boleh dijalankan jika mematuhi garis panduan ketat, termasuk tidak melakukan ritual bukan Islam.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Chow Kon Yeow, juga menekankan kepentingan menjaga sensitiviti, dengan menyatakan bahawa poster acara yang memaparkan latar belakang kuil boleh menimbulkan persepsi bermasalah dalam kalangan sesetengah pihak masyarakat Muslim, sambil menambah bahawa adalah diterima untuk persatuan penduduk atau syarikat menganjurkan rumah terbuka di dewan.
Keputusan JHEAIPP tidak menunjukkan larangan mutlak terhadap rumah terbuka Hari Raya oleh organisasi bukan Islam, tetapi ia merumitkan pelaksanaan acara tersebut, mencerminkan tuntutan yang semakin meningkat untuk rundingan dalam hal berkaitan antara agama.
Ini berlaku walaupun selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim membatalkan cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memperkenalkan garis panduan baharu yang seragam tahun lalu.
Hakikatnya, ini menandakan wujudnya birokrasi yang bertujuan mengelakkan acara sedemikian daripada dipolitikkan, memandangkan sejarah rusuhan kaum pada 1960-an dan bantahan berkala oleh kumpulan yang menggunakan ketegangan kaum demi kepentingan politik.
Sokongan awal daripada pemimpin masjid dan surau tempatan terhadap inisiatif persatuan kuil itu menyerlahkan kepelbagaian pandangan dalam kalangan Muslim Malaysia.
Ini membuktikan bahawa pendirian pihak berkuasa agama negeri tidak semestinya mencerminkan sentimen akar umbi sepenuhnya.
Ini menunjukkan masih ada ruang untuk inisiatif antara agama dari bawah ke atas.
Namun begitu, kawal selia yang ketat terhadap aktiviti sebegini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana ia selaras dengan nilai inklusif yang ingin dipromosikan oleh kerajaan Madani.
Mengenai Penulis:
Dr Norshahril Saat ialah Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas–Institut Yusof Ishak dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau. Beliau juga merupakan Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF).
Cik Nur Syafiqah Mohd Taufek ialah Pegawai Penyelidik di Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Institut Iseas – Yusof Ishak.
“
“Ini menunjukkan masih ada ruang untuk inisiatif antara agama dari bawah ke atas. Namun begitu, kawal selia yang ketat terhadap aktiviti sebegini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana ia selaras dengan nilai inklusif yang ingin dipromosikan oleh kerajaan Madani.”

